Promosi

Tuesday, January 25, 2011

Memoir Anak Setinggan

Memori yang sering terlupakan oleh orang dewasa.
Buku ini antara yang banyak meninggalkan ingatan kepada saya sebelum tamat berkhidmat dengan Persatuan Ulama Malaysia, Pulau Pinang (PUMPP) akhir tahun lalu. Kehidupan bergelumang dengan dunia aktivisme turut menuntut agar saya memberikan perhatian yang penuh juga kepada dunia intelektualisme disamping kehidupan sebagai khalifah Allah yang berfungsi untuk memakmurkan alam semesta ini sekaligus meletakkan kehidupan kita secara keseluruhannya dalam posisi sebagai penyeru kepada kebaikan dan pencegah kepada kemungkaran. 

Namun dunia realiti akhirnya membawa saya dalam dilema yang berpanjangan antara intelektualisme dan aktivisme. Kehidupan harian di Serambi Dakwah yang senantiasa dikelilingi dengan anak-anak kecil yang mendiami kawasan-kawasan kampung menyebabkan saya selalu terfikir akan masa depannya. Akhirnya buku Memoir Anak Setinggan (M.A.S) ini seakan-akan menuntut saya agar baca buku ini untuk memahami zaman kanak-kanak yang sering orang dewasa terlupakan.

Secara peribadinya, saya tidak pernah bertemu waima sekalipun dengan penulis novel comel ini. M.S. Anuar Mahmod atau dipanggil juga sebagai Abang Nuar oleh sahabat aktivis di Pulau Pinang. Biasanya NGO di Pulau Pinang ini senantiasa ada hubungan kerjasama antara satu sama lain. Sahabat Alam Malaysia (SAM), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), PUMPP dan banyak lagi membuatkan pengetahuan dan kepakaran antara NGO-NGO ini dapat dikongsi bersama. Dari sekecil-kecil isu hinggalah sebesar-besarnya. Dari isu gejala sosial hinggalah isu yang membabitkan kepentingan kerajaan negeri dan pusat. Hampir semuanya dikongsi bersama atau faktor lain sebab kepada wujudnya hubungan ini ialah terdapat NGO ini yang diketuai oleh orang yang sama.

Berbalik kepada novel M.A.S, Abang Nuar cuba persembahkan sebuah kehidupan yang ringkas namun menyeronokkan ketika kecil dahulu. Dengan meletakkan dirinya sebagai watak utama selain watak Mamat dan Bain, plot-plot yang menghiasi novel ini begitu lancar dan meruntun emosi. Jenaka yang dilakarkan juga sangat menjadi sehingga tanpa dibuat-buat pembaca akan tergelak sendirian atau sekadar tersenyum sumbing. Walaupun begitu, saya yang agak boleh memahami jiwa seorang aktivis melihat Abang Nuar berjaya melakukan beberapa kritikan sosial yang sering melingkari kehidupan masyarakat bawahan yang gemar saya sebutkan sebagai Mustadh'afin. 

Dengan keperitan tinggal di kawasan setinggan atau disebut sting garden, Abang Nuar mengolah segala kisah lampau dengan tersusun sehingga membina suatu persepsi dalam jiwa pembaca bahawa ada pergolakan sosial yang meruap-ruap dalam emosi masyarakat bawahan. Dipertikaikan hak untuk mendiami kawasan setinggan, dinafikan hak untuk menikmati jalan bertar, sikap penguasa yang zalim kepada penduduk, kawasan permainan kanak-kanak yang cuba dicabuli dengan bahan-bahan yang merbahaya hinggalah kritikan terhadap sistem pendidikan negara sendiri. Contohnya etika pemakaian kasut putih, kewujudan pelbagai puak yang berlatar belakangkan pendapatan ibu dan ayah, dibeza-bezakan antara murid pintar dan tidak dan sebagainya. Saya melihat bahawa novel ini tidak harus dibaca untuk menghiburkan hati semata-mata. 

Abang Nuar sebagai aktivis dan penulis dan saya yakin bahawa tujuan novel ini bukan semata-mata berhibur tetapi Abang Nuar cuba mengajak kita berfikir secara kritis terhadap segala persoalan semasa yang sering berlegar-legar disekeliling kehidupan kita. Ini bukan soal royalti semata-mata tetapi soal budi pekerti yang wajar untuk kita berikan dan pamerkan sebagai tanda solidariti kita membela golongan yang tertindas. Lihat sahaja bagaimana novel ini ditutup dengan Epilog Berembang Menjadi Saksi. Ini sebuah kisah benar yang pernah berlaku juga terhadap Abang Nuar seperti yang telah dilakarkan pada awal novel dimana kampungnya hampir hangus dijilat api dek kezaliman sang pemaju Mustakbirin yang tamak haloba. 

Novel ini memautkan juga erti sebuah persahabatan selain cinta monyet. Saya terkesan ketika wang yang sepatutnya digunakan untuk membeli kasut bola digunakan oleh Mamat untuk membeli permainan hartanah Saidini justeru untuk menunjukkan betapa pentingnya mengingati dan berkongsi keseronokan bermain bersama rakan-rakan. Zaman kanak-kanak yang harus diisi dengan keseronokan disamping mencari ilmu untuk menjamin kedudukan pada masa hadapan. Kisah masyarakat setempat yang berbalah kerana air, beratur kerana telefon awam, bergaduh sesama rakan sebaya dan seribu satu lagi kenakalan yang mereka lakukan.

Secara santai, Abang Nuar memperkenalkan tokoh-tokoh perubah dunia seperti  Nabi Muhammad S.A.W,  Imam al-Ghazzali, Hassan al-Banna, Sheikh Abdullah Azzam, Mahatma Ghandi, Chairil Anwar, Hamka, Sheikh Daud al-Fathani, Syed Abul A'la al-Maududi, Abu Dzar al-Ghifari dan ramai lagi. Tampilan nama-nama seperti ini seakan-akan isyarat bahawa anak kecil bukanlah terlalu mentah untuk difahamkan dengan idea yang besar dan revolusi seperti ini bahkan seharusnya dibiasakan minda mereka dengan tokoh-tokoh seperti ini. 

Agak tragis bila diakhir  cerita diperlihatkan bagaimana jadinya dengan Mamat yang menjadi penagih dadah dan Bain menjadi bouncer di kelab malam. Sekurang-kurangnya sebuah realiti juga harus kita selami bahawa hidup tidak selamanya indah belaka. Walaupun begitu saya tidak teragak-agak untuk mengesyorkan buku ini dijadikan buku bacaan pelajar sekolah rendah supaya mereka menikmati bacaan sebuah kehidupan yang sebaya dengan mereka.

No comments: