Promosi

Wednesday, February 23, 2011

Kesepaduan Iman dan Amal Salih

Dalam disiplin pemikiran Islam, wujud satu gerakan pemikiran yang menyatakan bahawa dosa tidak memberi mudarat kepada si pelaku dan pahala tidak memberi manfaat kepada si pengamal iaitu pemikiran Murji'ah.

Aliran pemikiran begini telah diperbaharui dalam konteks terkini dengan wajah yang sangat segar dan kononnya didokong oleh kelompok yang berfikiran matang dalam menilai kehidupan beragama lewat dewasa ini.

Kelompok yang secara asasnya menganggap bahawa agama adalah urusan peribadi akhirnya menoktahkan bahawa Sekularisme adalah panduan kehidupan yang terbaik untuk dilakukan justeru Sekularisme menjamin hak asasi manusia dan sekaligus mempertahankan nilai-nilai kebebasan yang menjadi harapan dan cita-cita sekalian manusia.

Kontradiknya ialah kelompok ini pula menggerakkan idea dan cita-cita yang keliru ini dengan menggunakan pula dalil-dalil agama untuk meyakini umat Islam bahawa perjuangan mereka adalah benar.

Disinilah bentuk kekeliruan yang terbesar yang dihadapi oleh umat Islam kontemporari dan perosak kepada pemikiran ini pula ialah golongan Islam Liberal yang sering mendabik dada kononnya pejuang tulen Islam yang mesti disokong oleh mereka yang berfikiran dan berpendidikan moden ataupun mereka yang mahu menikmati nilai-nilai ini.

Gejala kekeliruan seperti yang dibawa oleh Islam Liberal bukanlah satu hal yang terasing dari pemikiran arus perdana umat Islam bahkan HAMKA, ulama dan pujangga terbilang nusantara dan dunia telah menuliskan akan perihal ini lama dahulu dalam bukunya Kesepaduan Iman dan Amal Salih demi menjawab dan mengatur semula pemikiran umat Islam dan dalam konteks ini tentunya bangsa Indonesia yang terpengaruh dengan kecanggihan dan kemajuan Barat yang memperoleh semua nilai-nilai ini hanya selepas menolak agama dan menerima Sekularisme sebagai tata cara etika dan kehidupan.

Hamka yang menganalisis wabak kekeliruan ini meletakkan dasar pendidikan sebagai punca utama menjauhnya umat Islam dengan pengamalan Islam dalam erti kata yang sebenarnya.

Pengubahan konsep Akhlak yang digantikan dengan konsep Etika sebagai contoh, telah mengubah pandangan hidup (tasawwur Islami) Islam yang bersepadu sifatnya kepada mengamalkan dualisme dalam kehidupan beragama yakni melakukan hal-hal makruf dan mungkar pada ketika yang sama. Jika dia bersolat, dia juga tidak segan silu melakukan zina. Jika dia bersedekah, dia juga tidak segan silu untuk berjudi.

Namun begitu, Hamka mendidik dengan penuh hikmah setiap pelaku dosa dan membetulkan kesalahfahaman mengenai keadaan dosa dan pahala yang mana sering menimbulkan kekecewaan dan keputus-asaan justeru wujud manusia yang tekun beribadah dan beramal salih namun masih gagal membendung nafsu untuk melakukan kemaksiatan.

Ada juga golongan pendakwah yang kecewa dengan keadaan umat Islam ketika ini yang hidup dalam kedurjanaan sekaligus menganggap bahawa dakwah yang dilakukan selama ini adalah sia-sia belaka.

Segala kekeliruan dan kesalahfahaman ini dijawab secara tuntas oleh Hamka dalam buku ini sekaligus memberi semangat dan motivasi yang tinggi kepada pendakwah yang mengalami gejala kekecewaan seperti yang disebutkan ini.
Menariknya juga ialah didikan Hamka ini ditulis dengan menggunakan konsep dialog yang berlaku disamping memetik kata-kata hikmah pemikir-pemikir Islam yang begitu optimis dengan setiap waktu walaupun pada masa yang sama pekerja dakwah merasa dunia Islam contohnya semakin jauh meninggalkan ajaran Islam.

Disinilah letaknya keistimewaan Hamka yang selalu cemerlang dalam penulisannya.

Beliau menulis hasil renungan akal dan jiwanya yang sudah bertemu dengan sekalian manusia.

Hamka tidak memberikan sebuah solusi yang sukar untuk dilakukan seperti beruzlah, berqiyamulail dan sebagainya tetapi cukup sekadar meneruskan kehidupan seperti biasa namun dengan sebuah pendirian dan kefahaman baru yang lebih jelas dan kukuh mengenai Islam.

Bahkan penggunaan dalil Al-Quran dan hadith terasa begitu hidup dan tepat dengan persoalan yang diutarakan sekaligus meyakinkan pembaca bahawa Islam-lah sebuah agama sempurna dan paling tepat untuk dijadikan landasan kehidupan peribadi hinggalah dalam aspek politik pentadbiran.

Saya berpandangan bahawa buku-buku Hamka amat wajar ditelaah oleh setiap umat Islam yang bercita-cita murni menjadikan Islam sebagai landasan kehidupan justeru bahasa yang digunakan mudah difahami selain dalil-dalil yang begitu hidup dan memberi kepuasan dan kejernihan kepada akal dan rohani


Sila dapatkan kebenaran sebelum memetik artikel ini atau mana-mana bahagian dalam artikel ini untuk memelihara ketulenan sekaligus menjauhi salah faham fakta. Kerjasama amatlah dituntut.

No comments: