Promosi

Thursday, February 24, 2011

Kejatuhan Ideologi Materialisme dan Agenda Pengisian Islam

Barangkali jika saya masih merupakan seorang mahasiswa, buku ini tidak akan saya jadikan sebagai rujukan bagi tugasan-tugasan akademi yang diamanahkan. Jika saya menjadi pensyarah pula, saya akan haramkan buku ini dijadikan rujukan oleh mahasiswa-mahasiswa saya, jika saya sebagai ustaz yang menyampaikan kuliah atau syarahan, saya akan cuba sedaya upaya mencari rujukan yang lebih utama berbanding buku ini dan jika saya seorang ahli gerakan Islam sama ada dalam kampus atau luar kampus, saya akan terasa semakin menjadi dungu selepas usai membaca buku ini atau lebih malang jika buku ini menjadi bacaan wajib dalam usrah, justeru saya sendiri tidak yakin dengan keampuhan buku ini dan benci pula untuk didogmakan terhadap batang tubuh sesiapa sahaja dan idea atau gagasan yang dikemukakan sebelum saya dibenarkan untuk membacanya dan menilainya sendiri.

Barangkali saya beranggapan bahawa buku ini mungkin sesuai untuk bacaan mereka yang baru belajar mengenali gerakan Islam dan minat untuk menabur bakti kepada perjuangan Islam di samping berwaspada dengan ancaman musuh-musuh Islam walaupun saya tidak pasti dengan kenyataan yang saya utarakan ini. Walau apa pun, sekurang-kurangnya begitulah pandangan saya selepas membaca buku ini.

Saya dalam kesedihan yang teramat sangat selepas membaca buku ini. Bukan kesedihan kerana ketakutan terhadap ancaman Barat dan segala isme-isme yang dilancarkan kepada batang tubuh umat Islam tetapi sedih tatkala memikirkan betapa buku ini hakikatnya gagal mengisi khazanah pemikiran Islam abad baru yang mampu menguji kekuatan minda dan pemikiran umat Islam dan pembaca dalam menghadapi ancaman Barat. Saya ingat saya mendengar nama Anwar al-Jundi, penulis buku ini seawal masih di kerusi sekolah menengah lagi dan selalu dibayangkan bahawa beliau seorang yang hebat dan berfikiran yang bernas. Dan inilah bukunya yang pertama saya dapat baca namun sayang apabila khabar yang sampai tidak seperti yang dirupakan.

Tajuknya berbunyi dengan begitu hebat dan gah namun gagal dipenuhi dengan idea-idea yang padu dan mengghairahkan. Saya cuba bersangka baik terhadap penulis ini namun malang seribu kali malang penulisnya pula ialah seorang pemikir besar Islam kontemporari, Anwar al-Jundi, dan buku ini pula diterbitkan oleh Rabitah al-Alam al-Islam, sebuah pertubuhan Islam terkemuka yang berpusat paksi di Makkah al-Mukarramah. Maka ikut logiknya, seharusnya susunan idea dan hujah yang kukuh dan bersifat gergasilah yang wajib ditawarkan kepada pembaca dalam buku ini sekali gus mampu menggugat kejahatan dunia Barat seperti yang kerap kali diulang bahkan hampir dalam setiap fasal dalam setiap bab buku ini.

Janganlah pula saya ini dituduh sebagai perosak fikrah Islam yang cuba digerakkan oleh Anwar al-Jundi justeru buku ini sendiri gagal mengukuhkan lagi kemantapan fikrah saya. Dan janganlah pula nanti keluar satu edisi rencana atau ulasan yang membantah kritikan saya terhadap buku ini sambil melabelkan saya sebagai kelompok yang mengalami kekeliruan fikrah dan senang lenang dengan idea dan falsafah Barat. Atau mungkin terus melembing saya kerana kononnya seorang yang Liberal yang pastinya selalu sahaja tidak meminati buku-buku yang bersifat pemikiran kritikal terhadap Barat.

Buku ini dibahagikan kepada 4 bab. Namun pada bab 1 lagi, idea-idea yang dikemukakan gagal memenuhi kehebatan tajuknya iaitu Kebangkitan Islam dan Bukti Sejarah. Saya tidak kisah jika bab 1 ini menjadi begitu tebal justeru untuk mengemukakan fakta-fakta yang mendukung segala hujah namun malangnya hal yang demikian tidak pula berlaku tetapi terus diulangi segala kejahatan Barat dan segala falsafah tajaannya laksana seorang penceramah agama yang asyik mengeji dan terus mengeji namun lompang dengan idea-idea yang bersifat meruntuh lalu membina (rekonstruktif) bahkan secara terus-terusan segala kelemahan umat Islam terus dipaksa dan dibebankan ke atas bahu Barat tanpa ada satu kejujuran untuk mengakui bahawa wujud kelemahan dalam diri umat Islam yang lebih utama diselesaikan berbanding terus berkeras mengeji Barat sebagai punca kepada segala kefasadan di muka bumi ini.

Saya mengulangi sebutan idea kerana buku ini adalah buku pemikiran maka idealah yang menjadi produk terbesar yang boleh ditawarkan kepada pembaca. Saya hampir meyakini bahawa barangkali penggunaan ayat-ayat Al-Quran dan Hadith yang dikemukakan hanyalah sebagai kaedah terbaik untuk tujuan doktrin minda para pembaca supaya terus terima segala hujah penanya tanpa banyak soal.

Tatkala diulangi entah berapa kali tentang umat Islam harus berpegang teguh kepada ajaran Islam yang bersumberkan al-Quran dan Hadith, kerangka pemikiran dan gerak kerja yang ditawarkan pula masih kabur dan gagal memenuhi citra semasa umat Islam sekurang-kurangnya sebagai panduan baru kepada para pekerja dakwah Islam yang mana akhirnya keupayaan sumber manusia dan sumber semula jadi yang menjadi salah satu aspek yang disentuh oleh penulis terus menerus kehilangan arah panduan untuk ditujui.

Barangkali tidak silap rasanya jika saya menegaskan bahawa buku ini hanya memaparkan kejahatan Barat dan beberapa idea ringkas untuk membaiki umat Islam tapi paling jelas ialah buku ini gagal mengajak pembaca berfikir secara kritikal tentang beberapa keadaan yang berlaku dalam dunia Islam ketika ini.

Perpecahan yang berlaku dalam batang tubuh umat Islam pun gagal dituntuni dengan baik bahkan slogan Kembali Kepada Al-Quran dan Sunnah seperti yang kerap kali diungkapkan dalam buku ini akhirnya hanya berbunyi retorik kosong yang jauh daripada jalan penyelesaian yang komprehensif.

Rasanya semua gerakan Islam bersetuju dengan slogan ini namun dalam kalangan ini jugalah yang berlaku perpecahan. Alangkah kontradiknya slogan dan perbuatan. Saya tidak menolak slogan ini namun mengkritik slogan ini digunakan dengan sewenang-wenangnya tanpa memberi manual yang jelas kepada umat Islam untuk keluar dari kancah perpecahan ini.

Kritikan juga perlu rasanya dihadapkan kepada penterjemah buku ini yang saya kira sangat letih untuk memikirkan siapakah tokoh Barat yang dikeji dan tokoh Islam dan Barat yang dipuji dan dipetik kata-katanya oleh Anwar al-Jundi justeru nama yang dikemukakan membuatkan saya berfikir berulang kali sebelum pasti bahawa itulah orangnya kerana ejaan yang tidak tepat atau salah sedikit sebanyak menambah lagi kelemahan pada buku ini.

Walaupun begitu, saya melihat bahawa fakta-fakta yang dikemukakan bukanlah semuanya terlalu rendah nilainya. Terdapat juga kelebihan yang dikemukakan walaupun hal ini turut boleh diperoleh dalam buku-buku pemikiran Islam yang lain. Sekurang-kurangnya Bab 4 tentang Isu Asasi Dalam Gerak Kerja Islam mampu mengubat sedikit kekecewaan saya.

Akhir sekali, jika saya masih mahu menggunakan buku ini juga, pastinya saya usrahkan dengan anak-anak saya kelak insya-Allah seawal umur mereka masih dibangku sekolah rendah dan menengah.


Sila dapatkan kebenaran sebelum memetik artikel ini atau mana-mana bahagian dalam artikel ini untuk memelihara ketulenan sekaligus menjauhi salah faham fakta. Kerjasama amatlah dituntut.

No comments: