Promosi

Monday, January 24, 2011

Permata Pengislahan Perundangan Islam

Bila dibaca keseluruhan biografi Permata Pengislahan Perundangan Islam yakni sebuah biografi tentang Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Ahmad Mohamed Ibrahim, ternyata projek untuk menyiapkan sebuah biografi bukanlah satu tugas yang mudah. Lihat sahaja berapa ramai individu dan tokoh-tokoh yang perlu untuk pasukan projek biografi ini perlu temui dan berapa negara perlu ditempuh untuk mendapatkan dokumen-dokumen penting bagi melengkapkan penulisan biografi ini.

Saya membayangkan kesukaran yang bukan alang kepalang namun pastilah mereka berpuas hati justeru ada antaranya bukan sahaja begitu mengenali Prof Ahmad bahkan juga merupakan dari kalangan mereka yang pernah bekerjasama samada sebagai anak didik Prof Ahmad seperti Abdul Monir Bin Yaacob, Mahamad Bin Arifin dan Najibah Bt Mohd Zin, selain pernah menjadi kaki tangan Prof Ahmad dan mendapat kepercayaan juga mempunyai pengalaman peribadi bersama Prof Ahmad. Selain itu, kekuatan biografi ini juga terletak pada garapannya yang berdasarkan kepada sumber primer justeru bahan-bahan ini ada yang diambil dari perpustakaan di tempat Prof Ahmad belajar.

Biografi ini memuatkan pengkisahan tentang apa juga yang berkaitan dengan Prof Ahmad walaupun begitu dalam ulasan ini ada baiknya untuk kita hanya memfokuskan kepada bidang kerjaya dan akademi beliau selain sumbangan yang telah beliau semaikan demi memartabatkan kembali perundangan Islam di Singapura dan Malaysia khususnya. Bahkan antara kemuncak kepada cita-cita beliau dalam bidang perundangan ialah untuk meletakkan perundangan Islam dalam sistem kehakiman yang bersifat sekular.

Sebenarnya, penulisan berkaitan sumbangan dan jasa yang dicurahkan oleh Prof Ahmad dalam bidang perundangan bukanlah baru. Sebelum ini, Hooker (1986) menyifatkan Prof Ahmad sebagai pegawai am, ahli akademi dan pentadbir serta menjadi perintis dalam penyelidikan dan penerbitan sebagai sesuatu yang luar biasa pada ketika itu. Keupayaannya menjadi pengantara Malaysia dan Singapura dalam penggubalan undang-undang adalah sebuah pencapaian yang besar. Hooker turut menyentuh tentang keupayaan Prof Ahmad dalam mengintegrasikan undang-undang Islam dan Sekular sehingga lahirnya Universiti Malaya.

Al-Mansor Adabi yang menulis tentang “Ahmad Ibrahim in The Service of Islam” menyatakan betapa tertariknya Prof Ahmad untuk memperjuangkan undang-undang Islam dan beliau juga turut bertanggungjawab dalam menggubal undang-undang Islam dan penubuhan Mahkamah Syariah di Singapura.

Dalam ketika yang sama, Prof Ahmad juga turut berperanan memartabatkan undang-undang Islam dengan menaikkan taraf pegawai dan kakitangannya bagi memperbaiki mutu dan pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia.

Tokoh yang lahir pada 15 Mei 1916 di Singapura dan menghembuskan nafas terakhirnya pada 17 April 1999 sememangnya individu yang tidak perlu dipertikaikan keunggulannya dalam bidang perundangan. Kepakaran Prof Ahmad dalam bidang penulisan perundangan juga turut melayakkan beliau menerima pelbagai anugerah sebagai jasa beliau yang mengintegrasikan tiga cabang perundangan yang berbeza iaitu Islam, common law dan undang-undang adat.

Allahyarham Tan Sri Harun Hashim ketika menceritakan pengalaman peribadinya dengan Prof Ahmad menyifatkan Prof Ahmad sebagai ‘Allah’s chosen servant’ justeru melihatkan kepada kesungguhan beliau menaiktarafkan mahkamah Syariah di Malaysia. Hal ini dilihat begitu tepat justeru Prof Ahmad pernah terlibat dengan pelbagai kajian perundangan Islam di negeri-negeri Malaysia. Contohnya, dalam kajian perundangan Mahkamah Syariah Kelantan sekitar tahun 1980-an, Prof Ahmad terlibat dalam empat pendrafan undang-undang termasuklah enakmen negeri. Draf ini yang perlu disediakan dalam dua versi bahasa sebagai memenuhi syarat untuk dibahaskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri sebelum diluluskan dan ketika itu masa pula sangat suntuk untuk penterjemahan sebelum dapat diwartakan pada tahun 1983, maka enasihat Undang-undang pada masa itu, Dato’ Hamid Muhammad telah menghubungi Prof Ahmad untuk menyatakan permasalahan yang mereka hadapi dan dengan mudah pula Prof Ahmad menyatakan kesanggupannya sehingga membolehkan terjemahan draf tersebut berjaya dilakukan pada tempoh yang ditetapkan.

Pada tahun 1960, Prof Ahmad dianugerahi Pingat Jasa Gemilang oleh kerajaan Singapura. Kemudian, tahun 1963 pula dianugerahi Pingat Malaysia oleh kerajaan Malaysia. Pada 5 Jun 1965 pula beliau melakar terus sejarah apabila dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang oleh Universiti Singapura justeru sumbangannya dalam bidang perundangan terutama undang-undang Buruh. Jasanya kepada Universiti Malaya melayakkan beliau dianguerahkan bintang Johan Mangku Negara oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agung pada tahun 1975. Anugerah Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara yang diberikan oleh Gabenor Pulau Pinang pada tahun 1979 membawa Prof Ahmad kepada gelaran ‘Datuk’. Pada tahun yang sama, beliau dianuerahkan Allama Muhammad Iqbal Medal oleh kerajaan Pakistan atas sumbangan beliau kepada dunia Islam dalam bidang perundangan. Sekali lagi, atas sumbangan beliau kepada Universiti Malaya dan perkembangan perundangan Islam di Malaysia membolehkan beliau dianugerahi gelaran Profesor Emeritus pada 25 Ogos 1984 dan pada Jun 1987, DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agung telah menganugerahkan beliau bintang Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’. Manakala majalah al-Qiblah pada Oktober 1988 merakamkan ketokohan Prof Ahmad sebagai meraikan penganugerahan yang beliau terima sebagai Tokoh Maal Hijrah bagi tahun 1409H dengan mengiktiraf Prof Ahmad sebagai pakar perundangan sejagat dan sukar ditandingi pada dekad tersebut dan pada tahun 1997, Prof Ahmad menerima Anugerah Tun Abdul Razak. Sesungguhnya segala jasa dan pingat yang Prof Ahmad peroleh bukanlah sesuatu yang harus dibanggakan dengan luas justeru sumbangan beliau dalam memartabatkan perundangan dan mahkamah Syariahlah yang seharusnya terus diperjuangkan oleh generasi dan anak didiknya sebagai bukti kasih dan cinta mereka kepada Sang Guru Teragung ini.

Segala kekuatan keilmuwan yang direguk oleh beliau disamping kegencarannya memperjuangkan perundangan Islam sememangnya sudah terasuh sedari kecil lagi. Lahir dalam golongan yang warak dan berpendidikan dilihat membantu Prof Ahmad untuk memiliki sebuah pesona yang memukau dan kredibilitnya dihormati hingga kini. Zuriat kedua hasil perkongsian hidup Mohamed Ibrahim Sheikh Ismail dan Hamidah Sheikh Baboo ini mendapat pendidikan awalnya di St Anthony Boy’s School di Singapura. Kemudian menyambung pelajaran ke Sekolah Victoria Bridge dan terus ke Raffles Institutions. Disinilah beliau menduduki peperiksaan Junior Cambridge ketika berumur 13 tahun dan setahun kemudian pula berjaya dengan Kepujian dalam peperiksaan Senior Cambridge pada umur yang masih muda. Kecemerlangan beliau dalam akademi menyebabkan beliau dicalon sebagai penerima biasiswa Queen. Ketika berusia 20 tahun, beliau berjaya menempatkan dirinya ke St John’s College, Universiti Cambridge pada Oktober 1936 dan seterusnya menerima latihan guaman di Middle Temple untuk melayakkannya menjadi peguam (call to the bar).

Satu sisi lain yang perlu diberi perhatian ialah Prof Ahmad sangat berkepakaran dalam bidang penulisan. Hal ini terbukti apabila beliau pernah menjadi penyunting majalah sekolah iaitu ‘The Rafflesian’. Prof Ahmad juga pernah mengarang buku pertamanya yang berjudul Dua Simpang Jalan yang pernah diterbitkan oleh K.B. Press di Singapura pada November 1948. Buku ini yang dilihat sebagai ulasan kepada buku Muhammad Asad, Islam at The Crossroad, mempamerkan keutuhan Prof Ahmad dalam memelihara akal budi dan akhlak sebagai orang Melayu dan Islam di samping gesaan beliau agar bangsa dan umat Islam memelihara tatacara hidup yang diterapkan oleh Islam dan jauhi segala budaya buruk yang disebarkan oleh Barat. Hal ini tentulah sesuatu yang sangat menakjubkan justeru Prof Ahmad sendiri merupakan seorang lulusan Universiti Cambridge dan diiktiraf sebagai anak Melayu yang pertama menjadi peguam. Namun begitu, hasil pendidikan yang suci dan tulen telah membolehkan Prof Ahmad memelihara dirinya dari terjebak dengan kebudayaan Barat yang sangat asing nilainya dengan kebudayaan Melayu dan Islam. Pada 1949 pula, terbitlah sebuah lagi buku beliau yang berjudul Universiti di Malaya sebagai sebuah manifestasi kepada konflik kepada keperluan penubuhan universiti di Malaya pada ketika itu yang tidak sebulat suara bersetuju akan penubuhannya ekoran kebimbangan dari aspek kewangan dan kemampuan anak bangsa Melayu ketika itu.

Sememangnya untuk memperkatakan tentang Prof Ahmad Ibrahim memerlukan sebuah diskusi yang panjang justeru melihatkan kepada sumbangannya yang terlalu besar kepada aspek perundangan negara ini khususnya dalam aspek mengupayakan perundangan dan mahkamah syariah setanding dengan mahkamah sivil di Malaysia.

No comments: