Promosi

Tuesday, March 8, 2011

Menerjang Badai PAS Baru

Mari kita mensifatkan dahulu kedua-dua buku yang bakal kita bincangkan ini. Buku Menuju PAS Baru dan Menerjang Badai boleh sahaja kita kelompokkan dalam kategori yang mewakili aliran Pasca-Islamis dan Islamis yang pastinya mempamerkan perbezaan faham kepada nilai sejarah dan interaksi kepada perubahan semasa antara kedua-dua kelompok ini. Namun disinilah yang menariknya justeru berlaku pula pertembungan idea dan faham terhadap sejarah yang saya yakini tidak akan membawa kepada krisis dan konflik yang berpanjangan dan meruncing melainkan lebih mendekatkan PAS dan para pendokongnya kepada kepelbagaian idea yang sudah tentulah sangat diraikan dalam PAS selaku wadah terbaik untuk menjayakan nilai-nilai dan slogan “Islam sebagai agama perjuangan”. Wajarnya juga pertembungan ini dipandu, risau-risau kedua-dua penulis ini masih dan teguh berlapang dada antara satu sama lain tapi para pembaca tegar pula yang asyik berkonflik sesama sendiri. Saya melihat perubahan ini sebagai satu aliran baru dalam PAS yang akan mengukuhkan lagi bukan sahaja fikrah PAS bahkan menarik minat pemerhati politik untuk meneliti bagaimana konflik dalaman dapat diselesaikan dengan baik dan menambah nilai intelektual dan debat sihat.

Saya pernah menghadiri Wacana Bedah Buku Menuju PAS Baru pada 16 Januari 2011 di Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang dan satu ingatan penting yang sempat saya salin ialah dengan tegas Dr Mujahid mengatakan bahawa Menuju PAS Baru hanya menyentuh soal organisasi dan bukan soal prinsip dan dasar. Maka secara adilnya janganlah ada yang bermulut lancang mengatakan Menuju PAS Baru sebagai wadah pengeruhan fikrah ahli PAS sedia ada. Saya pasti samada ahli PAS yang bercakap sedemikian sebagai kelompok yang malas membaca atau mereka membaca tapi malas pula untuk berfikir. 

Kali ini saya tidaklah akan mengulas segala apa yang diulas oleh Ustaz Riduan dalam Menerjang Badai justeru selepas membaca Menerjang Badai, rasanya tidak semua isu tersebut penting untuk dijawab kembali namun jika terdapat permintaan, maka wajar untuk saya fikirkan kembali untuk mengulas mana-mana bahagian yang saya tinggalkan dengan sengaja. Meletakkan ayat Menjawab Buku Menuju PAS Baru seperti yang tertera dalam kulit hadapan Menerjang Badai juga sebenarnya tidaklah begitu tepat jika dinilai pada isinya justeru jawapan kepada Menuju PAS Baru wujud dalam kandungan yang sangat sedikit dan dijawab dengan hujah yang agak lemah dan masih boleh dipersoalkan. Barangkali sewajarnya buku ini meletakkan ayat “Menerjang Badai disamping Menjawab Menuju PAS Baru”. Sebagai pembaca saya merasa seakan-akan tertipu dengan tajuk hadapannya. Namun begitu buku ini ada nilai akademiknya justeru lengkap dengan sorotan karya yang sangat membantu saya sedikit sebanyak memahami latar belakang beberapa penulisan mengenai PAS dalam arena politik tempatan dan gelanggang dunia. 

