Promosi

Thursday, April 28, 2011

Menghalusi Ketinggian Teknologi

Tajuk ulasan buku    : Menghalusi Ketinggian Teknologi
Ulasan buku            : Teknologi Tinggi Sentuhan Halus.
Nama                      : Mohd Arif Juhani Abdul Rahman
No. Resit                : ITNM000517

Tatkala teknologi dipertuhankan oleh segelintir manusia, John Naisbitt menjelaskan kekeliruan akan fahaman tersebut. Tatkala kehidupan manusia diserabutkan oleh teknologi, John terus memimpin akal dan minda mereka untuk menilai dan mencari erti sebenar sebuah kehidupan yang tulen.

Bahkan dalam buku ini, Teknologi Tinggi Sentuhan Halus yang kandungannya adalah hasil analisis melalui pemantauan terhadap budaya popular yang disebarkan menerusi televisyen, filem, internet dan majalah, John mengungkapkan semula kesilapan manusia ketika meletakkan kedudukan teknologi dalam kehidupan seharian yang mana  teknologi pada ketika ini tidak hanya semata-mata untuk memudahkan dan melancarkan urusan harian bahkan hal yang lebih tragik ialah apabila teknologi dicipta untuk berfungsi sebagai ibubapa kedua, pengasuh dan guru yang cukup terlatih untuk berdamping dengan anak-anak bahkan dari sudut sains pula, teknologi mula dipertuhankan.

Disinilah John, pengasas Urban Research Corporation di Chicago menyatakan bahawa manusia khususnya rakyat Amerika sedang dijajah dan dikepung dalam Zon Mabuk Teknologi iaitu sebuah zon dimana segala nilai diubah-ubah dan bercampur aduk seperti menerima keganasan sebagai sesuatu yang normal dan meletakkan segala penyelesaian boleh dicapai dengan cepat dan mudah sekalipun yang membabitkan soal keagamaan  dan kesihatan.

Maka boleh sahaja kita menyatakan bahawa inilah bahana yang sedang membencana dalam kehidupan segelintir umat manusia di Amerika yang diakibatkan oleh pembangunan peribadi dan kehidupan sekitarnya yang melalui proses ketamadunan yang tiada nilai agama atau Sekularisme sekaligus melenyapkan kemurniaan berfikir dan bertindak berlandaskan lunas agama dan telah membentuk kod etika berdasarkan akal fikiran manusia yang sangat berpotensi untuk berubah-ubah dan banyak menjurus kepada kerosakan moral dan diri manusia.

Namun hal ini boleh juga dianggap cepat disedari oleh kebanyakan rakyat Amerika setelah melihat kecelaruan hidup yang dilingkari serba serbinya dengan produk teknologi canggih dengan bermulanya apa yang disebutkan oleh John sebagai Kebangkitan Beragama walaupun fenomena ini juga banyak dibantu oleh teknologi tinggi.

John bukanlah seorang teknofobia iaitu sejenis penyakit jiwa untuk manusia yang sangat membenci dan takutkan teknologi. Justeru, John menggabung-jalinkan antara erti teknologi tinggi dan sentuhan halus (high tech high touch). Mungkin mudah untuk memberitahu secara umum apa itu teknologi tinggi namun ramai yang keliru untuk memasukkan elemen kemanusiaan, meningkatkan kuasa pancaindera demi mendamaikan jiwa dan minda sekaligus mengeratkan tata-sosial sesama ahli keluarga dan masyarakat yang dahulunya rosak dan renggang akibat dipisahkan oleh kemabukan terhadap produk perhubungan berteknologi.

Disini, John cuba menampilkan betapa teknologi tinggi itu umpama kepingan syiling yang mempunyai dua sisi yang relatif. Mengapa hal ini yang disorot dengan kritis oleh John? Hal ini kerana kegagalan pengguna teknologi ketika mengendalikan atau mendapatkan khidmat daripada produk-produk berteknologi tinggi. Natijahnya ialah dunia semakin terdedah dengan keburukan yang menjurus kepada keganasan yang lebih besar dan pelbagai sehingga menyulitkan golongan penguasa dan penguatkuasa untuk mencegahnya daripada terus merebak manakala masyarakat pula menganggap keganasan dan jenayah adalah hal yang normal ketika ini.

Dalam bahagian pertama buku ini, John mengupas dengan panjang lebar tentang situasi ketika ini yang membabitkan persoalan masa dan permainan iaitu tentang jarak masa yang semakin singkat dan melelahkan sehingga kita merasakan tidak mampu untuk membuat banyak tugasan harian sekalipun hal-hal yang asas seperti menyediakan sarapan pagi dan semua tugasan ini akhirnya diserahkan kepada teknologi. Kita akhirnya seakan-akan dikejar pula oleh teknologi yang mana hanya dengan duduk dalam kereta maka segala keinginan kita akan ditunaikan. Sarapan pagi yang boleh diperoleh di lorong pandu lalu (drive-thru) restoran makanan segera, urusan pejabat yang mampu dikendalikan dalam kereta dengan kelengkapan pejabat mudah alihdan sebagainya.

Hal ini menyebabkan kita menjadi  semakin kurang peka dengan makna sebenar yang perlu diraih dalam kehidupan ini. Satu hal yang menarik untuk disebutkan di sini ialah wujudnya sebuah gerakan defensif-ekstrem yang dinamakan “Kesederhanaan Sukarela” yang mana sukarelawan ini memilih untuk hidup dengan kebergantungan kepada teknologi yang sangat rendah. Gerakan ini mempengaruhi kehidupan dan budaya Amerika sekaligus menggalakkan nilai kerohanian serta cinta kepada alam sekitar sambil membataskan kitaran hidup bekerja-berbelanja. Matlamat gerakan ini pula ialah untuk menguasai semula kehidupan kita dan mendapat lebih banyak faedah daripada sesuatu yang kita hargai.

Tanpa sedar, teknologi juga sedang merekrut generasi muda untuk terlibat ke dalam kancah jenayah dan keganasan secara simulasi dengan diberikan peralatan kententeraan untuk berperang bahkan kelengkapan tersebut menyamai dengan alat ketenteraan Amerika Syarikat dan senjata-senjata lain untuk membuat jenayah seperti pembunuhan.

Lapangan yang luas berbentuk simulasi turut disediakan sebagai tapak latihan supaya kemahiran untuk melakukan keganasan boleh ditingkatkan. Tiada ibubapa atau penjaga yang sedar akan hal ini bahkan merekalah yang menggalakkan dan memberikan ruang yang seluas-luasnya samada ruang masa, tempat dan kemudahan permainan video untuk anak-anak menggunakannya asalkan tidak mengganggu urusan kerja mereka. Inilah yang berlaku di Amerika apabila peranan ibubapa, pengasuh dan guru diambil alih oleh permainan video, televisyen dan internet.

Nilai pasaran terhadap permainan video yang berorientasikan keganasan, seks dan peperangan yang cukup tinggi menyebabkan para pengeluar permainan ini menjadi semakin kreatif untuk menghasilkan permainan video terbaru dengan aksi-aksi yang lebih dahsyat dan realisitik sekaligus meningkatkan tahap ketagihan generasi muda terhadap permainan tersebut lantas menghilangkan sensitiviti terhadap jenayah hingga dunia menyaksikan sebuah tragedi pembunuhan beramai-ramai di Sekolah Tinggi Columbine, Littleton pada 20 April 1999.

Perkembangan yang menakutkan ini turut menimbulkan kesedaran dalam diri masyarakat untuk berjuang membanteras kebejatan ini seperti yang dilakukan oleh aktivis cilik Virginie Lariviere yang berusia tiga belas tahun dengan memungut 1.5 juta tandatangan yang menggesa semua keganasan dalam media dihapuskan. Hal ini dilakukan selepas mengalami kesedihan ekoran kakaknya yang dibunuh dan dirogol.

Menyediakan segala peralatan permainan dan teknologi seperti ini di dalam rumah tidak ubah seperti mengundang perompak, pembunuh, perogol dan segala penjenayah lain masuk ke dalam rumah untuk mengajar seisi keluarga terutama terhadap anak-anak. Dengan teknologi, rumah menjadi markas terbaru untuk mendidik penjenayah yang memiliki pelbagai kemahiran jenayah.

Bahagian kedua buku ini pula lebih menjurus kepada situasi masa hadapan yang membabitkan pandangan agama dan seni terhadap teknologi genetik yang semakin pesat membangun sehingga memampukan saintis untuk mengklon manusia, binatang, merangka genetik baru untuk tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. 

Hal ini cuba disorot justeru cubaan mencipta hidupan bernyawa seperti manusia dianggap sebagai cubaan manusia untuk menjadi tuhan walaupun ada yang beranggapan bahawa hal ini membuktikan keupayaan manusia untuk mengoptimumkan daya intelek dan inovasi mereka sekaligus membuktikan bahawa tuhan lebih bijaksana kerana telah menciptakan seorang manusia yang bijaksana seperti itu namun jelas disini betapa penjelasan agama itu amat didambakan supaya manusia bertindak dan berkreatif mengikut lunas-lunas agama.

Tindakan sains yang penuh dengan keangkuhan pastinya akan senantiasa bertentangan dengan kehendak agama ini jugalah yang seringkali mencipta konflik bahkan permusuhan yang begitu lama untuk diatasi. Kegagalan agama dan mungkin disebabkan pemikiran yang jumud agamawan untuk mempengaruhi kemajuan sains dan teknologi dikhuatiri akan menyebabkan manusia pada masa hadapan terpaksa berhadapan dengan segala bentuk krisis baru kemanusiaan yang mana sudah hancur lebur akibat hilangnya pengaruh agama dalam membentuk kehidupan manusia. Perkahwinan mungkin dianggap tidak perlu lagi justeru tanpa melalui hubungan seks sekalipun seorang bayi tetap boleh terhasil melalui kemajuan kejuruteraan genetik.

Khatimah, tatkala manusia mengukur kemajuan sesebuah peradaban berdasarkan kepada kemajuan teknologi dan kecanggihan inovasi lantas melupakan peranan manusia sebagai pengatur penting kepada pembangunan ketamadunan tersebut, ternyata akhirnya manusia akhirnya diperhambakan dan diperalatkan sendiri oleh kelicikan kapitalis dan kerosakan nilai yang wujud dalam produk-produk berteknologi tersebut. Buku ini wajar dibaca untuk menyorot kembali sekaligus memuhasabah keterlanjuran kita dalam menggunakan teknologi untuk memudahkan kehidupan, mendapatkan hiburan, memendekkan urusan kerja, tenaga dan masa dalam kehidupan seharian.

Sila dapatkan kebenaran sebelum memetik artikel ini atau mana-mana bahagian dalam artikel ini untuk memelihara ketulenan sekaligus menjauhi salah faham fakta. Kerjasama amatlah dituntut.

1 comment:

z said...
This comment has been removed by a blog administrator.