Promosi

Showing posts with label Sejarah. Show all posts
Showing posts with label Sejarah. Show all posts

Friday, April 29, 2011

Kuasa KePemimpinan Al-Fateh

Saya tidaklah begitu mengenali sedalamnya ustaz Muhammad Syaari Abdul Rahman walaupun beliau pernah berada dalam barisan pimpinan Gamis cuma tahulah juga yang beliau memang begitu meminati sosok keperibadian dan kepemimpinan Sultan Mulia, Muhammad al-Fateh. Bahkan ustaz Syaari menjadikan sultan mulia ini sebagai objek dalam modul kepemimpinannya yang dikendalikannya sehingga pernah melahirkan cita-cita meganya iaitu untuk membikin sebuah filem sejarah tentang Sultan Mulia al-Fateh seperti yang pernah ditulis dalam status facebooknya.

Banyak juga faktor yang menarik perhatian saya untuk terus membaca buku ini. Biasanya bila membeli atau membaca sesebuah buku, saya akan melihat bahagian bibliografi terlebih dahulu untuk melihat senarai rujukan yang diambil sebelum kajian ditulis. Menariknya ialah ustaz Syaari turut melakukan sorotan kajian dengan mengupas bahan-bahan rujukan yang digunakan untuk menyatakan kerelevanan bahan-bahan itu digunapakai dalam penulisan buku ini.

Faktor penarik yang lain ialah kata pengantar yang diberikan oleh Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah. Membaca kata pengantar oleh beliau sahaja cukup untuk merangkumi keseluruhan maudu’ dalam perbincangan buku ini justeru Prof Madya Dr yang senantiasa bertenaga melontarkan ide mengupas ketokohan Sultan al-Fateh dalam segenap segi yang diperlukan oleh seorang pemimpin.

Saya melihat buku ini memiliki dua fungsi besar iaitu sebagai sorotan terhadap keunggulan kepemimpinan dalam pelbagai bidang kehidupan dengan gaya amal Islami yang terbukti sangat efektif dan praktikal,  dan sebagai manual kepada gaya pemikiran dan pengupayaan segala daya yang dimiliki oleh umat Islam.

Hal ini boleh dilihat dengan jelas melalui panduan Kompas Buku yang terkandung didalamnya 12 Kuasa Kepemimpinan al-Fateh. Kesemua 12 kuasa tersebut, untuk saya yang kurang membaca buku-buku tentang kepemimpinan bolehlah dikatakan susunan 12 kuasa tersebut sebagai sebuah adunan yang baik dan kemas oleh penulisnya. Namun wujud sedikit ralat pada Kompas Buku tersebut apabila tertulis Kuasa Pemikiran Negatif sedangkan jika dirujuk kepada isi kandungan, yang betulnya ialah Kuasa Pemikiran Strategik.

Sebagai tarikan untuk membaca buku ini, saya ulang tulis 12 Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh iaitu:

  1.Kuasa Semangat Pemuda.

  2.Kuasa Pemikiran Strategi

  3. Kuasa Inovasi dan Kreatif

  4.Kuasa Kerja Berpasukan

  5.Kuasa Contoh

  6.Kuasa Pidato Berpengaruh

  7.Kuasa Iman dan Tawakal

  8.Kuasa Jihad dan Pengorbanan

  9.Kuasa Diplomasi dan Kebajikan

10.Kuasa Bahasa

11.Kuasa Sentuhan Ulama

12.Kuasa Sistem Pendidikan Komprehensif

Melalui pengisian yang ilmiah namun dengan gaya bahasa yang mudah, penulis yang juga merupakan mantan Setiausaha Agung Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS) ini begitu cemerlang mengemukakan sebuah manual awal kepada para pembaca untuk memahami rahsia-rahsia kemenangan Islam yang pernah dianggap mustahil untuk merampas kota Konstantinople yang pada ketika itu dianggap sebagai benteng pertahanan paling kebal didunia.

Saya cuba kelompokkan 12 Kuasa itu kepada tiga kumpulan iaitu Tarbiyyah, Siasah dan Kaderisasi yang mana ketiga-tiga pasak ini dinaungi oleh Murabbi selaku pemandu untuk mencapai misi yang dirangka sejak sekian lama. Tarbiyyah itu didokong oleh sistem pendidikan demi pembentukan jiwa dan pemantapan rohani para pejuang Islam, Siasah pula membentuk pemikiran yang membawa kepada gerak kerja taktikal dan operasi dan seterusnya Kaderisasi yang membentuk batang-batang tubuh baru yang segar dari kelompok pemuda Islam yang bersemangat menegakkan panji Islam.

Buku ini bukan semata-mata berkisar tentang Turki dan kempimpinan sultan al-Fateh yang penuh dengan nostalgik yang dirundu-rindukan oleh umat Islam ketika ini bahkan penulis cuba mendekatkan fakta-fakta dan pendekatan dalam sejarah terdahulu dengan realiti semasa dunia Islam khususnya Turki yang para aktivis gerakan Islamnya yang senyap tetapi sangat berfungsi iaitu Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) mampu menawarkan khidmat kebajikan sosial dengan sangat teratur. Bahkan gerakan ini yang menggunakan taktikal soft-power, mampu beraksi dalam gelanggang yang kerangkanya ialah Sekularisme supaya umat Islam senantiasa menjadi umat yang progresif dan produktif dalam menghasilkan kader-kader Islam yang mampu meneruskan kesinambungan gerak kerja perjuangan Islam demi menampilkan wajah Islam yang segar dan berfungsi untuk memulihkan kebejatan ummah dan kerosakan dunia.

Saya tidak mendapat sebarang keuntungan material dengan ulasan ini namun saya begitu menggalakkan untuk buku ini dibaca sekurang-kurangnya untuk kita mengenali kepemimpinan ulung yang pernah dilakarkan dalam sejarah Islam.

Sila dapatkan kebenaran sebelum memetik artikel ini atau mana-mana bahagian dalam artikel ini untuk memelihara ketulenan sekaligus menjauhi salah faham fakta. Kerjasama amatlah dituntut.

Wednesday, March 30, 2011

Al-Ikhwan Al-Muslimun Dari Kaca Mata Al-Qaradhawi.


Bagi mereka yang memilih untuk berada atas jalan perjuangan Islam, pilihan ini sering mengundang dilema yang bukan picisan untuk dirungkaikan justeru tindakan ini bermaksud mereka sedang bersedia untuk menghadapi 1001 mehnah dan tribulasi justeru begitulah sunnah dalam perjuangan yang Haqq. Meninggalkan kesenangan yang pernah dinikmati bahkan bersedia untuk kehilangan segala kemewahan yang pernah dikecapi sebelumnya. Bukan sedikit juga manusia yang tewas atas ujian ini atas sebab desakan hidup dan tuntutan material yang sering menjerut apatah lagi dalam kehidupan kini yang pekat dengan pengaruh materialism. Potensi untuk dibenci dan dicaci nista oleh orang sekeliling bahkan ahli keluarga sendiri juga adalah antara keperitan yang harus ditempuhi. Hal ini bukanlah sesuatu yang aneh dan jauh dari kenyataan justeru jalan-jalan yang penuh berliku ini telah pun dilalui lebih awal oleh para nabi dan rasul demi menghadapi masyarakatnya dalam usaha untuk mengenalkan tujuan sebenar kehidupan seorang manusia sebagai makhluk yang diperintahkan untuk mentadbir seluruh alam ini dengan tata-kelola yang baik selandas dengan panduan Al-Quran dan Sunnah. 

Nabi Muhammad S.A.W serta para sahabah bermula sebagai sekumpulan kecil manusia dalam misi kemanusiaan yang ditapakkan atas jalan tauhid dan aqidah untuk membangunkan masyarakat dan negara yang diredhai oleh Allah yang mana keadilan sosial dititikberatkan sebagai aspek terpenting dalam amalan bernegara. Memang sesuatu yang bersifat pasti dalam disiplin sejarah bahawa setiap yang naik pasti ada jatuhnya. Begitulah juga yang berlaku kepada Dunia Islam yang berakhir dengan kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah yang berganti dengan Republik Turki yang mengangkat Sekularisme sebagai amalan tertinggi dalam negara dan turut memulakan episod baru gerakan Islam yang disebut oleh Kalimi Siddique sebagai “mini Islamic State” justeru membawa sejumlah besar peranan negara Islam dalam kelompok pendokongnya sebagai usaha membangunkan semula semangat Islam dan praktikalitinya dalam aspek kenegaraan. Maka disinilah al-Ikhwanul Muslimin yang ditubuhkan pada 1928 sebagai responsif yang bukan secara kebetulan dan selapis sahaja, melainkan telah dipasakkan gerakan Islam ini dengan ditunjangi akar kefahaman terhadap Islam sebagai Sistem dan Cara Kehidupan (The Way of Life). Namun bukan mudah pula misi untuk membangkitkan semula keunggulan Islam setelah sekian lama diselindungkan oleh kejahilan umat Islam sendiri yang terpesona dengan kemilau materialisme yang kerangkanya ialah Sekularisme yang telah menghilangkan dan meranapkan nilai-nilai rohaniah dalam aspek kehidupan yang akhirnya menjuruskan manusia seluruhnya kepada kekeliruan terhadap pengertian sebenar nilai sebuah kehidupan dan agama.

Demikianlah sepintas lalu sorotan mengenai gerakan Islam yang mencipta fenomena kekaguman di dunia Islam dan kegentaran di dunia Barat. Masakan tidak, kewafatan Imam Hassan al-Banna disambut dengan penuh kegembiraan oleh masyarakat Barat sehingga menimbulkan kehairanan dibenak Syed Qutb yang melihat gelagat aneh tersebut dan akhirnya Syed Qutb menyertai Ikhwanul Muslimin setelah mengkaji sendiri gerakan Islam itu.

Ikhwanul Muslimin melalui ranjau yang sangat berliku dan jarang-jarang kita dihadapkan dengan sebuah penulisan yang menceritakan ‘kisah dalam kelambu’ Ikhwanul Muslimin melainkan beberapa buah sahaja dan antara yang paling memikat  ialah buku yang dikarang oleh ilmuwan besar lulusan al-Azhar iaitu Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi. Dengan penuh kerendahan diri dan keadilan. Al-Qaradhawi menceritakan kisah yang dilaluinya bersama Ikhwanul Muslimin. Lumrahlah, sebagai gerakan Islam yang dinaungi oleh pelbagai kelompok manusia yang berbeza latar belakang dan kefahaman, maka gerakan Islam juga sedikit sebanyak turut terpalit dengan kontroversi dan tanpa apologetik, Al-Qaradhawi mengulas tentang itu dengan penuh hikmah dan adil.

Dalam buku inilah Al-Qaradhawi, mutiara Islam kelahiran Safat Turab, bercerita tentang Madrasah Al-Ikhwanul Al-Muslimun yang telah membentuk watak peribadinya sedari dibangku sekolah sehinggalah ketika ini. Beliau memulakan travelog tarbiyyah ini dengan mengimbau kenangan yang dilalui dengan seorang gurunya, al-Ustaz Al-Bahi Al-Khuli yang disifatkannya sebagai seorang yang pakar sejarah dan peta geografi.

Al-Qaradhawi mengisahkan bagaimana mereka yang terlibat dengan gerakan Ikhwan pasti merasai nikmat perjuangan dan suasana keilmuwan yang sangat luas. Walau dimana sahaja mereka diletakkan, pasti disitu madrasah Islam akan terbina bahkan ketika disumbatkan dalam penjara At-Tur ketika Mesir dibawah rejim taghut Ibrahim Abdul Hadi yang mana disyaki turut terlibat dalam komplot pembunuhan al-Syahid al-Imam Hassan al-Banna, Al-Qaradhawi menyebutkannya sebagai pusat latihan abadi bagi Ikhwan justeru halaqah yang menyentuh pelbagai disiplin pengajian Islam tetap berlangsung disini dan pentarbiyyahan disini menyentuh ketiga-tiga aspek manusiawi iaitu aspek jasad melalui latihan fizikal, akal melalui halaqah-halaqah dan jiwa melalui ibadah yang dilakukan secara berjemaah. Apatah pula Al-Qaradhawi tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dan syukurnya justeru dipertemukan oleh Allah dengan seorang ilmuwan dan pemikir besar lulusan al-Azhar iaitu Sheikh Muhammad al-Ghazali setelah sekian lama meminati Sheikh al-Ghazali lewat karya-karya ilmiahnya. Al-Qaradhawi masih dibangku sekolah menengah ketika disumbatkan dalam penjara ini dan menghadapi kegetiran untuk mentelaah segala pelajaran demi menghadapi peperiksaan.

Maka bolehlah disebutkan yang penjara merupakan universiti yang mampu membentuk rupa peribadi pejuang Islam yang lebih tulen sekaligus menjadi wadah penapis antara mereka yang komited dengan perjuangan Islam dengan yang tidak. Begitulah bukti sejarah. Penjara terkadang menjadi pusat pembentukan paling berkesan bukan hanya manusia biasa bahkan golongan nabi seperti Nabi Yusuf turut pernah dipenjarakan.

Turut dikisahkan ialah sebuah tanzim yang bernama Nizam Khas yang ahlinya pernah mufaraqah daripada kepimpinan Ikhwan. Nizam Khas yang diketuai oleh Abdurrahman as-Sindi turut mendakwa bahawa perjuangan lebih tulen dan lebih layak menerajui gerakan Islam. Selain episod pembunuhan hakim Khaznidar, Nizam Khas turut membuat onar terhadap kepimpinan Ikhwan dengan memaksa Mursyidul Am kedua Ikhwan, Sheikh Hassan Hudhaibi Bek segera meletakkan jawatan dan pelantikan baru dilakukan selain Nizam Khas cuba mengambil- alih Markaz Am Ikhwan.

Satu hal yang perlu ditekankan dalam penulisan ini ialah tentang Hassan al-Banna yang selalu dipalitkan dengan kata-kata kotor dan keji yang cuba disalutkan dengan kononnya nas berlandaskan Al-Quran dan Sunnah yang selalunya pula kekotoran kata-kata ini dilakukan oleh segolongan manusia yang sering mendakwa kononnya peneraju tulen aliran Tajdid dan Islah dengan mengatakan bahawa Ikhwan adalah kelompok yang mempunyai ciri-ciri Khawarij bahkan ada buku yang ditulis mendedahkan keburukan Ikhwan yang diasaskan oleh al-Banna. Kesemua tuduhan dangkal dan fitnah ini dijernihkan oleh seorang ilmuwan besar Islam dalam bidang Hadith dan Sejarah Islam kelahiran India iaitu Maulana Abul Hassan Ali al-Hasany an-Nadawi yang terkenal dengan karyanya Madza khasiral ‘Alam bi Inhithathil Muslimin? (Apakah Derita Yang Akan Dunia Alami Apabila Islam Mundur?) yang mana al-Qaradhawi menitipkan kembali pandangan Maulana an-Nadawi mengenai al-Banna iaitu
“Sesungguhnya Sheikh al-Banna adalah seorang pemimpin rabbani. Beliau bukan sekadar pemimpin yang inginkan sebuah pemerintahan Islam, tetapi sebelum itu, beliau adalah seorang guru, seorang pembangun, seorang murabbi yang ingin membentuk generasi baru Islam yang memiliki pemahaman yang jelas tentang Islam, beriman dengannya, berpegang teguh pada ajarannya, menyampaikannya dan berjihad di jalannya”
Buku ini agak terperinci dalam menceritakan detik-detik yang mencemaskan yang dihadapi oleh Ikhwan bahkan mungkin catatan yang paling sesuai dan adil untuk mengkaji Ikhwan justeru catatan ini ditulis oleh seorang insan yang diakui keilmuwan dan komitmen yang tinggi dalam menegakkan kalimah yang Haqq pada tempat yang tertinggi selain telah mengisi kepustakaan khazanah disiplin Islam kontemporari dengan pelbagai karyanya yang memiliki pengaruh perdana dan turut dikenali antara sarjana Islam yang gigih memperjuangkan konsep fiqh al-waqi’ yang akan membentuk perbezaan dari sudut kefahaman dan amalan dalam kawasan yang berbeza demi mencapai maqasid yang diaturkan oleh Syariah.

Sila dapatkan kebenaran sebelum memetik artikel ini atau mana-mana bahagian dalam artikel ini untuk memelihara ketulenan sekaligus menjauhi salah faham fakta. Kerjasama amatlah dituntut.

Tuesday, February 1, 2011

Kerugian Dunia Karena Kemunduran Umat Islam


Perkembangan yang berlaku di belahan dunia Islam-Arab-Afrika Utara sedikit sebanyak menyebabkan saya  terasa sedikit sesak memikirkan hala tuju sebenar revolusi yang diledakkan. Hampir semua yang sempat saya baca berkecenderungan kepada sokongan terhadap revolusi itu dengan keyakinan bahawa revolusi itu bakal menumbangkan sebuah kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah yang autokratik dan diktator terhadap rakyat dan pemerintahannya. Dan saya sangat setuju dengan objektif revolusi itu.

Ramai yang memulakan pandangan atau pendapat mengenai revolusi ini melalui Tunisia  yang dikenali sebagai Revolusi Jasmine tapi saya memilih untuk memulakan kebangkitan revolusi ini di Lubnan justeru kepimpinan Saad al-Hariri dalam kerajaan perpaduan berjaya ditumbangkan oleh barisan oposisi yang didokongi oleh Hizbullah dan beberapa parti lain termasuk sebuah parti gerakan pembebasan Kristian. Perihal ini ada saya rencanakan dan tersiar dalam Berita Harian pada 27 Januari 2011. Revolusi dalam parlimen ini dianggap cukup memalukan Saad justeru berita tumbangnya kerajaan ini berlaku ketika Saad sedang bertemu dengan Presiden Obama di Washington.

