Promosi

Wednesday, November 9, 2016

Banteras keganasan Daesh dengan ilmu

Kemunculan kumpulan pengganas Daesh dengan pantas mengundang fitnah kepada Islam melalui kekejaman yang dibuat terhadap orang awam atas nama 'jihad'. Situasi yang sukar dibendung ini menyebabkan fenomena 'Islamofobia' kembali menular di Barat seperti Tragedi 11 September dahulu.

Apatah lagi dengan meletusnya siri serangan keganasan seperti pengeboman ke atas kepentingan kuasa asing dan penduduk awam bukan sahaja berlaku di Asia Barat tetapi juga di beberapa negara Eropah.

Dalam kalangan segelintir umat Islam yang jahil, Daesh dianggap sebagai wira apabila muncul dengan bilangan anggota yang lebih kecil tetapi berjaya mengalahkan tentera Iraq yang dilatih Amerika. Anggapan seperti inilah yang barangkali menyebabkan ramai anak muda dari seluruh dunia termasuklah Malaysia begitu mudah terpengaruh dan bersedia direkrut untuk menyertai kumpulan itu.

Malangnya anggota kumpulan yang bersemangat memperjuangkan agama Islam ini yang tidak memiliki kekuatan ilmu-ilmu Islam terutama berhubung dakwah dan jihad mengundang lebih banyak kemungkaran berbanding kebaikan walaupun mereka berniat baik.

Kerosakan yang dibuat berlandaskan kejahilan ini terserlah apabila Daesh menyebabkan banyak nyawa orang awam yang tidak berdosa melayang di tangan pengganas ini, malah mereka turut menganggap nyawa orang bukan Islam tidak bernilai dan boleh diambil sewenang-wenangnya. 

Masalah yang dibawa oleh Daesh tidak hanya meliputi negara berkonflik seperti Syria dan Iraq sahaja bahkan mereka turut memberi ancaman dengan jelas terhadap negara lain seperti Turki dan juga Malaysia sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat negara ini.

Contohnya, amaran melalui rakaman video oleh pemimpin Daesh dari Malaysia, Mohd Rafi Udin untuk menyerang Bukit Aman sehingga menyebabkan pihak berkuasa terpaksa meningkatkan kawalan keselamatan di beberapa kawasan tumpuan orang ramai untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. 

Menyedari masalah yang semakin sukar dibendung ini, penerbit buku tempatan, PTS mengambil langkah positif dengan menerbitkan ISIS (2016) bagi memberikan kefahaman yang menyeluruh kepada masyarakat berhubung masalah Daesh, jihad, keilmuwan, demokrasi dan sebagainya.

Dengan ketebalan hanya sekitar 140 muka surat, pembaca akan didedahkan dengan beberapa perbahasan penting dengan bahasa yang cukup mudah difahami yang dikupas oleh ilmuwan Islam tempatan yang mempunyai latar belakang pendidikan dan pengalaman yang luas dalam bidang politik, sains sosial, dakwah, pemikiran dan sebagainya. 

Melalui buku ini, pembaca boleh memahami asal-usul kewujudan kumpulan pengganas seperti Daesh yang mempunyai hubungan dengan pertubuhan Salafi Jihadi dari Iraq, Jamaah at-Tawhid wa al-Jihad dan Al-Qaeda. 

Salah faham tentang jihad

Menurut Dr Maslee Malik yang mengupas persoalan ini, kewujudan kumpulan pengganas ini tidak berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya berpunca daripada konflik berdarah yang berlaku seperti serangan ketenteraan oleh kuasa luar seperti Amerika Syarikat.

Satu perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah perbahasan tentang jihad yang dikupas oleh Dr Abdul Basit Abdul Rahman. Persoalan seumpama ini sememangnya relevan dengan realiti umat Islam hari ini yang sering berhadapan konflik sehingga mengganggu emosi mereka. 

Disamping itu, kekeliruan umat Islam kepada konsep sebenar jihad turut menyebabkan banyak tindakan yang diambil bercanggah dengan kehendak sebenar Islam.

Masalah memahami jihad ini semakin mendapat perhatian oleh banyak ilmuwan Islam sehingga Sheikh Yusuf al-Qaradhawi membahaskan dengan panjang lebar lagi mendalam tentang hakikat jihad melalui karyanya "Fiqh al-Jihad" untuk menepati konteks masyarakat moden hari ini.

Buku ISIS ini turut meyakinkan pembaca mengenai bantahan meluas ilmuwan Islam dari pelbagai pertubuhan antarabangsa terhadap kekejaman yang dibuat oleh Daesh. Hal ini penting untuk mengelakkan pembaca ragu-ragu dengan keharusan untuk menyertai sebarang pertubuhan yang menggunakan senjata.

Persoalan berhubung penyertaan meluas khususnya golongan belia khususnya dalam Daesh, menurut Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha, berpunca daripada pendedahan meluas kepada media sosial yang menjadi medium rekrut utama kepada kumpulan Daesh. 

Bagi mengalihkan semangat belia kepada sesuatu yang positif, beliau mengulangi saranan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli al-Bakri bahawa tanggungjawab penting belia di Malaysia adalah membantu meringankan beban rakyat, internally displaced people (IDP) dan pelarian Syria dengan bantuan kemanusiaan. 

Mungkin juga perlu disebut betapa pentingnya pada waktu ini, umat Islam khususnya golongan belia yang senantiasa bersemangat untuk membuat perubahan bermula dengan mencari ilmu melalui ilmuwan yang diiktiraf kesarjanaannya supaya segala tindakan yang diambil kemudian nanti adalah berlandaskan kepada ilmu dan kebijaksanaan.