Promosi

Saturday, January 22, 2011

Cinta di Langit Ghazza

Sebuah catatan yang harus diambil serius oleh para aktivis kemanusiaan apatah lagi oleh ahli gerakan Islam.

Sejujurnya, berbanding buku-buku ustaz Riduan Mohamad Nor yang lain,  saya lebih menggemari catatan travelog beliau yang ini, iaitu ketika beliau terlibat dalam misi kemanusiaan bersama NGO Muslim Care yang menjelajah seluruh pelusuk dunia demi menyampaikan rasa cinta dan kasih sayangnya antara sesama Muslim dan sesama manusia melalui penyampaian bantuan ubat-ubatan, makanan dan minuman dan lebih penting lagi ialah meyakinkan hati dan jiwa mangsa keadaan dunia dan alam tersebut bahawa sesungguhnya mereka tidak akan dibiarkan bersendirian menanggung derita ujian dunia ini bahkan terdapat sejumlah manusia yang menghambakan diri kepada Allah Ta'ala masih sudi untuk berkongsi rasa dan keperitan tersebut.

Cinta di Langit Ghazza adalah maudu' kepada catatan ustaz Riduan. Barangkali jika dibaca sekali lalu, ternyata bahawa ustaz bukan semata-mata berkongsi kisah tentang Ghazza bahkan turut melingkari catatan ini ialah pengembaraan kemanusiaan beliau ke wilayah perbukitan Pakistan dan Kashmir, kemelaratan dan pengasingan di Cambodia, bencana tsunami di Acheh dan Jawa Barat, gempa yang melanda Yogyakarta, meladeni para pelarian di Lebanon, berkongsi sedikit kelebihan rezeki kurniaan Allah dengan umat Islam di Bangladesh melalui program Qurban hinggalah menyertai demonstrasi di sebuah negara sekular, Britain  sebagai tunjuk rasa membantah kekejaman Zionis-Israel terhadap penduduk Palestin. Namun, jika diteliti dengan lebih mendalam, ternyata bahawa Ghazza menjadi kemuncak kepada segala misi kemanusiaan yang ditelusuri oleh ustaz seperti katanya dalam buku ini 
"Melepasi garisan Ghazza yang terbakar dan musnah adalah kemuncak kepada perjalanan hidup saya, kehadiran di bumi Isra' itu sangat meruntun jiwa dan meninggalkan kesan yang sangat mendalam."
 Jika mahu berceloteh tentang kerosakan bandar-bandar di Palestin, maka itu semua boleh kita bandingkan dengan apa yang pernah berlaku dalam peperangan dunia satu ketika dahulu. Jika mahu bercakap tentang angka kematian akibat kebangsatan sikap gemarkan pembunuhan oleh bangsa Yahudi-Israel disamping perlindungan syaitan yang diberikan oleh Amerika Syarikat dan para sekutunya, maka itu semua juga turut berlaku kepada banyak bangsa dan negara yang berada di belahan dunia yang lain. 

Jika semua penderitaan, kesukaran, penindasan, peperangan dan pembunuhan yang saban hari berlaku di Palestin, jika itu yang menjadi punca untuk kita berasa kita patut membantah kekejamanan ekoran peperangan maka sebenarnya kita tidak silap tetapi hakikatnya kita tidak faham jika itu sahaja alasan kita, sesungguhnya bumi yang sedang dijarah dengan rakus dan laknatnya oleh bangsa hinaan Allah ini adalah bumi Isra', bumi yang menjadi saksi peristiwa Isra' wa Mi'raj tubuh batang mulia junjungan besar, Nabi Muhammad S.A.W, bumi yang senantiasa menjadi rebutan sejak zaman berzaman bahkan terdapat sarjana yang meyakinkan seluruh dunia bahawa  Al-Quds adalah kunci kepada keamanan dunia, Al-Quds menjadi kunci untuk membuktikan siapakah yang sedang memerintah dunia pada ketika itu, telusuri sahajalah sejarah Al-Quds ini yang menjadi rebutan. 

Ketika Islam yang memegang Al-Quds, ketika itu jugalah Islam menjadi pemimpin hampir seluruh pelusuk dunia dan ketika ini, ketika Al-Quds berada di bawah cengkaman rejim dajjal Zionis-Israel, ternyata bangsa inilah yang sedang memerintah dunia dengan hanya meletakkan proksi bagi mencapai matlamat sebenar Zionis. 

Sebetulnya, inilah yang menjadi alasan bagi aktivis Muslim yang selalu bercita-cita untuk membebaskan Al-Quds, menyirami kembali Al-Quds dengan keberkatan firman-firman Allah, memacakkan kembali kegemilangannya dengan keutuhan persaudaraan Islam dan seterusnya menjanjikan keamanan untuk seluruh dunia.

Dalam catatan ini, ustaz turut mengkisahkan tentang para pejuang Palestin yang sangat gencar dalam melindungi hak dan kebebasan bagi rakyat Palestin. Nama-nama seperti  as-Syahid Sheikh Ahmad Yassin, pengasas gerakan HAMAS, Sheikh Mahmud Siyyam, mantan iman Masjidil Aqsa, as-Syahid Dr Abdullah Azzam, Dr Azzam Tamimi dan entah ribuan lagi yang telah sanggup mengucurkan darah dan mengorbankan nyawa demi kebebasan dari sebuah kekejaman terancang. 

Catatan tulus ini juga sering mengingatkan saya sendiri sebagai penggemar kepada gerak kerja gerakan Islam supaya menikmati erti sebenar apa yang disebutkan sebagai Ukhuwwah Islamiyyah yang mana aqidah sebagai teras hubungan ini. Siri misi kemanusiaan ustaz sering membawa pembaca kepada aneka ragam manusia yang bakal kita temui dan santuni sebagai proses merapatkan silaturrahim antara sesama saudara seIslam dan semanusia. 

Pengalaman merentas pelbagai belahan negara sering menemukan kita dengan peluang untuk mengukuhkan lagi kesepaduan dan semangat antara gerakan Islam yang berbeza, pendekatan yang berbeza, pemikiran yang berbeza namun semuanya diikat pada satu matlamat yang sama iaitu mendaulatkan Islam dengan setinggi-tingginya.

No comments: