Dibaca ketika tahun pertama di UUM |
Beliau, al-Ghazzali, tidak semata-mata sebagai seorang ulama yang mengisi zaman untuk membangkitkan umat, tidak juga seorang pengarang yang tulisannya mengisi khazanah keilmuan umat sedari dulu hingga hari ini bahkan Al-Ghazzali adalah arkitek, reformis, mujaddid, mujtahid untuk sebuah zaman baru yang lebih dinamik, segar dan bersemangat jiwa dan pemikiran para pendokongnya.
Seorang arkitek pembangunan ketamadunan yang kesegaran pemikirannya melampaui zaman sehingga memampukan seorang pemimpin umat, Sultan yang mulia, Salahuddin al-Ayyubi memimpin umat untuk merampas kembali Jerusalem ke pangkuan umat Islam sekali gus mendatangkan kesejahteraan kepada seluruh muka bumi Allah Ta’ala ini.
Anehnya, Al-Ghazzali yang boleh sahaja dikelompokkan sebagai seorang negarawan, tidak pula memilih jalur politik tampuk kekuasaan bagi menyebarkan idealismenya untuk kesejahteraan umat, beliau juga tidak memilih kedudukan dalam ketenteraan yang ketika itu dilihat sebagai sebuah tampuk paling strategis duduknya demi mengangkat namanya untuk dikagumi para sekutu dan seterunya.
Sebaliknya al-Ghazzali terus mendiami sebuah wilayah kecil dalam hidupnya dan berusaha keras dan hikmah untuk menguraikan segala simpulan yang mengikat mati daya juang umat Islam dan memecahkan tembok untuk umat Islam supaya mereka ketahui bahawa jalan perjuangan masih luas lapangannya berbanding dari terus bertelingkah dalam sekitar tembok yang menyempitkan.
Tembok fiqh dan tasawwuf yang memisahkan kedua-dua kelompok ini juga berjaya dipecahkan oleh al-Ghazzali dengan memurnikan dan membina nilai integrasi antara kedua-duanya untuk sama-sama bergabung demi kesejahteraan umat. Gejala fanatik terhadap mazhab dan kegemaran kepada mempertikaikan mazhab-mazhab lain, jiwa kesufian yang melemahkan jiwa, menggalakkan khurafat dan bid’ah, marabahaya fahaman Batiniyyah yang menyesatkan, kesongsangan dan bahaya falsafah yang melata sekitar kehidupan ilmuwan Islam ketika itu. Semua gejala dan pola pemikiran inilah yang telah dihadapi seorang diri oleh al-Ghazzali dalam misinya menyelamatkan aqidah dan akhlak umat Islam.
Ada mulut lancang dan busuk yang selalu mencuba-cuba merendahkan martabat al-Ghazzali. Mulut yang selalu melancang dengan mengatakan bahawa al-Ghazzali penyebab kemunduran umat Islam, peruntuh ketamadunan Islam walhal para penentangnya yang gagal melawan hujah keras dan tepat al-Ghazzali, pembawa jiwa kesufian yang melemahkan fikiran sehingga ada kelancangan yang mengutuk sikap al-Ghazzali yang tidak menyertai peperangan menentang tentera Monggol kerana terus-menerus asyik dengan jiwa kesufiannya di menara masjid Damsyik bahkan mengatakan al-Ghazzali menolak konsep jihad justeru tiada dalam karangan Ihya’ yang membahaskan persoalan jihad apatah lagi ketika hidup al-Ghazzali, peperangan dengan tentera Salib dan penyerangan oleh Monggollah yang paling kerap berlaku dan oleh itu wajarnya konsep jihad segera diisi dan dibahas oleh al-Ghazzali –satu ketika yang benar-benar mengheret al-Ghazzali ke kancah perbicaraan sejarah kerana mengabaikan keperluan berjihad ketika itu.
Paling memalukan bila ada yang mengatakan al-Ghazzali penyebar hadith-hadith palsu dalam karangan kitabnya seperti yang terlakar dalam Ihya’ Ulumuddin walhal telah dikhabarkan bahawa ketika saat kewafatannya, al-Ghazzali asyik menelaah kitab Hadith Sahih Bukhari dan kitab ini dipeluk atas dadanya sehingga terdapat pendapat yang mengatakan bahawa jika panjang umur al-Ghazzali pasti beliau akan mewarisi jalur kefahaman dan kecenderungan Salafi.
Bagi kelompok yang gemar mempertentangkan antara Al-Ghazzali dan Ibn Taymiyyah pasti akan termalu justeru Ibn Taymiyyah (yang memanggil al-Ghazzali dengan nama Abu Hamid) sendiri begitu tangkas membersihkan al-Ghazzali dari dikotorkan oleh tangan-tangan jahat yang berusaha merendahkan martabat al-Ghazzali.
Al-Ghazzali tidak hanya pengarang kitab yang hidupnya jauh dari realiti umat semasa bahkan karangan kitabnya hasil koreksi dirinya ketika menanggapi masalah umat. Tatkala bashirahnya mengalami pemurnian dan kejernihan, beliau menulis al-Munqidh min adh-Dhalalal. Al-Ghazzali dalam kitab ini menulis sekalian pengalaman pemikirannya disamping kecenderungan pemikiran dan pendidikan ketika itu. Perjalanan kesufian ini berubah kepada mengikat jiwanya dengan Sunnah ketika akhir hidupnya seperti yang telah dijelaskan di atas.
Al-Ghazzali sebenarnya seorang rekonstruktor ketamadunan Islam dan bukan seorang dekonstruktor seperti yang disebut lancang oleh musuh-musuhnya tetapi Al-Ghazzali meruntuh lalu membina dan bukan meruntuh dan membiarkan begitu sahaja. Buktinya, selepas kewafatannya, karangan kitabnya menjadi silibus pendidikan disekalian banyak madrasah umat Islam sehingga memampukan madrasah ini menghasilkan generasi Nuruddin dan Salahuddin yang akhirnya mampu menghadapi semua tentera Salib, dan mengembalikan kota al-Quds ke pangkuan Islam.
Pemikiran dan pengajaran yang al-Ghazzali susun dan aturkan memampukan umat Islam kembali memahami erti toleransi dan keluasan fiqh dan kesufian Islam. Pemikiran para ilmuwan Islam yang dirosakkan oleh segala jenis falsafah yang menggugat aqidah berjaya dibenamkan sedalam-dalamnya oleh al-Ghazzali sehingga tiada yang mampu menjawab segala hujah yang dilemparkan dan benar, dunia Islam ketika itu membisu dek kerana terhujat oleh ketegasan hujah Al-Ghazzali namun kemudian dipulihkan kembali semangat berfikir dan berijtihad oleh ilmuwan Islam justeru pemurnian yang dilakukan oleh al-Ghazzali melalui kitab Ihya’ Ulumiddin sehingga ada yang berpendapat bahawa sekiranya al-Quran dan Hadith hilang dari dunia Islam ternyata, amat mencukupi bagi umat Islam berpaut dengan Ihya’ Ulumiddin.
Ternyata, buku ini, yang dikarang oleh Dr Majid Irsan Kilani cukup membuka ufuk pemikiran umat semasa dalam menghadapi segala bentuk kebejatan yang dialami umat dengan menteladani gerak kerja dan gerak daya yang telah dilakukan oleh al-Ghazzali dalam memaknai perjuangan Islam di muka bumi ini.
Saranan kepada para ahli gerakan Islam sedunia ialah mari mentelaah buku ini dengan rakus dan sungguh-sungguh untuk memahami bentuk gerakan Islam dan keilmuwan yang telah dijana oleh al-Ghazzali dan bukan hanya masih berkisar dengan karangan-karangan para murabbi Ikhwanul Muslimin. Sesungguhnya integrasi antara pemikiran Al-Ghazzali dan Ikhwanul Muslimin atau apa juga perjuangan yang digariskan oleh gerakan Islam sedunia perlu dirancakkan oleh para pendokong Islam dan kebenaran jika mahu dunia Islam kembali memayungi serata alam.
Sila dapatkan kebenaran sebelum memetik artikel ini dan mana-mana bahagian dalam artikel ini untuk memelihara ketulenan sekaligus menjauhi salah faham. Kerjasama amatlah dituntut.