Promosi

Sunday, February 6, 2011

IMAM: Sebuah Pertentangan Aliran Pemikiran Islam

Saya tidak pasti sudah kali yang ke berapa naskhah ini saya baca. Walaupun begitu, tidak pula jemu untuk saya nikmati bab demi bab yang disusun dalam naskhah ini terutamanya bab Inquisisi. Bab yang menjadikan mengapa naskhah ini begitu istimewa untuk saya justeru mempunyai kualiti ilmu yang penuh, perdebatan yang mendebarkan dan segala kritik sosial dan amalan agama masyarakat Islam ditangani dengan baik oleh Haji Mihad dalam perdebatan tersebut walaupun asal tujuannya ialah sebuah muzakarah namun dek kerana tidak gemar dan berlapang dada menerima pembaharuan maka muzakarah bertukar menjadi munazarah.

Perdebatan tersebut yang berlangsung antara Haji Mihad selaku imam yang dipalit dengan segala kontroversi dengan orang-orang agama seperti Yang Di-Pertua Majlis Agama dan dibantu oleh dua orang lagi iaitu seorang pensyarah di Maktab Perguruan Agama dan seorang lagi ialah bekas kadi. Perdebatan tersebut tidak hanya berkisar tentang ruang lingkup agama bahkan turut diheret sama kritik-kritik sosial seperti budaya puji puja golongan diraja, isu tulisan jawi, sikap golongan agama yang melangit dan sebagainya dan hal-hal ini yang sering kali dipandang menjadi punca kemunduran dan kelemahan bangsa Melayu-Islam.

Barangkali juga, naskhah Imam, bagi saya tak ubah seperti sebuah novel pemikiran Islam. Pemikiran yang menunjukkan pergolakan bahkan pertentangan antara aliran konservatif dan kontemporari. Seakan-akan wujud pergolakan antara kaum tua dan kaum muda walaupun Haji Mihad tidaklah terlalu tua umurnya dengan golongan yang dianggap sebagai wakil kepada aliran kaum tua cuma barangkali kegagalan golongan konservatif ini untuk kembali merujuk kepada nas dan dalil berbanding kegemaran mengekalkan apa yang dianggap tradisi nenek moyang turun-temurun.

Haji Mihad, watak utama dalam Imam begitu kemas sekali digagahkan kewujudannya oleh Abdullah Hussain. Haji Mihad diangkat sebagai seorang imam yang memiliki sehimpunan kualiti diri dan ilmu untuk membangunkan masyarakat setempat melalui pendekatan yang mungkin dilihat liberal namun segalanya dipaksikan kepada hujah-hujah agama yang kadangkala sangat mencabar kebiasaan yang diamalkan oleh masyarakat.

Saya mengenali dan meminati perbahasan dan pertentangan antara dua aliran paling popular dan bersejarah dalam sejarah pasca-merdeka Malaysia setelah saya membaca naskhah ini. Bahkan minat ini mekar lebih awal berbanding setelah saya mengetahui dan mengikuti aliran pemikiran dan perdebatan antara Astora Jabat dan Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang pada saya hingga hari ini dua perdebatan yang berkualiti antara mereka  masih belum saya temui.

Naskah ini juga saya anggap begitu hampir dengan kehidupan saya ketika itu. Ketika jiwa dan umur masih muda -16 tahun- dan mengikuti pengajian kitab-kitab fiqh lama, mendalami kitab tasawwuf Hikam, memahami pengajian tafsir, hadith dan sebagainya hinggakan pernah saya terfikir adakah Tuan Guru yang menjadi mu’allim saya ini adalah Haji Mihad justeru saya seperti terasa kualiti Haji Mihad pada Tuan Guru saya tersebut.

Imam berkisarkan sebuah kehidupan tipikal bermasyarakat dan beragama di Kampung Anggerik Desa. Sebuah kampung yang tidak jauh dari bandar yang terletak di bahagian utara tanah air. Manakala masjid yang menjadi fokus pula ialah Masjid Haji Salih. Memiliki latar belakang penduduk yang pelbagai profesional menjadikan Imam dihidupkan dengan penuh warna dan rupa.

Bencana alam yang terjadi juga ditangani oleh Haji Mihad dengan membetulkan kefahaman masyarakat setempat daripada hanya berserah kepada Allah kepada turut berusaha untuk mengubah nasib sebagai memenuhi konsep doa dan tawakal. Dimusuhi oleh sanak saudara sendiri seperti yang ditunjukkan oleh Haji Abdul Rahman, bekas imam masjid dan Haji Syamsuri, timbalan kepada imam Haji Abdul Rahman yang juga sepupu Haji Mihad.

Imam ini agak berat untuk dibaca apatah lagi dilihat jalur yang mahu dikembangkan oleh Abdullah Hussain justeru beliau cuba menampilkan sebuah idea baru yang progresif dengan memautkan aliran pemikiran Haji Mihad dengan perkembangan pelbagai aliran pemikiran di Indonesia apatah lagi dia digambarkan sebagai seorang guru agama sekolah agama di Indonesia maka Imam sekaligus cuba membuka ruang baru untuk pembaca di Malaysia fikirkan terutamanya tentang kesediaan masyarakat Islam di Malaysia untuk mengukuhkan kualiti diri dan ilmu melalui perbahasan-perbahasan ilmiah yang mana akan menentukan survival pemikiran dan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah berbanding dengan hanya berasa lega justeru aliran dan aqidah ini menjadi dasar kepada perkembangan Islam di Malaysia.

Abdullah Hussain cuba membawa kita berdikari dengan mencari kekuatan ilmu dan hujah berbanding menggunakan segala akta dan undang-undang untuk mematikan hujah-hujah mereka yang berbeza aliran dengan umat Islam arus perdana kerana tindakan ini dilihat seperti tindakan yang bacul dan menunjukkan ketakutan yang tidak berasas.


Jujurnya, berbanding Interlok, saya lebih meminati Imam.

Sebuah lagi naskhah yang saya baca hampir isinya dengan Imam ialah Imam: Menziarahi Tanah Bonda cumanya agak kurang menarik justeru pertentangan yang wujud hanyalah dalam ruang lingkup yang kecil sahaja namun begitu kedua-dua baik untuk dinikmati walaupun Imam karya Abdullah Hussain sangat mencabar pemikiran Islam arus perdana.

Sila dapatkan kebenaran sebelum memetik artikel ini atau mana-mana bahagian dalam artikel ini untuk memelihara ketulenan sekaligus menjauhi salah faham fakta. Kerjasama amatlah dituntut

No comments: