![]() |
| Tersiar di Fikrah Harakah 24-26 Jun 2011 |
Artikel asal.
Menggeleng-geleng kepala saya ketika membaca rencana yang ditulis oleh Muhammad Afifi Abdul Razak, pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), yang merupakan kampus tempat saya menuntut selama tiga tahun dahulu. Rencana beliau yang berjudul “Kumpulan bukan ulama ubah haluan Pas?” yang disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 14 Jun 2011 sangatlah mencerminkan kedangkalan analisisnya selaku ahli akademi. Terdapat begitu banyak kesilapan dan prasangka ketika beliau menegakkan hujahnya. Paling lucu ialah beliau mengaitkan konflik antara Islam Tradisionalis dan Islam Liberal dalam PAS. Malang pula rasanya apabila beliau tidak menghuraikan apa yang beliau fahami mengenai Islam Liberal dalam PAS namun jika disorot dengan mendalam ternyata beliau jahil berkenaan Islam Liberal. Hujahnya mudah iaitu asalkan seseorang dalam PAS itu bukan golongan ulama maka sudah pastilah seseorang itu penganut fahaman Islam Liberal. Itulah juga yang disebut pada perenggan akhir supaya PAS mendefinisikan partinya sebagai ‘Parti Islam Liberal Se-Malaysia’.
Kenyataan perenggan pertama beliau bahawa golongan ulama ditewaskan oleh golongan bukan ulama merupakan sebuah premis yang sangat rapuh. Apakah sebenarnya yang beliau fahami mengenai jalur ulama dan bukan ulama? Perlu diulangi iaitu adalah sesuatu yang aneh apabila jalur bukan ulama diletakkan pula dalam kandang Islam Liberal dengan tidak semena-mena. Siapakah pula pimpinan PAS yang dituduh menganut fahaman Islam Liberal? Ternyata rencana ini adalah sebuah kenyataan yang jahat dan berniat serong. Beliau harus memahami PAS dengan merujuk kepada Perlembagaan PAS (Pindaan 2011) yang menyatakan dengan jelas kedudukan ulama dalam PAS. Untuk makluman, Majlis Syura Ulama merupakan badan tertinggi dalam PAS bahkan dalam Fasal 8 (1)(a) dengan jelas menyatakan kedudukan ulama dalam PAS. Maka sepatutnya tidak timbul lagi polemik samada ulama atau profesional yang sedang menguasai PAS justeru di dalam PAS, ulama dan profesional saling memerlukan. Hal ini pasti tidak wujud dalam UMNO yang menyaksikan ulama hanya menjadi tunggangan dalam UMNO semata-mata.
Apa yang dapat saya simpulkan ketika membaca rencana beliau ialah kegagalannya untuk memahami prinsip-prinsip dalam Tasawwur Islam (Islamic Worldview) seperti al-Murunah. Hal ini sekaligus mempamerkan kedangkalan ahli akademi seperti beliau untuk melihat gerakan politik Islam dalam sudut pandang yang lebih terbuka dan dinamik. Prinsip Al-Murunah yang bererti dinamik atau fleksibel-lah yang telah mengupayakan dan membolehkan gerakan Islam seperti PAS mampu berkembang sehingga diterima oleh masyarakat bukan Islam seperti Cina dan India. Itulah yang sedang berlaku ketika ini dimana PAS menggunakan kerangka negara-bangsa Malaysia dalam menyampaikan maksud dan agenda perjuangan PAS.
Bahkan keberanian PAS untuk mengalihkan konsep ‘Negara Islam’ kepada konsep ‘Negara Berkebajikan’ membuktikan bahawa PAS pada ketika ini sememangnya sedang beralih wacana dan wajahnya agar kelihatan lebih segar dan mudah didekati oleh masyarakat Malaysia yang plural dan liberal. Namun hal ini bukan bermakna PAS sedang menggadai prinsipnya tetapi PAS sedang berusaha untuk menyampaikan isi perjuangan berbanding label kulit semata-mata. Afifi harus muhasabah kembali sebuah episod dalam sirah Nabi Muhammad S.A.W iaitu dalam peristiwa Hudaybiyyah. Ketika berlaku rundingan antara Rasulullah dan Suhayl bin ‘Amru, Suhayl meminta agar kalimah Bismillahirrahmanirrahim ditulis kepada Bismikallahumma sahaja manakala Muhammad Rasulullah ditulis kepada Muhammad bin Abdullah. Walaupun hal ini ditentang oleh Saidina Ali R.A selaku jurutulis dalam rundingan tersebut namun Rasulullah sebagai pemimpin yang mempunyai wawasan yang jelas atas tindakan itu bersetuju dengan cadangan Suhayl walaupun secara permukaannya kelihatan Rasulullah cuba direndah-rendahkan martabatnya bukan sahaja selaku seorang Rasul utusan Allah bahkan sebagai seorang pemimpin dari negeri Madinah an-Nabawiyyah.
Demikianlah hasil kebijaksanaan yang harus difahami dan bukan dinafikan oleh hasad dengki yang cuba dikuatkan dengan kekuatan akademi semata-mata. Lihatlah hasil selepas perjanjian tersebut ke manakah Islam itu tersebar akhirnya sehingga mampu untuk Rasulullah melakukan Fath al-Makkah dalam suasana yang aman dan damai. Inilah ibrah yang harus ahli akademi seperti beliau fahami! Bukannya menjadi ahli akademi kangkung yang rela digoreng belacan!
Jika hal ini dibawa dalam konteks semasa, sewajarnya Afifi memahami hal ini dalam dengan menggunakan ruang lingkup wacana pasca-Islamis dan bukannya terus melompat dan merepek tentang Islam Liberal. Hal ini penting supaya beliau berupaya membezakan antara warna Islam Liberal dan Pasca-Islamis. Sangatlah hodoh jika asas kepada wacana ini gagal difahami dengan baik justeru jika beliau ikhlas menyelidiki ternyata banyak gerakan Islam lain diseluruh dunia kembali bercakap dengan menggunakan bahasa dan istilah yang lebih terbuka dan mudah difahami. Sebagai contoh, Parti Kebebasan dan Keadilan yang ditubuhkan oleh Ikhwanul Muslimin selepas revolusi di sana telah menggantikan slogan Islam sebagai penyelesaian kepada “Kebebasan adalah Penyelesaian dan Keadilan adalah Pelaksanaan (Freedom is the Solution and Justice is the Application)”.
Isu pengaruh Anwarisme pula bukanlah hal yang terlalu penting sebenarnya untuk diulas bahkan tidak wujud pun golongan Anwarisme dalam PAS melainkan hanya sangkaan-sangkaan jahat rejim UMNO-BN yang gentar dengan kesepakatan PAS-PKR-DAP. Dakwaan itu juga aneh justeru barisan kepimpinan PAS kali ini sudah cukup teruji dan dikenali sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dipecat dari jawatan kabinet hasil konspirasi terjijik dalam Malaysia. Menggunakan isu Anwar sebagai usaha memecah belahkan kepimpinan PAS hanya membuktikan dakwaan bahawa UMNO dalam ketakutan untuk menghadapi PAS dan DSAI.
Akhir kalam, peliharalah martabat ilmu yang anda miliki. Saya sayangkan anda selaku pensyarah dan juga UUM sebagai taman saya membangunkan kualiti diri. Saya berharap agar nilai intelektual yang dimiliki oleh anda boleh digunakan untuk membangunkan kualiti UUM dan bukan sekadar menjadi intelektual yang tertawan mindanya.
Sila dapatkan kebenaran sebelum memetik artikel ini atau mana-mana bahagian dalam artikel ini untuk memelihara ketulenan sekaligus menjauhi salah faham fakta. Kerjasama amatlah dituntut.













