Promosi

Wednesday, March 30, 2011

Al-Ikhwan Al-Muslimun Dari Kaca Mata Al-Qaradhawi.


Bagi mereka yang memilih untuk berada atas jalan perjuangan Islam, pilihan ini sering mengundang dilema yang bukan picisan untuk dirungkaikan justeru tindakan ini bermaksud mereka sedang bersedia untuk menghadapi 1001 mehnah dan tribulasi justeru begitulah sunnah dalam perjuangan yang Haqq. Meninggalkan kesenangan yang pernah dinikmati bahkan bersedia untuk kehilangan segala kemewahan yang pernah dikecapi sebelumnya. Bukan sedikit juga manusia yang tewas atas ujian ini atas sebab desakan hidup dan tuntutan material yang sering menjerut apatah lagi dalam kehidupan kini yang pekat dengan pengaruh materialism. Potensi untuk dibenci dan dicaci nista oleh orang sekeliling bahkan ahli keluarga sendiri juga adalah antara keperitan yang harus ditempuhi. Hal ini bukanlah sesuatu yang aneh dan jauh dari kenyataan justeru jalan-jalan yang penuh berliku ini telah pun dilalui lebih awal oleh para nabi dan rasul demi menghadapi masyarakatnya dalam usaha untuk mengenalkan tujuan sebenar kehidupan seorang manusia sebagai makhluk yang diperintahkan untuk mentadbir seluruh alam ini dengan tata-kelola yang baik selandas dengan panduan Al-Quran dan Sunnah. 

Nabi Muhammad S.A.W serta para sahabah bermula sebagai sekumpulan kecil manusia dalam misi kemanusiaan yang ditapakkan atas jalan tauhid dan aqidah untuk membangunkan masyarakat dan negara yang diredhai oleh Allah yang mana keadilan sosial dititikberatkan sebagai aspek terpenting dalam amalan bernegara. Memang sesuatu yang bersifat pasti dalam disiplin sejarah bahawa setiap yang naik pasti ada jatuhnya. Begitulah juga yang berlaku kepada Dunia Islam yang berakhir dengan kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah yang berganti dengan Republik Turki yang mengangkat Sekularisme sebagai amalan tertinggi dalam negara dan turut memulakan episod baru gerakan Islam yang disebut oleh Kalimi Siddique sebagai “mini Islamic State” justeru membawa sejumlah besar peranan negara Islam dalam kelompok pendokongnya sebagai usaha membangunkan semula semangat Islam dan praktikalitinya dalam aspek kenegaraan. Maka disinilah al-Ikhwanul Muslimin yang ditubuhkan pada 1928 sebagai responsif yang bukan secara kebetulan dan selapis sahaja, melainkan telah dipasakkan gerakan Islam ini dengan ditunjangi akar kefahaman terhadap Islam sebagai Sistem dan Cara Kehidupan (The Way of Life). Namun bukan mudah pula misi untuk membangkitkan semula keunggulan Islam setelah sekian lama diselindungkan oleh kejahilan umat Islam sendiri yang terpesona dengan kemilau materialisme yang kerangkanya ialah Sekularisme yang telah menghilangkan dan meranapkan nilai-nilai rohaniah dalam aspek kehidupan yang akhirnya menjuruskan manusia seluruhnya kepada kekeliruan terhadap pengertian sebenar nilai sebuah kehidupan dan agama.

Demikianlah sepintas lalu sorotan mengenai gerakan Islam yang mencipta fenomena kekaguman di dunia Islam dan kegentaran di dunia Barat. Masakan tidak, kewafatan Imam Hassan al-Banna disambut dengan penuh kegembiraan oleh masyarakat Barat sehingga menimbulkan kehairanan dibenak Syed Qutb yang melihat gelagat aneh tersebut dan akhirnya Syed Qutb menyertai Ikhwanul Muslimin setelah mengkaji sendiri gerakan Islam itu.

Ikhwanul Muslimin melalui ranjau yang sangat berliku dan jarang-jarang kita dihadapkan dengan sebuah penulisan yang menceritakan ‘kisah dalam kelambu’ Ikhwanul Muslimin melainkan beberapa buah sahaja dan antara yang paling memikat  ialah buku yang dikarang oleh ilmuwan besar lulusan al-Azhar iaitu Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi. Dengan penuh kerendahan diri dan keadilan. Al-Qaradhawi menceritakan kisah yang dilaluinya bersama Ikhwanul Muslimin. Lumrahlah, sebagai gerakan Islam yang dinaungi oleh pelbagai kelompok manusia yang berbeza latar belakang dan kefahaman, maka gerakan Islam juga sedikit sebanyak turut terpalit dengan kontroversi dan tanpa apologetik, Al-Qaradhawi mengulas tentang itu dengan penuh hikmah dan adil.

Dalam buku inilah Al-Qaradhawi, mutiara Islam kelahiran Safat Turab, bercerita tentang Madrasah Al-Ikhwanul Al-Muslimun yang telah membentuk watak peribadinya sedari dibangku sekolah sehinggalah ketika ini. Beliau memulakan travelog tarbiyyah ini dengan mengimbau kenangan yang dilalui dengan seorang gurunya, al-Ustaz Al-Bahi Al-Khuli yang disifatkannya sebagai seorang yang pakar sejarah dan peta geografi.

Al-Qaradhawi mengisahkan bagaimana mereka yang terlibat dengan gerakan Ikhwan pasti merasai nikmat perjuangan dan suasana keilmuwan yang sangat luas. Walau dimana sahaja mereka diletakkan, pasti disitu madrasah Islam akan terbina bahkan ketika disumbatkan dalam penjara At-Tur ketika Mesir dibawah rejim taghut Ibrahim Abdul Hadi yang mana disyaki turut terlibat dalam komplot pembunuhan al-Syahid al-Imam Hassan al-Banna, Al-Qaradhawi menyebutkannya sebagai pusat latihan abadi bagi Ikhwan justeru halaqah yang menyentuh pelbagai disiplin pengajian Islam tetap berlangsung disini dan pentarbiyyahan disini menyentuh ketiga-tiga aspek manusiawi iaitu aspek jasad melalui latihan fizikal, akal melalui halaqah-halaqah dan jiwa melalui ibadah yang dilakukan secara berjemaah. Apatah pula Al-Qaradhawi tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dan syukurnya justeru dipertemukan oleh Allah dengan seorang ilmuwan dan pemikir besar lulusan al-Azhar iaitu Sheikh Muhammad al-Ghazali setelah sekian lama meminati Sheikh al-Ghazali lewat karya-karya ilmiahnya. Al-Qaradhawi masih dibangku sekolah menengah ketika disumbatkan dalam penjara ini dan menghadapi kegetiran untuk mentelaah segala pelajaran demi menghadapi peperiksaan.

Maka bolehlah disebutkan yang penjara merupakan universiti yang mampu membentuk rupa peribadi pejuang Islam yang lebih tulen sekaligus menjadi wadah penapis antara mereka yang komited dengan perjuangan Islam dengan yang tidak. Begitulah bukti sejarah. Penjara terkadang menjadi pusat pembentukan paling berkesan bukan hanya manusia biasa bahkan golongan nabi seperti Nabi Yusuf turut pernah dipenjarakan.

Turut dikisahkan ialah sebuah tanzim yang bernama Nizam Khas yang ahlinya pernah mufaraqah daripada kepimpinan Ikhwan. Nizam Khas yang diketuai oleh Abdurrahman as-Sindi turut mendakwa bahawa perjuangan lebih tulen dan lebih layak menerajui gerakan Islam. Selain episod pembunuhan hakim Khaznidar, Nizam Khas turut membuat onar terhadap kepimpinan Ikhwan dengan memaksa Mursyidul Am kedua Ikhwan, Sheikh Hassan Hudhaibi Bek segera meletakkan jawatan dan pelantikan baru dilakukan selain Nizam Khas cuba mengambil- alih Markaz Am Ikhwan.

Satu hal yang perlu ditekankan dalam penulisan ini ialah tentang Hassan al-Banna yang selalu dipalitkan dengan kata-kata kotor dan keji yang cuba disalutkan dengan kononnya nas berlandaskan Al-Quran dan Sunnah yang selalunya pula kekotoran kata-kata ini dilakukan oleh segolongan manusia yang sering mendakwa kononnya peneraju tulen aliran Tajdid dan Islah dengan mengatakan bahawa Ikhwan adalah kelompok yang mempunyai ciri-ciri Khawarij bahkan ada buku yang ditulis mendedahkan keburukan Ikhwan yang diasaskan oleh al-Banna. Kesemua tuduhan dangkal dan fitnah ini dijernihkan oleh seorang ilmuwan besar Islam dalam bidang Hadith dan Sejarah Islam kelahiran India iaitu Maulana Abul Hassan Ali al-Hasany an-Nadawi yang terkenal dengan karyanya Madza khasiral ‘Alam bi Inhithathil Muslimin? (Apakah Derita Yang Akan Dunia Alami Apabila Islam Mundur?) yang mana al-Qaradhawi menitipkan kembali pandangan Maulana an-Nadawi mengenai al-Banna iaitu
“Sesungguhnya Sheikh al-Banna adalah seorang pemimpin rabbani. Beliau bukan sekadar pemimpin yang inginkan sebuah pemerintahan Islam, tetapi sebelum itu, beliau adalah seorang guru, seorang pembangun, seorang murabbi yang ingin membentuk generasi baru Islam yang memiliki pemahaman yang jelas tentang Islam, beriman dengannya, berpegang teguh pada ajarannya, menyampaikannya dan berjihad di jalannya”
Buku ini agak terperinci dalam menceritakan detik-detik yang mencemaskan yang dihadapi oleh Ikhwan bahkan mungkin catatan yang paling sesuai dan adil untuk mengkaji Ikhwan justeru catatan ini ditulis oleh seorang insan yang diakui keilmuwan dan komitmen yang tinggi dalam menegakkan kalimah yang Haqq pada tempat yang tertinggi selain telah mengisi kepustakaan khazanah disiplin Islam kontemporari dengan pelbagai karyanya yang memiliki pengaruh perdana dan turut dikenali antara sarjana Islam yang gigih memperjuangkan konsep fiqh al-waqi’ yang akan membentuk perbezaan dari sudut kefahaman dan amalan dalam kawasan yang berbeza demi mencapai maqasid yang diaturkan oleh Syariah.

Sila dapatkan kebenaran sebelum memetik artikel ini atau mana-mana bahagian dalam artikel ini untuk memelihara ketulenan sekaligus menjauhi salah faham fakta. Kerjasama amatlah dituntut.