Analisis isu semasa yang disorot menggunakan cahaya sejarah cukup mengagumkan |
Ada satu sudut pandang yang sangat kritikal yang tidak harus diabaikan untuk generasi muda Malaysia. Sudut pandang yang bakal meletakkan ke mana harus dipacu masa depan untuk Malaysia baru dengan nilai yang lebih harmoni, toleran dan mungkin liberal mengikut kerangka masyarakatnya yang plural dari sudut agama, bahasa dan bangsa. Sudut pandang ini pula harus diolah dengan kita kembali menyorot dengan kritikal apa yang sudah berlaku dalam sosio-politik negara pada abad yang lalu. Jika demikian yang mahu kita lakukan maka naskah Farish A. Noor ini antara yang terbaik untuk ditelaah bagi membina sebuah pandangan baru untuk Malaysia yang lebih maju dengan kerangka yang lokal.
Sosok pemikir Liberal untuk Malaysia Baru |
Beberapa sisi penting yang dihujat oleh Farish dengan cukup tajam ialah sisi tindakan moral yang diatasnamakan sebagai seruan Islam, kemunafikan pejuang ultra-Melayu dan negara, isu-isu sensitif seperti isu agama, bangsa dan pendidikan. Dan sebenarnya semua analisis dan hujatan yang Farish kemukakan adalah sebagai sebuah proses menganjak paradigma pembaca khususnya dan rakyat Malaysia yang plural agama dan bangsanya untuk sanggup duduk semeja dan berbincang tentang keperluan sebuah Malaysia yang Baru.
Farish dalam tulisannya tidak mencipta sebuah slogan yang baru yang penuh dengan idealisme yang utopia tetapi cuba meletakkan sebuah Malaysia yang baru itu mengikut kerangka sejarah yang lebih jujur dan terbuka yakni dengan meletakkan keperluan sebuah Malaysia yang universal atau sejagat sifatnya yang mana boleh dikongsi nilainya dengan banyak pihak tanpa wujud perasaan skeptikal dan saling curiga mencurigai atau ringkasnya Farish mengajak kita untuk saling berinteraksi dengan sejarah lampau demi mengukuhkan pembangunan dan kemajmukan bangsa di Malaysia.
Kegarangannya melanyak watak Hang Tuah sebenarnya sebuah suara sinis terhadap kemunafikan pemimpin ultra-Melayu yang hanya pintar menggunakan Hang Tuah demi membakar semangat perjuangan orang Melayu namun diabaikan pula fasa kedua dalam kehidupan Hang Tuah yang akhirnya berkelana mencari makna diri dan kebenaran dan mula memasuki wilayah kesufian yang sangat berbeza bentuknya ketika dia menjadi pahlawan ulung Melaka. Hal ini seakan-akan sebuah pujukan yang penuh rayuan namun ilmiah oleh Farish agar pemimpin yang benar-benar mahu berjuang harus kembali mendudukkan diri sejenak untuk koreksi diri dan apa yang sudah jadi dengan nasib bangsa Melayu ketika mereka memerintah Malaysia sedari lima dekad yang lalu.
Hang Tuah yang memasuki wilayah kesufian sejurus berjaya menundukkan Hang Jebat, saudara seperjuangannya sekaligus menampilkan keutuhan nilai Melayu dan Islam dalam dirinya. Tentulah hal ini sengaja dilupakan oleh pelaung lantang slogan keramat Hang Tuah yakni "Takkan Melayu Hilang di Dunia" sambil menikam-nikam keris ke langit justeru setelah puas menundukkan seteru politik jarang-jarang suara-suara keinsafan ditebarkan melainkan hanya wujud suara yang penuh keangkuhan dan kesombongan sambil disusuli pengakuan keji bahawa perjuangan ini sudah berada di landasan yang benar dan Allah berada di pihak mereka. Anehnya keris yang sebenarnya adalah simbol yang universal justeru punyai leluhur dengan falsafah Tantarisme, Hinduisme, Buddhisme dan Islam sudah dirosakkan oleh pemimpin seperti ini dengan mendakwa keris hanyalah warisan kebudayaan Melayu turun-temurun.
Karya yang sedang 'menggugat' pemikiran PAS semasa. |
Sudah tentu, dalam beberapa sudut, saya melihat ada kecenderungan aliran Pluralisme Agama yang saya tolak dalam tulisan beliau contohnya tatkala memperihalkan hubungan Islam dan Hindu ketika zaman kesultanan Melayu Melaka dahulu. Walaupun begitu hal ini begitu luas ruangnya untuk kita saling berbincang demi meraikan kewujudan dan sumbangan mereka yang bukan seaqidah dengan kita dalam membangunkan Malaysia. Farish berjaya dalam buku ini menampilkan sebuah titik perbezaan yang ketara antara fantasi seorang ahli politik dan hakikat sebenar sebuah Malaysia.
1 comment:
Post a Comment