Perkembangan yang berlaku di belahan dunia Islam-Arab-Afrika Utara sedikit sebanyak menyebabkan saya terasa sedikit sesak memikirkan hala tuju sebenar revolusi yang diledakkan. Hampir semua yang sempat saya baca berkecenderungan kepada sokongan terhadap revolusi itu dengan keyakinan bahawa revolusi itu bakal menumbangkan sebuah kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah yang autokratik dan diktator terhadap rakyat dan pemerintahannya. Dan saya sangat setuju dengan objektif revolusi itu.
Ramai yang memulakan pandangan atau pendapat mengenai revolusi ini melalui Tunisia yang dikenali sebagai Revolusi Jasmine tapi saya memilih untuk memulakan kebangkitan revolusi ini di Lubnan justeru kepimpinan Saad al-Hariri dalam kerajaan perpaduan berjaya ditumbangkan oleh barisan oposisi yang didokongi oleh Hizbullah dan beberapa parti lain termasuk sebuah parti gerakan pembebasan Kristian. Perihal ini ada saya rencanakan dan tersiar dalam Berita Harian pada 27 Januari 2011. Revolusi dalam parlimen ini dianggap cukup memalukan Saad justeru berita tumbangnya kerajaan ini berlaku ketika Saad sedang bertemu dengan Presiden Obama di Washington.
Selepas itulah baru kedengaran suara-suara revolusi di Tunisia yang berjaya menumbangkan Presiden Zine Al-Abidine Ben Ali pada kemuncaknya iaitu pada Jumaat, 14 Januari 2011 sekaligus meletakkan Tunisia dalam keadaan anarki. Revolusi Jasmine yang meledak di Tunisia terus bersambung hingga ke Mesir dan ketika inilah saat paling menggawatkan berlaku. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pendapat ini justeru Lubnan tidak mengalami revolusi rakyat seperti yang berlaku di Tunisia namun sekurang-kurangnya, bagi saya, seakan-akan wujud kesinambungan antara kedua-dua revolusi ini yakni revolusi dalam parlimen Lubnan dan revolusi rakyat di Tunisia yang boleh sama-sama kita bincangkan.
Di Mesir pula, revolusi rakyat meledak dengan desakan agar Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai presiden justeru kegagalan beliau untuk memerintah Mesir dengan baik sejak mulai menjadi presiden iaitu pada 1981 dan Mubarak juga dilihat bakal mengikut jejak langkah Ben Ali yang ditumbangkan rakyat Tunisia. Beberapa negara lain yang berhampiran dikatakan hanya menunggu masa kejatuhan sahaja.
Saya terdiam sejenak melihat gelombang-gelombang revolusi ini yang semakin hari semakin memuncak sehingga menuntut pula seorang pemimpin baru yang lebih berketrampilan untuk mengambil alih negara yang berada dalam keadaan anarki. Figura-figura hebat seperti pemimpin Ikhwanul Muslimin dan anak didiknya seperti Sheikh Rashid al-Ghannushi di Tunisia dilihat bakal mengisi kekosongan kerusi pemerintahan tersebut. Gelombang revolusi ini juga dikatakan turut menumbangkan kerajaan-kerajaan lain seperti Algeria dan Libya. Cumanya suara-suara Hizb Tahrir yang masih tidak kedengaran untuk mewakili sekelompok manusia yang mahukan Khilafah diangkat semula.
Ketika ini juga teori domino cukup ligat menjadi analisis terhadap perkembangan revolusi di dunia Arab. Teori ini dahulunya pernah diguna-pakai ketika rejim Amerika Syarikat diketuai oleh Presiden Dwight D. Eisenhower. Teori Domino ini yang berkaitan perkembangan aliran komunis di Asia Tenggara yang mana blok domino pertama ialah Vietnam dan jika komunis berjaya di Vietnam maka negara-negara serantau akan turut menerima komunis sebagai fahaman baru mereka.
Disamping itu, pemerintahan rejim Eisenhower turut menyaksikan kebangkitan Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang menjalankan operasi sulit bagi menggulingkan pemerintah yang menerima ideologi komunis. Paling kritikal ialah jika teori domino ini laku digunakan di dunia Arab maka kewujudan Israel akan senantiasa dalam ancaman dan hal inilah yang meligatkan kuasa-kuasa Barat untuk cuba menghentikannya.
Saya mentelaah kembali buku Kerugian Dunia Karen Kemunduran Umat Islam (atau Apa Ruginya Dunia Bila Umat Islam Mundur) sebagai refleksi kepada keadaan semasa, bukan semata-mata dunia Arab bahkan dunia Islam keseluruhannya. Ternyata penulis, Almarhum Abul Hasan Ali al-Hasany an-Nadwi, telah menggariskan beberapa peringatan penting kepada umat Islam selain beberapa saranan sebagai usaha memulihkan kembali maruah umat Islam yang dianggap sebagai pemegang kunci perbendaharaan dunia dan akhirat, pemegang kunci perbendaharaan bumi dan langit, dan; penegak yang Haqq dan penumbang yang Bathil.
Bahkan an-Nadwi menambah bahawa kaum Muslimin sebagai pemegang kunci risalah para Nabi dan Rasul Allah dan bagi dunia, mereka ini adalah ubat untuk menyembuhkan tubuh kemanusiaan lalu menyatakan bahawa kejatuhan kaum Muslimin atau dunia Islam adalah sebuah tragedi terbesar dalam sejarah peradaban manusia justure ianya adalah kejatuhan risalah agung yang merupakan roh atau kunci kepada kesejahteraan dan pembangunan lestari kemanusiaan.
Buku ini tidak ditulis untuk mengecam segala kejahatan yang telah musuh-musuh lakukan terhadap diri umat Islam. Tetapi an-Nadwi menulis dan mengkritik kegagalan umat Islam itu sendiri yang keliru untuk memahami kepentingan mereka di atas muka bumi ini. Secara luas dan pembahagian beberapa fasa, An-Nadwi mengajak pembaca untuk menyorot sejenak apa yang telah berlaku kepada batang tubuh umat Islam dengan meletakkan keadaan dunia sebelum kedatangan dan seruan kepada Islam oleh Nabi Muhammad S.A.W, ketika kebangkitan Islam, kemunduran dunia Islam, penjajahan bangsa-bangsa Eropah hinggalah ketika ini, ketika yang menyaksikan umat Islam keadaan inferiority complex yang dahsyat sehingga meletakkan Barat sebagai pengukur segala aspek kehidupan.
An-Nadwi menyebutkan bahawa tiada umat atau bangsa ketika ini yang bersikap lainnya dengan Barat, tiada yang cuba menyaingi kelajuannya, tiada yang menentang pemikirannya bahkan tiada yang mengkritik kehidupan mereka yang bersifat kebendaan baik di Eropah, Amerika, Afrika dan juga Asia. Walaupun begitu, saya menganggap bahawa pandangan ini dikeluarkan lewat penguasaan Barat ke atas dunia Islam satu ketika dahulu dan keadaan semasa boleh dikatakan berlaku sedikit perubahan dalam beberapa dunia Islam baik dari segi sikap, pemikiran dan gerak kerja.
Fokus yang khusus terhadap kepimpinan dunia Arab oleh an-Nadwi dalam bab akhir selepas kebangkitan Islam seharusnya menjadi buah fikiran terhadap para pejuang Islam dan pendokong keadilan dan kebenaran bahawa mereka menduduki kedudukan yang istimewa dalam panggung sejarah peradaban dunia. Gesaan dan idea-idea yang diberikan oleh an-Nadwi dilihat cukup baik untuk diberi perhatian dan dilaksanakan oleh bangsa Arab.
Walaupun benar, suara-suara kebangkitan Islam masih kukuh kedengaran sejak tahun kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniyyah hinggalah hari ini namun hakikatnya dunia Islam masih jauh untuk meletakkan kembali kedudukan mereka dalam kemuliaan landasan dunia dan akhirat. Penguasaan mereka terhadap ilmu pengetahuan masih boleh dipertikaikan, kesungguhkan membangunkan teknologi persenjataan, perubatan, sistem maklumat, dan sebagainya masih dalam begitu jauh berbanding apa yang telah Barat usahakan sejak sekian lama.
Akhirnya kita melihat dunia Islam masih dalam keadaan memberikan reaksi secara permukaan semata-mata demi merealisasikan perjuangan untuk menegakkan kembali syariat Islam. Revolusi yang meletus hanyalah ekoran kemarahan dan perasaan tidak puas hati yang dialami oleh rakyat yang ditindas dalam negara yang diperintah oleh diktator kuku-besi.
Namun secara jangka masa panjangnya, revolusi tersebut masih dalam kekaburan untuk meyakinkan umat Islam bahawa kebangkitan Islam sedang berlaku. Kerangka bertindak ke arah itu hakikatnya masih dalam petak-petak puzzle yang masih gagal dicantumkan untuk mendapat sebuah gambaran sebenar kebangkitan Islam. Barangkali juga, umat Islam masih kuat dimainkan oleh pesona-pesona yang bersifat populis yang cukup mengagumkan. Revolusi, demonstrasi, kecaman demi kecaman, semuanya begitu cukup menghiburkan berbanding bertindak mengukuhkan tapak, membenamkan cerucuk yang padu supaya sebuah bangunan yang terbina atas tapak itu lebih kuat.
Barangkali saya berpendapat bahawa revolusi ini hanya bersifat jangka masa-pendek, yang sesuai hanya untuk menumbangkan pemerintahan rejim diktator-diktator Arab namun secara jangka masa panjangnya, pendokong gerakan Islam harus pantas memainkan peranan bagi memurnikan kembali revolusi rakyat yang tercalar dengan insiden rompakan dan kecurian ini ke arah yang lebih meyakinkan dan bersifat rekonstrukif (runtuhkan dan bina semula). Namun persoalannya, bersediakah para pendokong gerakan Islam untuk memikul tanggungjawab yang maha kompleks ini?
Sila dapatkan kebenaran sebelum memetik artikel ini atau mana-mana bahagian dalam artikel ini untuk memelihara ketulenan sekaligus menjauhi salah faham fakta. Kerjasama amatlah dituntut.