Naskah Ranjau Sepanjang Jalan (RSJ) hampir-hampir mengandungi segala jenis cabaran, dugaan dan masalah yang lazimnya dihadapi oleh para petani yang miskin dan serba kekurangan dari segi peralatan untuk membuat sawah dan keperluan harian yang lain. Pengarang, Shahnon Ahmad dilihat berjaya mengetengahkan kehidupan yang sukar para petani ini dengan cara yang cukup kreatif dan menginsafkan.
Dengan mengambil latar belakang tempat yang beliau sendiri alaminya sedari kecil, Kampung Banggul Derdap, Sik, Kedah yang kaya dengan kemiskinan, maka plot-plot dalam RSJ diatur dengan cara yang biasa tetapi permainan emosi yang dicipta cukup luar biasa dan menggugat emosi sekaligus menyentak akal fikiran tentang kelompok masyarakat yang hidupnya asyik berjuang bukan untuk mencari sesuap nasi untuk dirinya sahaja tetapi juga untuk menyediakan nasi yang akan disuap oleh seluruh lapisan masyarakat yang lain pula. Shahnon dalam naskah ini berupaya menyelinap ke dasar kehidupan petani yang sulit hidupnya dan walaupun berulangkali diingatkan bahawa ujian hidup ini adalah ujian dari Allah namun adakalanya manusia itu kadangkala tertewas menghadapinya.
Shahnon dalam naskah ini mengolah dengan menggunakan hanya latar masa sewaktu musim menanam padi dan menuai. Disinilah sebuah keperitan yang sukar ditanggung dipamerkan sehingga mencetuskan perasaan simpati pembaca kepada keluarga Lahuma, seorang ketua keluarga yang memiliki tujuh orang cahaya mata. Isterinya pula Jeha, seorang yang setia mendiami sebuah teratak buruk yang sekian lama menampung kehidupan mereka sekeluarga. Anak-anaknya Sanah, Milah, Jenab, Semek, Liah, Lebar dan Kiah walaupun tidak semuanya berperanan penting dalam naskah ini namun memiliki anggota keluarga yang ramai sememangnya menjadi sesuatu yang biasa bagi keluarga Melayu apatah lagi mereka memegang kepercayaan agama bahawa anak itu adalah rezeki dari Allah yang mesti dipelihara dengan penuh kasih sayang.
Musim menanam padi yang datang lagi menuntut Lahuma dan Jeha turun ke bendang mereka yang berjumlah 14 relung untuk disemai anak benih padi. Dahulunya 20 relung tetapi kerana jual janji, enam relung terlepas ke tangan tauke Cina, satu keadaan yang senantiasa berlaku dalam kehidupan orang Melayu. Bendang yang terbiar itu perlu segera dibersihkan dengan menebas menerung, rumput bulu landak dan segala semak samun lain yang merajai kawasan bendang itu.

Cadang Lahuma mahu ditabur benih padi Malinja, padi Siam, padi Serindit dan pulut sedikit. Bukan sedikit kesulitan yang terpaksa ditempuh oleh Lahuma dan Jeha. Menebas kawasan semak di bendang itu satu hal, berhadapan dengan entah binatang berbisa yang lain juga satu hal hingga Jeha nyaris dipatuk ular tedung senduk ketika memetik pucuk-pucuk kayu di paya. Duri nibung yang mencucuk tapak kaki Lahuma antara permulaan yang mengikat Jeha dan anak-anaknya dalam kesusahan yang berterusan di mana bisa duri nibung itu akhirnya meragut nyawa Lahuma secara perlahan-lahan.
Tanggungjawab mengetuai keluarga kini dipikul pula oleh Jeha dengan dibantu oleh Sanah selaku anak sulung. Bantuan menajak dengan traktor yang atas ihsan Tuk Penghulu hanyalah bantuan yang bersifat sementara justeru ketika padi mula disemai begitu banyak lagi ujian yang terpaksa mereka tempuhi. Serangan burung tiak yang memagut buah-buah padi, ketam-ketam putih yang memotong batang-batang anak padi hinggakan semua ujian ini terpaksa mereka tempuhi sehingga memaksa mereka terpaksa berada di bendang hingga hari malam untuk melindungi padi-padi yang sedang membesar, bencana alam yang menenggelamkan segala padi yang semakin membesar di sawah.
Ujian-ujian ini begitu perit untuk dilalui sementara Jeha pula mengalami tekanan jiwa dan menyebabkan dia terpaksa dikurung hinggalah dihantar ke hospital Tanjung Rambutan, Perak dan bebanan terpaksa dipikul oleh Sanah selaku anak sulung Lahuma dan Jeha. Segala bencana yang terpaksa ditempuh oleh seluruh penduduk Kampung Banggul Derdap tanpa kecuali menghampakan harapan mereka untuk berkenduri besar sempena musim menuai padi. Padi kali itu tidak menjadi seperti yang semua harapkan. Walaupun begitu kehidupan perlu diteruskan dengan keyakinan yang penuh kepada Allah Ta'ala sebagai Pemberi rezeki paling utama.
Pada saya, novel ini penuh dengan kesungguhan untuk menampilkan watak perempuan seperti Jeha dan Sanah yang terus berani berjuang untuk mencari rezeki sekalipun tahu bahawa kudrat wanita kadangkala ada lemahnya namun semua itu bukan alasan apatah lagi tempat mereka bergantung yakni Lahuma sudah tiada. Kesungguhan wanita juga adakalanya tertewas seperti yang dialami oleh Jeha yang mengalami tekanan mental namun begitu perjuangannya diteruskan oleh Sanah yang mengambil alih sepenuhnya peranan sebagai seorang ayah, ibu, kakak sulung dan penyara kehidupan dia dan adik-adiknya.
Disini jelas kelihatan bahawa Sanah sebagai watak yang harus diketengahkan sebagai wira yang tidak didendang. Kekuatan dan kualiti wanita yang dimiliki olehnya sangat mencerminkan ketegaran jiwa seorang wanita walaupun dia masih belum bersuami. Naskah RSJ ini juga pernah diolah untuk layar perak pada tahun 1983 dan pernah memenangi filem terbaik, lakon layar terbaik, jurukamera terbaik, penataan seni terbaik dan anugerah khas Juri dalam pertandingan Festival Filem Malaysia (FFM) ke-4 pada tahun 1983.
Sejurus saya menikmati dan menginsafi naskah ini, seringkali ketika melalui lebuh raya Utara-Selatan di Kedah yang berhias indah pemandangan sawah dan bendang dikiri dan kanan, ingatan saya terhimbau kepada episod tragis yang melanda keluarga Lahuma. Dari jauh seakan-akan terpandang Lahuma, Jeha dan anak-anak mereka membanting tulang untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.

No comments:
Post a Comment