Promosi

Friday, January 21, 2011

Di Bawah Lindungan Kaabah.


Selalu terkenangkan saudari yang tolong membeli novel ini ketika dia ke Alor Star. Entah dimana gerangannya sekarang.
Perkenalan saya dengan karya-karya Hamka berlaku sejak sekian lama. Ketika saya masih menuntut di tingkatan empat lagi, karya Hamka sudah saya dekati dan cuba sedikit sebanyak memahaminya. Seingat saya, buku-bukunya yang pernah saya uliti ialah Falsafah Hidup dan Keadilan Sosial Dalam Islam.

Dalam kelas dahulu, serasanya hanya saya seorang yang mengenali Hamka melalui karya-karyanya. Kenal itu bukan kerana saya membaca buku-buku sejarah yang bercakap tentang dirinya tetapi membaca sendiri hasil karyanya. Cuma novel beliau mulai saya beli dan baca ialah ketika saya sudah menuntut sebagai mahasiswa tahun pertama di universiti.

Dan novel Hamka yang pertama saya uliti ialah Di Bawah Lindungan Kaabah. Hamka, dalam novel ini, bercerita sebuah kisah yang benar yang pernah beliau sendiri hadapi watak-wataknya. Dengan berlatar belakang Mekah sebagai latar tempat, perubahan politik di tanah Arab yakni berpindahnya kuasa daripada tangan Syarief Husin ke tangan Ibnu Saud, Raja Hijaz dan Najd serta daerah takluknya, yang kemudian ditukar namanya menjadi kerajaan “Arabiyyah Saudiyyah” sehinggalah kepada kemakmuran yang wujud di tanah Arab sehingga membolehkan umat Islam di Indonesia beramai-ramai menunaikan fardhu Haji pada 1927.

Pertemuan Hamka dengan Hamid bermula ketika Hamka menginap disebuah rumah tumpangan yang mana bilik Hamid terletak berhadapan dengan bilik Hamka. Keinginan untuk berkenalan dengan Hamid tercetus tatkala Hamka melihatkan keperibadian Hamid yang seolah-olah menjalani sebuah kehidupan sebagai seorang ahli tasawwuf yang tekun dengan ibadahnya. Dan persahabatan ini mula memasuki fasa kritikal selepas ketibaan Saleh, sahabat Hamid yang baru datang dari Padang untuk menunaikan haji dan menyambung pengajiannya di Mesir. Ketika itulah terbongkar rahsia diri Hamid seperti yang dikisahkan oleh Hamka.

Hamid, menjadi seorang anak yatim ketika berumur empat tahun setelah kematian bapanya. Bagi menampung kehidupan dia dan ibunya, Hamid mula belajar menjaja kuih muih di sekeliling kampung.

Sehinggalah kedatangan Haji Ja’far, tuan baru kepada sebuah rumah yang besar di kampung Hamid, yang berhajat untuk menghabiskan usia tuanya di rumah itu bersama Mak Asiah dan juga anaknya Zainab.

Ketika inilah bermulanya kisah Hamid dan Zainab bersama-sama dari kecil hinggalah dewasa. Mengikut kebiasaan masyarakat ketika itu, pendidikan yang harus dilalui oleh anak-anak ialah HIS dan MULO sahaja. Namun kerana kecenderungan kepada bidang agama, maka Hamid mengambil keputusan untuk berhijrah ke Padang Panjang untuk menuntut ilmu sedang Zainab pula hanya duduk dirumah dengan didatangkan seorang guru untuk mengajarkan ilmu-ilmu kemahiran tangan dan kesenian.

Kisah cinta antara mereka sebetulnya tidaklah pernah berlaku dengan sehebat-hebatnya justeru kedua-duanya masing-masing malu untuk meluahkan perasaan dan lebih suka memendamkan sahaja rasa itu. Kemuncak kepada kisah mereka ialah ketika Hamid diminta oleh Mak Asiah untuk memujuk Zainab supaya menerima anak saudara Haji Ja’far sebagai suami. Tentulah bukan sesuatu yang mudah untuk melakukan tugas begitu apatah lagi terhadap orang yang kita cintai.

Akhirnya demi menyelamatkan hati dan perasaan, Hamid pun pergilah ke Mekah untuk mencari ketenangan jiwa hinggalah kedatangan Saleh yang memaklumkan mengenai Zainab kepada Hamid. Bukan kepalang lagi gembiranya hati Hamid dengan khabar yang Saleh berikan bahawa Zainab terlalu kepingan ingin bertemu Hamid.

Namun kita merancang dan Allah pun merancang namun Allah-lah yang menentukan segalanya, ketika Hamid sedang kesakitan dan ingin melakukan tawaf, datanglah khabar dari Sumatera oleh Rosna, isteri Saleh yang memaklumkan melalui telegram kepada Saleh bahawa Zainab sudah meninggal dunia. Rupanya Hamid juga sudah dapat membaca isi hati Saleh yang pada awalnya cuba menyembunyikan dahulu khabar tersebut justeru memandangkan kesihatan Hamid yang tidak mengizinkan.

Tanpa nafi, pada awalnya saya mencari-cari dimana istimewanya novel nipis ini. Rupanya bagi saya sendiri, istimewanya novel ini ialah ketika Hamid, watak utama dalam novel ini, ketika detik-detik saat sampainya ajalnya, dia memegang kiswah yakni kain tabir yang melindungi Kaabah sambil merintih kepada Ilahi dengan doanya

“Ya Rabbi, Ya Tuhanku, Yang Maha Pengasih dan Penyayang! Bahawasanya, di bawah lindungan Kaabah, rumah Engkau yang suci dan terpilih ini, saya menadahkan tangan memohon kurnia.
Kepada siapakah saya akan pergi memohon ampun, kalau bukan kepada Engkau, ya Tuhan!
Tidak ada seutas tali pun tempat saya bergantung selain daripada tali Engkau; tidak ada satu pintu yang akan saya ketuk selain daripada pintu Engkau.
Berilah kelapangan jalan buat saya hendak pulang ke hadirat Engkau, saya hendak menuruti orang-orang yang dahulu dari saya, orang-orang yang bertali hidupnya dengan hidup saya.
Ya Rabbi, Engkaulah Yang Maha Kuasa, kepada Engkaulah kami sekalian akan kembali.”

Saya menangis sendirian ketika melalui doa’ ini, terasa betapa hampirnya Hamid dengan Allah ketika menjelang saat kematiannya. Terasa sangat mencengkam kisahnya justeru melihatkan bagaimana berubahnya seorang manusia kepada sebuah kehidupan sufi justeru terasa terlalu kecewanya dia kerana gagal untuk memiliki cinta.

Kisah dalam novel ini ringkas dan biasa sahaja pada saya namun kebijakan Hamka ialah ketika memainkan emosi pembaca ketika Hamid berdoa kepada Allah tatkala memegang kiswah.

Hamka cuba meletakkan elemen kehambaan yang patuh kepada ketentuan Tuhan sekaligus meletakkan cinta manusia itu pada kedudukan yang sebenar. Hamka tidak memilih sebuah penceritaan yang bersifat populis, yang menjadi kegemaran ramai. Hamka cuba menutup kisah cinta ini dengan penderitaan manusia dalam menanggungnya dengan meletakkan takdir Ilahi mengatasi segala-galanya. Hamka cuba memainkan fungsi jiwa dan akal fikiran yang tersadur ilmu dan keimanan ketika menghadapi pancaroba dalam kehidupan. Hamka tidak bersifat prejudis terhadap mereka yang dilemahkan oleh cinta tetapi Hamka cuba mengangkat martabat cinta itu ke tahap yang lebih tinggi, meletakkan syahid dalam mempertahankan kesucian cinta.


No comments: