Promosi

Wednesday, February 23, 2011

Simposium Tasawuf dan Tariqat

Bagi Dr Burhanuddin al-Helmy, zaman ini adalah zaman yang menyaksikan perlumbaan untuk meraih sebanyak mungkin harta kebendaan dan tatkala ini, seringkali pula aspek kerohanian menjadi sebuah wacana yang sering diremehkan dan dimangsakan justeru kekosongan nilaian ekonomi yang boleh diperoleh daripadanya berbanding berusaha meraih sebanyak mungkin kepentingan duniawi yang pastinya bakal mengangkat martabat manusia dalam kalangan manusia.

Pertentangan antara mengejar kehendak material dan kerohanian terus bersambung kepada kerosakan lain yang menyaksikan hal-hal metafizik terus dimangsakan dalam kalangan ilmuwan Islam yang dibahagikan oleh Dr Burhanuddin kepada dua kelompok iaitu ulama Zahir dan ulama Batin.

Tatkala ulama Zahir terus giat mengarang selembaran kitab buat panduan umat, penggiat ilmu-ilmu kebatinan atau tasawwuf terus terpesona dan hanyut dalam dunia kesufian yang keliru yang menyatakan keperluan akhirat adalah segalanya dan disinilah letaknya keunggulan keilmuwan Dr Burhanuddin dalam mengintegrasikan ilmu Fiqh dan Tasawwuf disamping membetulkan cara pandang dunia dalam Islam. Bahkan amalan tasawwuf yang meminggirkan urusan dunia seperti itulah yang disebut Dr Burhanuddin sebagai tasawwuf yang menipu.

Bahkan keperibadian Dr Burhanuddin yang digelar al-Ustaz al-Hakim seperti dalam buku ini jelas mencerminkan nilai-nilai dunia dan akhirat yang teguh dalam peribadi dan latar belakang pendidikan Dr Burhanuddin. Bahkan keilmuwannya yang pelbagai dan mendalam turut meyakinkan khalayak untuk menjemputnya memberi sharahan termasuklah dalam bidang Tasawwuf seperti yang ternukil dalam buku ini apatah lagi Dr Burhanuddin sendiri pernah berguru dengan Tuan Guru Sheikh Haji Mohd Yatim yakni seorang Tuan Guru dalam bidang Thariqat Naqsyabandiah di Kampung Belanja Kiri, Parit, Perak. Dan tanpa apologetik dengan suara-suara kemodenan dan kecanggihan teknologi ketika ini, Dr Burhanuddin terus lantang menggagaskan kebangkitan Tasawwuf sebagai sumber kekuatan kepada kebangkitan Islam.

Dr Burhanuddin menggunakan ketajaman pena dan akalinya untuk mengurus kerosakan yang berlaku dalam abad ini dengan dimulakan pemurniaan dalam bidang tasawwuf yang berfungsi menjernihkan jiwa dan akal manusia sebelum boleh untuk beliau membanteras kerosakan aliran pemikiran moden dengan isme-isme yang sangat rancu (bukan racun). Perjuangan memurnikan pemikiran dan amalan tasawwuf ini dilakukan justeru, bagi Dr Burhanuddin, Tasawwuf itulah nyawa Islam yang teguh memelihara aqidah Islam jika tepat manhaj yang dilaluinya.

Beberapa petikan kisah yang menarik dalam sirah dan riwayat Rasulullah, para Sahabah, golongan Tabi'in, Tabi'in at-Tabi'in menunjukkan betapa amalan Tasawwuf tidak sehala dan sebentuk sahaja sifatnya bahkan terkadang pandangan mata manusia sering tertipu antara kemewahan dan kesederhanaan.


Sila dapatkan kebenaran sebelum memetik artikel ini atau mana-mana bahagian dalam artikel ini untuk memelihara ketulenan sekaligus menjauhi salah faham fakta. Kerjasama amatlah dituntut.

Kesepaduan Iman dan Amal Salih

Dalam disiplin pemikiran Islam, wujud satu gerakan pemikiran yang menyatakan bahawa dosa tidak memberi mudarat kepada si pelaku dan pahala tidak memberi manfaat kepada si pengamal iaitu pemikiran Murji'ah.

Aliran pemikiran begini telah diperbaharui dalam konteks terkini dengan wajah yang sangat segar dan kononnya didokong oleh kelompok yang berfikiran matang dalam menilai kehidupan beragama lewat dewasa ini.

Kelompok yang secara asasnya menganggap bahawa agama adalah urusan peribadi akhirnya menoktahkan bahawa Sekularisme adalah panduan kehidupan yang terbaik untuk dilakukan justeru Sekularisme menjamin hak asasi manusia dan sekaligus mempertahankan nilai-nilai kebebasan yang menjadi harapan dan cita-cita sekalian manusia.

Kontradiknya ialah kelompok ini pula menggerakkan idea dan cita-cita yang keliru ini dengan menggunakan pula dalil-dalil agama untuk meyakini umat Islam bahawa perjuangan mereka adalah benar.

Disinilah bentuk kekeliruan yang terbesar yang dihadapi oleh umat Islam kontemporari dan perosak kepada pemikiran ini pula ialah golongan Islam Liberal yang sering mendabik dada kononnya pejuang tulen Islam yang mesti disokong oleh mereka yang berfikiran dan berpendidikan moden ataupun mereka yang mahu menikmati nilai-nilai ini.

Gejala kekeliruan seperti yang dibawa oleh Islam Liberal bukanlah satu hal yang terasing dari pemikiran arus perdana umat Islam bahkan HAMKA, ulama dan pujangga terbilang nusantara dan dunia telah menuliskan akan perihal ini lama dahulu dalam bukunya Kesepaduan Iman dan Amal Salih demi menjawab dan mengatur semula pemikiran umat Islam dan dalam konteks ini tentunya bangsa Indonesia yang terpengaruh dengan kecanggihan dan kemajuan Barat yang memperoleh semua nilai-nilai ini hanya selepas menolak agama dan menerima Sekularisme sebagai tata cara etika dan kehidupan.

Hamka yang menganalisis wabak kekeliruan ini meletakkan dasar pendidikan sebagai punca utama menjauhnya umat Islam dengan pengamalan Islam dalam erti kata yang sebenarnya.

Pengubahan konsep Akhlak yang digantikan dengan konsep Etika sebagai contoh, telah mengubah pandangan hidup (tasawwur Islami) Islam yang bersepadu sifatnya kepada mengamalkan dualisme dalam kehidupan beragama yakni melakukan hal-hal makruf dan mungkar pada ketika yang sama. Jika dia bersolat, dia juga tidak segan silu melakukan zina. Jika dia bersedekah, dia juga tidak segan silu untuk berjudi.

Namun begitu, Hamka mendidik dengan penuh hikmah setiap pelaku dosa dan membetulkan kesalahfahaman mengenai keadaan dosa dan pahala yang mana sering menimbulkan kekecewaan dan keputus-asaan justeru wujud manusia yang tekun beribadah dan beramal salih namun masih gagal membendung nafsu untuk melakukan kemaksiatan.

Ada juga golongan pendakwah yang kecewa dengan keadaan umat Islam ketika ini yang hidup dalam kedurjanaan sekaligus menganggap bahawa dakwah yang dilakukan selama ini adalah sia-sia belaka.

Segala kekeliruan dan kesalahfahaman ini dijawab secara tuntas oleh Hamka dalam buku ini sekaligus memberi semangat dan motivasi yang tinggi kepada pendakwah yang mengalami gejala kekecewaan seperti yang disebutkan ini.
Menariknya juga ialah didikan Hamka ini ditulis dengan menggunakan konsep dialog yang berlaku disamping memetik kata-kata hikmah pemikir-pemikir Islam yang begitu optimis dengan setiap waktu walaupun pada masa yang sama pekerja dakwah merasa dunia Islam contohnya semakin jauh meninggalkan ajaran Islam.

Disinilah letaknya keistimewaan Hamka yang selalu cemerlang dalam penulisannya.

Beliau menulis hasil renungan akal dan jiwanya yang sudah bertemu dengan sekalian manusia.

Hamka tidak memberikan sebuah solusi yang sukar untuk dilakukan seperti beruzlah, berqiyamulail dan sebagainya tetapi cukup sekadar meneruskan kehidupan seperti biasa namun dengan sebuah pendirian dan kefahaman baru yang lebih jelas dan kukuh mengenai Islam.

Bahkan penggunaan dalil Al-Quran dan hadith terasa begitu hidup dan tepat dengan persoalan yang diutarakan sekaligus meyakinkan pembaca bahawa Islam-lah sebuah agama sempurna dan paling tepat untuk dijadikan landasan kehidupan peribadi hinggalah dalam aspek politik pentadbiran.

Saya berpandangan bahawa buku-buku Hamka amat wajar ditelaah oleh setiap umat Islam yang bercita-cita murni menjadikan Islam sebagai landasan kehidupan justeru bahasa yang digunakan mudah difahami selain dalil-dalil yang begitu hidup dan memberi kepuasan dan kejernihan kepada akal dan rohani


Sila dapatkan kebenaran sebelum memetik artikel ini atau mana-mana bahagian dalam artikel ini untuk memelihara ketulenan sekaligus menjauhi salah faham fakta. Kerjasama amatlah dituntut.

Tuesday, February 22, 2011

Menulis Ulasan

Kita selalu digesa supaya rajin membaca. Kononnya membaca itu budaya ilmu dan membaca juga jambatan ilmu. Namun gesaan tersebut meninggalkan satu kelompangan pula jika segala hasil pembacaan gagal dikeluarkan atau diolahkan kembali oleh sang pembaca yang akhirnya menjadi pula beberapa keadaan yang agak buruk iaitu samada segala idea yang diperoleh ketika membaca hilang begitu sahaja akibat tidak dicanai dengan baik ataupun sang pembaca menjadi hamba buta kepada idea tersebut akibat gagal berinteraksi dengan bahan bacaan tersebut.

Begitu banyak kaedah yang boleh dilakukan untuk mempastikan segala maklumat atau idea yang wujud dalam bahan bacaan terus dimekarkan dan dikembangkan ataupun dikukuhkan. Contohnya melalui program-program seperti diskusi atau bedah buku dan mengulas buku tersebut supaya idea-idea dalam bahan bacaan itu boleh dimanfaatkan dan disebarkan kepada para pembaca lain dalam bentuk yang lebih ringkas namun berkesan.

Kaedah-kaedah begini akan mempastikan pula bahawa para pembaca kelak akan menjadi pembaca yang aktif, yang bijak berinteraksi dengan bacaan, tahu mengkritik dan menyokong hujah-hujah yang dikemukakan dan lebih penting disinilah bentuk budaya membaca dan budaya ilmu akan menjadi lebih utuh dan teguh.

Mengulas buku pula bermakna kita mengambil posisi samada sebagai pengkritik atau penyokong yang bersifat ilmiah. Mengulas buku bukan untuk memalukan sesiapa atau mengampu tanpa didokong oleh hujah-hujah yang bernas tetapi demi mempastikan kesegaran dan kesinambungan interaksi antara pembaca, bahan bacaan dan penulis bahan bacaan itu terus berlangsung.

Buku ini saya beli secara terus secara pos daripada Dr Roosfa Hashim hanyalah untuk memastikan kaedah ulasan buku yang saya lakukan dalam blog menepati ciri-ciri ulasan yang selari dengan kehendak akademi dan sesuai pula untuk disebarkan secara umum. Buku ini bagi saya agak sempurna untuk menjadi rujukan bagi pembaca buku yang berminat pula untuk mengembangkan idea buku tersebut dalam bentuk ulasan.

Saya meyakini buku ini kerana ia ditulis oleh ahli akademi yang memangnya berkepakaran dalam mengulas bahan bacaan untuk tatapan umum selain kepelbagaian bentuk ulasan yang berbeza untuk laras bacaaan yang berbeza menjadikan buku ini istimewa untuk dimanfaatkan. Apatah lagi, contoh ulasan yang diberikan bagi setiap laras bacaan adalah ulasan yang sudah pernah tersiar di beberapa media tempatan.

Gesaan paling penting yang saya ingati dalam buku ini pula ialah mengulas buku yang baik sahaja!


Sila dapatkan kebenaran sebelum memetik artikel ini atau mana-mana bahagian dalam artikel ini untuk memelihara ketulenan sekaligus menjauhi salah faham fakta. Kerjasama amatlah dituntut.

Jibam

Jibam begitu istimewa bagi sesiapa yang pernah menikmati naskah kecil ini. Barangkali, seistimewa pemilik nama tersebut, Jibam, seorang anak kecil mentah yang dikurniakan oleh Allah kekurangan akal berbanding anak-anak yang sebaya umur dengannya, kerap menjadi mangsa buli tetapi bukan oleh rakan-rakan sebaya sahaja bahkan turut dibuli oleh golongan tua yang gemar beriktikaf di warung kopi Pak Itam.

Namun begitu, siapa yang mampu menafikan kudrat Allah yang Maha Pencipta dan Pemberi? Disebalik kekurangan Jibam, Allah adil dengan turut memberikan kelebihan atau mungkin keajaiban kepada Jibam. Kepandaiannya mengubat Sipah, anak Usup Kidung yang disengat tebuan tanah. Barangkali dalam naskah ini, hanya Usup Kidung yang masih bersimpati dengan nasib Jibam.

Naskah ini turut menampilkan bentuk kehidupan stereotaip orang Melayu yang rata-ratanya mengamalkan Islam dalam bentuk yang biasa sahaja. Bagi mereka yang memiliki ketinggian ilmu atau mengamalkan ilmu perubatan seperti Suman dan Piah, bentuk amalan dan ibadah yang mereka lakukan pula tentunya sedikit berbeza dan istimewa demi memastikan pengharapan yang tinggi dan utuh kepada Allah Rab al-Jalil akan berterusan disamping memastikan mereka terlindung dari sebarang malapetaka. Pengharapan ini bukanlah kosong dan berbentuk doktrin semata-mata bahkan Suman paling terkesan dengan perasaan riak dan bangga selepas disebut-sebut orang sebagai tabib handalan dahulu. Barangkali, sebagai dugaan dan ujian hidup, kesan kepada perasaan bangga dan riak Suman itu ialah Jibam yang dilahirkan cacat akalnya mula menjadi fitnah terhadap ilmu perubatan yang Suman miliki.

Kehidupan dikampung Melayu jarang-jarang jika tidak wujud kelicikan sang kapitalis Cina yang berminat menjarah segala hasil mahsul yang diusahakan oleh penduduk kampung. Lam Shook, seorang penjual barang runcit yang sering ulang alik ke kampung Belulang saban minggu begitu bercita-cita untuk meraih kekayaan disini dengan menyatakan hasratnya untuk membina sebuah kedai runcit diatas tanah .

Hasrat Lam Shook ini pula diutarakan kepada Fakir, anak kedua Suman yang berhasrat sekian lama untuk menikahi Zamiah, anak Ngah Sudin. Fakir pula kerana sangat kepingan wang untuk membiayai perkahwinannya terus bersetuju dengan tawaran yang diberikan oleh Lam Shook tanpa memikirkan kesan-kesan buruk untuk jangka masa panjang. Satu situasi yang masih berlaku dalam kalangan orang Melayu yang gila mahu digelar Orang Kaya Baru tetapi mempunyai akal yang singkat.

Jibam juga turut dilingkari misteri apabila dia turut menyimpan sebilah pisau lipat bertangkai merah yang dulunya dipunyai oleh arwah Suman, bapanya yang kononnya hilang dan mati ketika pergi ke hutan mencari getah damar dan rotan sebagai sumber rezeki bersama Tuk Ngah Sudin. Misterinya ialah pisau lipat itu turut dibawa oleh Suman ketika hari dia turut dilaporkan hilang dalam hutan. Dan misteri ini tentulah memberi kesan yang besar kepada jiwa Ngah Sudin kerana dia turut berada bersama Suman ketika itu bahkan dialah juga yang menolak Suman ke gaung akibat haloba walaupun Suman memberikan budinya dengan mengubati kecederaan yang dialami oleh Ngah Sudin akibat ditusuk duri belulang yang sangat berbisa ketika itu. Puncanya ialah tanah-tanah yang Suman miliki.

Suman bukan kecil-kecil peneroka, selain menjadi seorang pengamal perubatan tradisional, Suman turut memiliki sejumlah besar tanah di Kampung Belulang hasil penerokaannya sejak sekian lama dahulu.Tanah dusun, tanah hujung kampung, tanah di kaki bukit semuanya milik arwah Suman dan kini secara liciknya sudah diduduki oleh Usin Singai, Ngah Sudin dan Karim Peot. Tindakan sial dan jahat yang menjadi perjuangan Kadir, anak sulung Suman pula untuk menuntutnya kembali.

Misteri pisau lipat yang dimiliki oleh Jibam itu menyebabkan Ngah Sudin mengalami gangguan jiwa yang melampau dan akhirnya Ngah Sudin memahami jiwa Jibam, jiwa seperti yang terungkap pada kulit naskah Jibam ini "Kalau Kau Menjadi Aku, Aku Yakin Kau Mengerti", Ngah Sudin menjadi kawan Jibam yang sama paras akalnya akibat gangguan jiwa yang berterusan.


Sila dapatkan kebenaran sebelum memetik artikel ini atau mana-mana bahagian dalam artikel ini untuk memelihara ketulenan sekaligus menjauhi salah faham fakta. Kerjasama amatlah dituntut.

Wednesday, February 9, 2011

Bersukan Untuk Berjuang

Untuk pertama kali saya agak kecewa dengan Faisal Tehrani kerana Bahlutnya. Saya tidak pasti bagaimana pandangan khalayak lain namun saya agak cerewet justeru saya merupakan pembaca dan pelanggan kepada baik produk, perkhidmatan atau idea yang disebarkan oleh penulis. Justeru "customer is king and always right" maka saya berhak untuk kecewa. Namun begitu, saya rasa kekecewaan saya pula masih rasional dan tidak emosional.

Kekecewaan saya pula tidaklah terlalu besar justeru hanya melibatkan corak penulisan Bahlut yang saya lihat agak ringan dan sangat berbeza dengan karya-karya beliau sebelum ini yang begitu mencabar benak pemikiran pembaca sekaligus terkadang mengundang kontroversi yang bukan picisan sifatnya. Namun, Bahlut antara naskah yang punyai memori bersama saya ketika kegetiran menghadapi peperiksaan akhir semester sekaligus akhir tahun. Saya temui Bahlut ini ketika melawati Pesta Buku di Perlis sejurus selesai menjawab kertas peperiksaan Politik Ekonomi Malaysia. Maka Bahlut termasuk dalam senarai karya-karya dalam kenangan bersama saya.

Walaupun begitu, sisi lain yang cuba diselongkar oleh Faisal dan harus dipuji ialah dia cuba mengangkat persoalan demi persoalan yang seringkali dilupakan oleh masyarakat kita yang kononnya prihatin, bertimbang rasa dan cakna dengan keadaan sekeliling. Persoalan yang terus-menerus melingkari kehidupan masyarakat minoriti di Malaysia yakni masyarakat orang Asli yang mempunyai banyak pula puak dan etniknya. Dan dalam Bahlut, Faisal mengetengahkan kehidupan dan perjuangan orang Asli suku semai yang tema ini dijayakan oleh Bahlut sendiri. Nama seorang pemuda yang cergas berlari. Perjuangan itu pula ialah perjuangan untuk memastikan tanah adat mereka terus terpelihara dari perkosaan pembalak haram, pembangunan tidak terancang, infrastruktur yang mundur dan tidak membantu untuk meningkatkan mutu pendidikan dan sebagainya.

Saya yang berpengalaman beberapa kali mengikuti ekspedisi ke perkampungan orang Asli memang mengakui bahawa mereka mempunyai bakat yang jarang-jarang boleh dilakukan oleh manusia biasa atau orang bandar yang selalu perasan paling mampu, paling maju, paling serba boleh dan serbaguna dan hakikatnya ramai antara mereka yang langsung tidak berguna pun untuk masyarakat.

Bahlut, yang merupakan nama seorang anak muda dari suku Semai adalah kisah tentang dunia atlet juga. Kedua-dua elemen ini digabung jalin dengan agak kemas disamping menggunakan kuasa sebagai selebriti kesihatan dan atlet ternama untuk menjadikan sukan sebagai salah satu kaedah yang terbaik untuk mengharumkan nama, bangsa dan negara sekaligus mempunyai pengaruh yang besar untuk membawa agenda perjuangan.

Disinilah Bahlut dipacu kisahnya. Dipacu sederas lariannya.

Kemuncak perjuangan yang dilakukannya ialah dengan mengisytihar akan memulangkan pingat emas yang dimenangi dalam sukan SEA demi menyentak perhatian dunia malah pimpinan negara supaya cakna dengan nasib yang menimpa suku kaum dikampungnya yang bukan sahaja ditindas oleh keluar masuk pembalak haram jadah yang turut dibantu oleh pasukan keselamatan yang rasuah dan cuai bahkan berusaha untuk mendakwa manusia laknat yang bersuku Semai tetapi berperangai iblis seperti Tiak, tunangnya dahulu Kabut dan Batin, tok ketua durjana yang senang-senang berkomplot dengan pembalak durjana demi mengaut secebis kemewahan.

Dari kekecewaannya terhadap kehilangan bapanya yang dianggap sudah mati, ibunya, Embun yang hilang tiba-tiba dalam tebal belantara dan kononnya dibaham harimau, kisah cintanya yang tidak berbalas terhadap Kabut, seorang dara pingitan yang menjadi pujaannya hinggalah episod Bahlut dihasad dengki oleh teman atletnya. Semunya begitu ringan dan mudah dibaca disamping tiada debaran yang dirasakan sepanjang pembacaan saya.

Dan semua yang berlaku hingga Bahlut berjaya adalah jasa yang diberikan oleh Cikgu Zaiful yang membawanya dari kampung kekecewaan kepada sebuah bandar pengharapan dan peluang. Disamping turut dibantu oleh Ustaz Zaidi, abang Cikgu Zaiful.

Jika Bahlut mahu dilakonlayarkan, saya fikir kisah ini lebih sesuai untuk ditayangkan untuk tontotan RTM1 dan 2.


Sila dapatkan kebenaran sebelum memetik artikel ini atau mana-mana bahagian dalam artikel ini untuk memelihara ketulenan sekaligus menjauhi salah faham fakta. Kerjasama amatlah dituntut.

Sunday, February 6, 2011

IMAM: Sebuah Pertentangan Aliran Pemikiran Islam

Saya tidak pasti sudah kali yang ke berapa naskhah ini saya baca. Walaupun begitu, tidak pula jemu untuk saya nikmati bab demi bab yang disusun dalam naskhah ini terutamanya bab Inquisisi. Bab yang menjadikan mengapa naskhah ini begitu istimewa untuk saya justeru mempunyai kualiti ilmu yang penuh, perdebatan yang mendebarkan dan segala kritik sosial dan amalan agama masyarakat Islam ditangani dengan baik oleh Haji Mihad dalam perdebatan tersebut walaupun asal tujuannya ialah sebuah muzakarah namun dek kerana tidak gemar dan berlapang dada menerima pembaharuan maka muzakarah bertukar menjadi munazarah.

Perdebatan tersebut yang berlangsung antara Haji Mihad selaku imam yang dipalit dengan segala kontroversi dengan orang-orang agama seperti Yang Di-Pertua Majlis Agama dan dibantu oleh dua orang lagi iaitu seorang pensyarah di Maktab Perguruan Agama dan seorang lagi ialah bekas kadi. Perdebatan tersebut tidak hanya berkisar tentang ruang lingkup agama bahkan turut diheret sama kritik-kritik sosial seperti budaya puji puja golongan diraja, isu tulisan jawi, sikap golongan agama yang melangit dan sebagainya dan hal-hal ini yang sering kali dipandang menjadi punca kemunduran dan kelemahan bangsa Melayu-Islam.

Barangkali juga, naskhah Imam, bagi saya tak ubah seperti sebuah novel pemikiran Islam. Pemikiran yang menunjukkan pergolakan bahkan pertentangan antara aliran konservatif dan kontemporari. Seakan-akan wujud pergolakan antara kaum tua dan kaum muda walaupun Haji Mihad tidaklah terlalu tua umurnya dengan golongan yang dianggap sebagai wakil kepada aliran kaum tua cuma barangkali kegagalan golongan konservatif ini untuk kembali merujuk kepada nas dan dalil berbanding kegemaran mengekalkan apa yang dianggap tradisi nenek moyang turun-temurun.

Haji Mihad, watak utama dalam Imam begitu kemas sekali digagahkan kewujudannya oleh Abdullah Hussain. Haji Mihad diangkat sebagai seorang imam yang memiliki sehimpunan kualiti diri dan ilmu untuk membangunkan masyarakat setempat melalui pendekatan yang mungkin dilihat liberal namun segalanya dipaksikan kepada hujah-hujah agama yang kadangkala sangat mencabar kebiasaan yang diamalkan oleh masyarakat.

Saya mengenali dan meminati perbahasan dan pertentangan antara dua aliran paling popular dan bersejarah dalam sejarah pasca-merdeka Malaysia setelah saya membaca naskhah ini. Bahkan minat ini mekar lebih awal berbanding setelah saya mengetahui dan mengikuti aliran pemikiran dan perdebatan antara Astora Jabat dan Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang pada saya hingga hari ini dua perdebatan yang berkualiti antara mereka  masih belum saya temui.

Naskah ini juga saya anggap begitu hampir dengan kehidupan saya ketika itu. Ketika jiwa dan umur masih muda -16 tahun- dan mengikuti pengajian kitab-kitab fiqh lama, mendalami kitab tasawwuf Hikam, memahami pengajian tafsir, hadith dan sebagainya hinggakan pernah saya terfikir adakah Tuan Guru yang menjadi mu’allim saya ini adalah Haji Mihad justeru saya seperti terasa kualiti Haji Mihad pada Tuan Guru saya tersebut.

Imam berkisarkan sebuah kehidupan tipikal bermasyarakat dan beragama di Kampung Anggerik Desa. Sebuah kampung yang tidak jauh dari bandar yang terletak di bahagian utara tanah air. Manakala masjid yang menjadi fokus pula ialah Masjid Haji Salih. Memiliki latar belakang penduduk yang pelbagai profesional menjadikan Imam dihidupkan dengan penuh warna dan rupa.

Bencana alam yang terjadi juga ditangani oleh Haji Mihad dengan membetulkan kefahaman masyarakat setempat daripada hanya berserah kepada Allah kepada turut berusaha untuk mengubah nasib sebagai memenuhi konsep doa dan tawakal. Dimusuhi oleh sanak saudara sendiri seperti yang ditunjukkan oleh Haji Abdul Rahman, bekas imam masjid dan Haji Syamsuri, timbalan kepada imam Haji Abdul Rahman yang juga sepupu Haji Mihad.

Imam ini agak berat untuk dibaca apatah lagi dilihat jalur yang mahu dikembangkan oleh Abdullah Hussain justeru beliau cuba menampilkan sebuah idea baru yang progresif dengan memautkan aliran pemikiran Haji Mihad dengan perkembangan pelbagai aliran pemikiran di Indonesia apatah lagi dia digambarkan sebagai seorang guru agama sekolah agama di Indonesia maka Imam sekaligus cuba membuka ruang baru untuk pembaca di Malaysia fikirkan terutamanya tentang kesediaan masyarakat Islam di Malaysia untuk mengukuhkan kualiti diri dan ilmu melalui perbahasan-perbahasan ilmiah yang mana akan menentukan survival pemikiran dan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah berbanding dengan hanya berasa lega justeru aliran dan aqidah ini menjadi dasar kepada perkembangan Islam di Malaysia.

Abdullah Hussain cuba membawa kita berdikari dengan mencari kekuatan ilmu dan hujah berbanding menggunakan segala akta dan undang-undang untuk mematikan hujah-hujah mereka yang berbeza aliran dengan umat Islam arus perdana kerana tindakan ini dilihat seperti tindakan yang bacul dan menunjukkan ketakutan yang tidak berasas.


Jujurnya, berbanding Interlok, saya lebih meminati Imam.

Sebuah lagi naskhah yang saya baca hampir isinya dengan Imam ialah Imam: Menziarahi Tanah Bonda cumanya agak kurang menarik justeru pertentangan yang wujud hanyalah dalam ruang lingkup yang kecil sahaja namun begitu kedua-dua baik untuk dinikmati walaupun Imam karya Abdullah Hussain sangat mencabar pemikiran Islam arus perdana.

Sila dapatkan kebenaran sebelum memetik artikel ini atau mana-mana bahagian dalam artikel ini untuk memelihara ketulenan sekaligus menjauhi salah faham fakta. Kerjasama amatlah dituntut

Tuesday, February 1, 2011

Kerugian Dunia Karena Kemunduran Umat Islam


Perkembangan yang berlaku di belahan dunia Islam-Arab-Afrika Utara sedikit sebanyak menyebabkan saya  terasa sedikit sesak memikirkan hala tuju sebenar revolusi yang diledakkan. Hampir semua yang sempat saya baca berkecenderungan kepada sokongan terhadap revolusi itu dengan keyakinan bahawa revolusi itu bakal menumbangkan sebuah kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah yang autokratik dan diktator terhadap rakyat dan pemerintahannya. Dan saya sangat setuju dengan objektif revolusi itu.

Ramai yang memulakan pandangan atau pendapat mengenai revolusi ini melalui Tunisia  yang dikenali sebagai Revolusi Jasmine tapi saya memilih untuk memulakan kebangkitan revolusi ini di Lubnan justeru kepimpinan Saad al-Hariri dalam kerajaan perpaduan berjaya ditumbangkan oleh barisan oposisi yang didokongi oleh Hizbullah dan beberapa parti lain termasuk sebuah parti gerakan pembebasan Kristian. Perihal ini ada saya rencanakan dan tersiar dalam Berita Harian pada 27 Januari 2011. Revolusi dalam parlimen ini dianggap cukup memalukan Saad justeru berita tumbangnya kerajaan ini berlaku ketika Saad sedang bertemu dengan Presiden Obama di Washington.

Selepas itulah baru kedengaran suara-suara revolusi di Tunisia yang berjaya menumbangkan Presiden Zine Al-Abidine Ben Ali pada kemuncaknya iaitu pada Jumaat, 14 Januari 2011 sekaligus meletakkan Tunisia dalam keadaan anarki. Revolusi Jasmine yang meledak di Tunisia terus bersambung hingga ke Mesir dan ketika inilah saat paling menggawatkan berlaku. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pendapat ini justeru Lubnan tidak mengalami revolusi rakyat seperti yang berlaku di Tunisia namun sekurang-kurangnya, bagi saya, seakan-akan wujud kesinambungan antara kedua-dua revolusi ini yakni revolusi dalam parlimen Lubnan dan revolusi rakyat di Tunisia yang boleh sama-sama kita bincangkan.

Di Mesir pula, revolusi rakyat meledak dengan desakan agar Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai presiden justeru kegagalan beliau untuk memerintah Mesir dengan baik sejak mulai menjadi presiden iaitu pada 1981 dan Mubarak juga dilihat bakal mengikut jejak langkah Ben Ali yang ditumbangkan rakyat Tunisia. Beberapa negara lain yang berhampiran dikatakan hanya menunggu masa kejatuhan sahaja.

Saya terdiam sejenak melihat gelombang-gelombang revolusi ini yang semakin hari semakin memuncak sehingga menuntut pula seorang pemimpin baru yang lebih berketrampilan untuk mengambil alih negara yang berada dalam keadaan anarki. Figura-figura hebat seperti pemimpin Ikhwanul Muslimin dan anak didiknya  seperti Sheikh Rashid al-Ghannushi di Tunisia dilihat bakal mengisi kekosongan kerusi pemerintahan tersebut. Gelombang revolusi ini juga dikatakan turut menumbangkan kerajaan-kerajaan lain seperti Algeria dan Libya. Cumanya suara-suara Hizb Tahrir yang masih tidak kedengaran untuk mewakili sekelompok manusia yang mahukan Khilafah diangkat semula.

Ketika ini juga teori domino cukup ligat menjadi analisis terhadap perkembangan revolusi di dunia Arab. Teori ini dahulunya pernah diguna-pakai ketika rejim Amerika Syarikat diketuai oleh Presiden Dwight D. Eisenhower. Teori Domino ini yang berkaitan perkembangan aliran komunis di Asia Tenggara yang mana blok domino pertama ialah Vietnam dan jika komunis berjaya di Vietnam maka negara-negara serantau akan turut menerima komunis sebagai fahaman baru mereka.

Disamping itu, pemerintahan rejim Eisenhower turut menyaksikan kebangkitan  Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang menjalankan operasi sulit bagi menggulingkan pemerintah yang menerima ideologi komunis. Paling kritikal ialah jika teori domino ini laku digunakan di dunia Arab maka kewujudan Israel akan senantiasa dalam ancaman dan hal inilah yang meligatkan kuasa-kuasa Barat untuk cuba menghentikannya.

Saya mentelaah kembali buku Kerugian Dunia Karen Kemunduran Umat Islam (atau Apa Ruginya Dunia Bila Umat Islam Mundur) sebagai refleksi kepada keadaan semasa, bukan semata-mata dunia Arab bahkan dunia Islam keseluruhannya. Ternyata penulis, Almarhum Abul Hasan Ali al-Hasany an-Nadwi, telah menggariskan beberapa peringatan penting kepada umat Islam selain beberapa saranan sebagai usaha memulihkan kembali maruah umat Islam yang dianggap sebagai pemegang kunci perbendaharaan dunia dan akhirat, pemegang kunci perbendaharaan bumi dan langit, dan; penegak yang Haqq dan penumbang yang Bathil.

Bahkan an-Nadwi menambah bahawa kaum Muslimin sebagai pemegang kunci risalah para Nabi dan Rasul Allah dan bagi dunia, mereka ini adalah ubat untuk menyembuhkan tubuh kemanusiaan lalu menyatakan bahawa kejatuhan kaum Muslimin atau dunia Islam adalah sebuah tragedi terbesar dalam sejarah peradaban manusia justure ianya adalah kejatuhan risalah agung yang merupakan roh  atau kunci kepada kesejahteraan dan pembangunan lestari kemanusiaan.

Buku ini tidak ditulis untuk mengecam segala kejahatan yang telah musuh-musuh lakukan terhadap diri umat Islam. Tetapi an-Nadwi menulis dan mengkritik kegagalan umat Islam itu sendiri yang keliru untuk memahami kepentingan mereka di atas muka bumi ini. Secara luas dan pembahagian beberapa fasa, An-Nadwi mengajak pembaca untuk menyorot sejenak apa yang telah berlaku kepada batang tubuh umat Islam dengan meletakkan keadaan dunia sebelum kedatangan dan seruan kepada Islam oleh Nabi Muhammad S.A.W, ketika kebangkitan Islam, kemunduran dunia Islam, penjajahan bangsa-bangsa Eropah hinggalah ketika ini, ketika yang menyaksikan umat Islam keadaan inferiority complex yang dahsyat sehingga meletakkan Barat sebagai pengukur segala aspek kehidupan.

An-Nadwi menyebutkan bahawa tiada umat atau bangsa ketika ini yang bersikap lainnya dengan Barat, tiada yang cuba menyaingi kelajuannya, tiada yang menentang pemikirannya bahkan tiada yang mengkritik kehidupan mereka yang bersifat kebendaan baik di Eropah, Amerika, Afrika dan juga Asia. Walaupun begitu, saya menganggap bahawa pandangan ini dikeluarkan lewat penguasaan Barat ke atas dunia Islam satu ketika dahulu dan keadaan semasa boleh dikatakan berlaku sedikit perubahan  dalam beberapa dunia Islam baik dari segi sikap, pemikiran dan gerak kerja.

Fokus yang khusus terhadap kepimpinan dunia Arab oleh an-Nadwi dalam bab akhir selepas kebangkitan Islam seharusnya menjadi buah fikiran terhadap para pejuang Islam dan pendokong keadilan dan kebenaran bahawa mereka menduduki kedudukan yang istimewa dalam panggung sejarah peradaban dunia. Gesaan dan idea-idea yang diberikan oleh an-Nadwi dilihat cukup baik untuk diberi perhatian dan dilaksanakan oleh bangsa Arab.

Walaupun benar, suara-suara kebangkitan Islam masih kukuh kedengaran sejak tahun kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniyyah hinggalah hari ini namun hakikatnya dunia Islam masih jauh untuk meletakkan kembali kedudukan mereka dalam kemuliaan landasan dunia dan akhirat. Penguasaan mereka terhadap ilmu pengetahuan masih boleh dipertikaikan, kesungguhkan membangunkan teknologi persenjataan, perubatan, sistem maklumat, dan sebagainya masih dalam begitu jauh berbanding apa yang telah Barat usahakan sejak sekian lama.

Akhirnya kita melihat dunia Islam masih dalam keadaan memberikan reaksi secara permukaan semata-mata demi merealisasikan perjuangan untuk menegakkan kembali syariat Islam. Revolusi yang meletus hanyalah ekoran kemarahan dan perasaan tidak puas hati yang dialami oleh rakyat yang ditindas dalam negara yang diperintah oleh diktator kuku-besi.

Namun secara jangka masa panjangnya, revolusi tersebut masih dalam kekaburan untuk meyakinkan umat Islam bahawa kebangkitan Islam sedang berlaku. Kerangka bertindak ke arah itu hakikatnya masih dalam petak-petak puzzle yang masih gagal dicantumkan untuk mendapat sebuah gambaran sebenar kebangkitan Islam. Barangkali juga, umat Islam masih kuat dimainkan oleh pesona-pesona yang bersifat populis yang cukup mengagumkan. Revolusi, demonstrasi, kecaman demi kecaman, semuanya begitu cukup menghiburkan berbanding bertindak mengukuhkan tapak, membenamkan cerucuk yang padu supaya sebuah bangunan yang terbina atas tapak itu lebih kuat.

Barangkali saya berpendapat bahawa revolusi ini hanya bersifat jangka masa-pendek, yang sesuai hanya untuk menumbangkan pemerintahan rejim diktator-diktator Arab namun secara jangka masa panjangnya, pendokong gerakan Islam harus pantas memainkan peranan bagi memurnikan kembali revolusi rakyat yang tercalar dengan insiden rompakan dan kecurian ini ke arah yang lebih meyakinkan dan bersifat rekonstrukif (runtuhkan dan bina semula). Namun persoalannya, bersediakah para pendokong gerakan Islam untuk memikul tanggungjawab yang maha kompleks ini?


Sila dapatkan kebenaran sebelum memetik artikel ini atau mana-mana bahagian dalam artikel ini untuk memelihara ketulenan sekaligus menjauhi salah faham fakta. Kerjasama amatlah dituntut.