Harus kita fahami bahawa Menuju PAS Baru merupakan sebuah buku yang meletakkan strategi dan pengurusan konflik sebagai asas kepada perbincangan dan hujahan dalam setiap teori yang disusunnya. Justeru bahasa yang digunakan oleh Dr Mujahid adalah bahasa pengurusan konflik. Sebagai contoh, Dr Mujahid menyebutkan tentang persaingan kedudukan Presiden antara Dr Burhanuddin dan Prof Dr Zulkifli Muhammad pada muka surat 53. Inilah bahasa konflik iaitu “persaingan” cuma bagaimana bentuk persaingan itulah yang harus kita telaah dan bukan faktor konotasi “persaingan” itu yang dilihat terlalu cenderung kepada hal-hal yang negatif. Hal inipun saya yakini bukanlah maksud sebenar Dr Mujahid justeru jika dibaca pada lampiran VIII bertajuk “Apabila Saya Berhujah Di Program Hujah” pada muka surat 179, Dr Mujahid sendiri diperangkap oleh moderator, Dr Agus Yusof mengenai perbalahan antara dua Tok Guru yakni TG Nik Abdul Aziz dan TG Haji Abdul Hadi Awang dan Dr Mujahid menghuraikan isu perbalahan ini dengan cukup meyakinkan. Disinilah letaknya kepakaran Dr Mujahid dalam mengolah dan membentuk persepsi awam terhadap isu dalaman parti. Mesti kita tegaskan bahawa isu dalaman parti sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada persepsi masyarakat luar apatah lagi oleh musuh politik yang mencari peluang untuk menangguk di air keruh. Maka tidaklah salah untuk kita menggunakan bahasa awam seperti Persaingan, Perbalahan, Perselisihan dan sebagainya dalam konteks menerangkan tentang konflik yang berlaku dalam parti asal sahaja perbahasan yang kita utarakan itu diatur dengan kemas dan jujur. Maka saya tidak melihat Ustaz Riduan perlu mengulas isu “persaingan” dalam bukunya kerana isu tersebut tidak ada apa-apa nilai untuk didebatkan bahkan memanjang lebarkan profil tentang latar belakang kedua-dua tokoh gergasi dalam sejarah PAS tersebut dilihat hanya memanjang-manjangkan hal yang remeh. Teknik ulasan begini sebenarnya tidak ubah seperti sikap UMNO yang berdolak dalih dalam isu-isu persaingan jawatan dalam parti.

Sekali lagi batang tubuh Dr Burhanuddin menjadi bahan perbahasan. Kali ini Dr Mujahid disanggah pada muka surat 54-55 mengenai Dr Burhanuddin yang sedikit cair Islam-Politiknya apatah lagi beliau sudah memimpin gerakan radikal-kiri nasionalis-sosialis sebelum menyertai PAS. Secara mudah untuk difikirkan ialah tentulah tidak mudah untuk ahli dan pimpinan PAS sedia ada menerima kehadiran Dr Burhanuddin apatah lagi untuk memimpin PAS justeru dilihatkan kepada latarbelakangnya yang tidak dekat dengan gerakan Islam. Kita harus jujur menerima hakikat sesebuah organisasi bahawa menerima anggota baru yang pernah berbeza aliran tentulah bukan satu keputusan yang mudah untuk dilakukan apatah lagi untuk menabalkan dia dalam pakatan pimpinan. Maka apa yang diutarakan oleh Dr Mujahid sebenarnya masih boleh diterima jika bahasa konflik diguna-pakai.

Kesan salah faham terhadap kepimpinan ulama seperti yang dijawab oleh Ustaz Riduan juga sebenarnya tidaklah memberi satu hentakan yang dahsyat kepada persoalan yang ditimbulkan oleh Dr Mujahid. Sewajarnya juga untuk kita soroti bentuk pemerintahan ulama di Iran yang menyaksikan bahawa Presiden tidak semestinya seorang ulama seperti Dr Mahmoud Ahmadinejad. Namun yang pasti ialah pemimpin yang lebih tinggi daripada Presiden itulah yang harus menjadi ulama. Sultan Salahuddin al-Ayyubi juga bukanlah seorang ulama seperti yang difahami pada zaman itu walaupun ilmu agamanya tinggi tetapi beliau turut dipimpin oleh seorang ulama selaku Murabbinya. Walaupun begitu, Penasihat kepada Presiden dan Sultan ini bukanlah bertindak secara kuku besi bahkan sekadar sebagai penasihat semata-mata. Walaupun Ustaz Riduan bercakap tentang harapan beliau kepada kepimpinan Ulama namun harapan itu hanyalah bersifat peribadi dan tidak wajar digunapakai dalam perbahasan awam. Almarhum Ustaz Fadzil Noor dahulu pun pernah mengutarakan gagasan “MengUlama’kan Intelektual dan Mengintelektualkan Ulama’”. Justeru apa pentingnya gagasan ini menambah nilai intelektual dalam diri ulama’ jika ulama benar ulama senantiasa atas kebenaran? Almarhum jika dilihat sebenarnya seorang yang berfikiran waras dan realistik dalam menilai keadaaan semasa. Beliau jugalah yang pernah menyebutkan (jika tidak silap saya) bahawa tidak mudah untuk PAS melaksanakan hukum Islam jika diberi peluang memerintah Malaysia (satu kenyataan yang dilihat lari dari konsep perjuangan PAS iaitu menegakkan hudud).  Barangkali (diulangi Barangkali) beliau melihat bahawa jika ulama atau intelektual diberikan kedudukan yang terlalu luas, kemungkinan besar boleh sahaja berlaku penyalahgunaan kuasa seperti pengharaman Menuju PAS Baru oleh Dewan Ulama PAS Kedah yang jika dilihat oleh khalayak awam ketika ini sangatlah mencerminkan kelesuan budaya berbahas dan intelektual dalam gerakan Islam. Maka apakah wajah kepimpinan ulama seperti ini yang didambakan oleh ahli PAS? Jawapan saya mungkin ‘ya’ bagi kelompok yang bersemangat untuk menang tetapi malas untuk berinteraksi dengan perbezaan nilai dan fahaman. Ustaz Riduan juga tidak mengulas hal yang lebih penting iaitu bukan semata-mata relevankah ulama untuk memimpin tetapi persoalan mengenai mengubah istilah kepimpinan Ulama kepada Kepimpinan Berkebajikan, Kepimpinan Sejagat dan Kepimpinan Untuk Semua yang mana istilah ini sangatlah tidak memiliki nilai-nilai ke‘ulama’kan dan idea inilah yang rasanya lebih wajar untuk disentuh oleh Ustaz Riduan untuk meyakinkan masyarakat semua kaum bahawa kepimpinan PAS adalah relevan dengan semua istilah ini. Dan Dr Mujahid ada mengulas dengan baik isu Kepimpinan Ulama ini dalam Lampiran II bertajuk Kepimpinan Ulama pada muka 147.

Dalam isu Menasionalkan PAS juga seharusnya Ustaz Riduan tidak semata-mata tertumpu kepada pemakaian simbolik seperti yang disentuh oleh Dr Mujahid iaitu lagu Negaraku, bendera Jalur Gemilang dan sebagainya namun harus dibaca juga pada Lampiran IX iaitu “Mengapa Tiga Tonggak Negara Penting?” dalam Menuju PAS Baru pada muka 183 iaitu persoalan Hak Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan dan Raja-raja Melayu justeru hal inilah yang bakal menampilkan sikap nasionalistik PAS terhadap Malaysia iaitu dengan berani mempertahankan tiga tonggak ini dalam Perlembagaan Persekutuan secara praktikal. Sebenarnya hal inipun tidaklah mudah diuruskan justeru PAS mempunyai bebanan sejarah yang besar dalam isu ini justeru PAS jugalah dahulu yang menyebut Perlembagaan Persekutuan sebagai taghut, kafir dan sekular. Dan sekarang kelompok Pasca-Islamis seperti Dr Mujahid menekankan kepentingan PAS untuk memainkan peranan yang penting dengan menampilkan diri sebagai perwira ulung yang akan mempertahankan kedaulatan negara dan perlembagaan. Dan nampaknya hal ini tidak disinggung oleh Ustaz Riduan. Benar, tidak pernah rasanya lagu Negaraku dijadikan isu sebagai syar’ie ataupun tidak dalam Islam seperti yang disebut oleh Ustaz Riduan dalam Menerjang Badai pada muka 186 namun bagaimana pula PAS menjawab persoalan semasa tentang perlunya PAS mempertahankan Perlembagaan Persekutuan sedangkan langit sejarah (istilah yang kerap diulangi oleh Ustaz Riduan) PAS menyebutkan bahawa PAS pernah mengatakan Perlembagaan Persekutuan sebagai warisan penjajah, tidak Islamik, sekular dan kafir? 

Saya harus akui dari awal-awal bahawa ulasan ini pasti juga ada lompongnya yang tersendiri justeru saya sendiri kekurangan bahan untuk merujuk namun janganlah pula kerana ini nanti saya dituduh “sudahlah jahil, mahu bercakap pula” kerana saya mengambil peranan yang diletakkan oleh Ustaz Riduan Mohamad Nor untuk menyegarkan budaya intelektual dan perbahasan sihat dalam PAS. Sekurang-kurangnya dalam kejahilan ini juga saya sudah memainkan peranan yang sewajarnya. Seperti yang saya sebutkan diawal tadi juga iaitu ini bukan wadah untuk PAS berpecah tetapi PAS akan semakin mengukuh dengan kerencaman idea dan perdebatan begini.


Sila dapatkan kebenaran sebelum memetik artikel ini atau mana-mana bahagian dalam artikel ini untuk memelihara ketulenan sekaligus menjauhi salah faham fakta. Kerjasama amatlah dituntut.