Selepas itulah baru kedengaran suara-suara revolusi di Tunisia yang berjaya menumbangkan Presiden Zine Al-Abidine Ben Ali pada kemuncaknya iaitu pada Jumaat, 14 Januari 2011 sekaligus meletakkan Tunisia dalam keadaan anarki. Revolusi Jasmine yang meledak di Tunisia terus bersambung hingga ke Mesir dan ketika inilah saat paling menggawatkan berlaku. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pendapat ini justeru Lubnan tidak mengalami revolusi rakyat seperti yang berlaku di Tunisia namun sekurang-kurangnya, bagi saya, seakan-akan wujud kesinambungan antara kedua-dua revolusi ini yakni revolusi dalam parlimen Lubnan dan revolusi rakyat di Tunisia yang boleh sama-sama kita bincangkan.

Di Mesir pula, revolusi rakyat meledak dengan desakan agar Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai presiden justeru kegagalan beliau untuk memerintah Mesir dengan baik sejak mulai menjadi presiden iaitu pada 1981 dan Mubarak juga dilihat bakal mengikut jejak langkah Ben Ali yang ditumbangkan rakyat Tunisia. Beberapa negara lain yang berhampiran dikatakan hanya menunggu masa kejatuhan sahaja.

Saya terdiam sejenak melihat gelombang-gelombang revolusi ini yang semakin hari semakin memuncak sehingga menuntut pula seorang pemimpin baru yang lebih berketrampilan untuk mengambil alih negara yang berada dalam keadaan anarki. Figura-figura hebat seperti pemimpin Ikhwanul Muslimin dan anak didiknya  seperti Sheikh Rashid al-Ghannushi di Tunisia dilihat bakal mengisi kekosongan kerusi pemerintahan tersebut. Gelombang revolusi ini juga dikatakan turut menumbangkan kerajaan-kerajaan lain seperti Algeria dan Libya. Cumanya suara-suara Hizb Tahrir yang masih tidak kedengaran untuk mewakili sekelompok manusia yang mahukan Khilafah diangkat semula.

Ketika ini juga teori domino cukup ligat menjadi analisis terhadap perkembangan revolusi di dunia Arab. Teori ini dahulunya pernah diguna-pakai ketika rejim Amerika Syarikat diketuai oleh Presiden Dwight D. Eisenhower. Teori Domino ini yang berkaitan perkembangan aliran komunis di Asia Tenggara yang mana blok domino pertama ialah Vietnam dan jika komunis berjaya di Vietnam maka negara-negara serantau akan turut menerima komunis sebagai fahaman baru mereka.

Disamping itu, pemerintahan rejim Eisenhower turut menyaksikan kebangkitan  Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang menjalankan operasi sulit bagi menggulingkan pemerintah yang menerima ideologi komunis. Paling kritikal ialah jika teori domino ini laku digunakan di dunia Arab maka kewujudan Israel akan senantiasa dalam ancaman dan hal inilah yang meligatkan kuasa-kuasa Barat untuk cuba menghentikannya.

Saya mentelaah kembali buku Kerugian Dunia Karen Kemunduran Umat Islam (atau Apa Ruginya Dunia Bila Umat Islam Mundur) sebagai refleksi kepada keadaan semasa, bukan semata-mata dunia Arab bahkan dunia Islam keseluruhannya. Ternyata penulis, Almarhum Abul Hasan Ali al-Hasany an-Nadwi, telah menggariskan beberapa peringatan penting kepada umat Islam selain beberapa saranan sebagai usaha memulihkan kembali maruah umat Islam yang dianggap sebagai pemegang kunci perbendaharaan dunia dan akhirat, pemegang kunci perbendaharaan bumi dan langit, dan; penegak yang Haqq dan penumbang yang Bathil.

Bahkan an-Nadwi menambah bahawa kaum Muslimin sebagai pemegang kunci risalah para Nabi dan Rasul Allah dan bagi dunia, mereka ini adalah ubat untuk menyembuhkan tubuh kemanusiaan lalu menyatakan bahawa kejatuhan kaum Muslimin atau dunia Islam adalah sebuah tragedi terbesar dalam sejarah peradaban manusia justure ianya adalah kejatuhan risalah agung yang merupakan roh  atau kunci kepada kesejahteraan dan pembangunan lestari kemanusiaan.

Buku ini tidak ditulis untuk mengecam segala kejahatan yang telah musuh-musuh lakukan terhadap diri umat Islam. Tetapi an-Nadwi menulis dan mengkritik kegagalan umat Islam itu sendiri yang keliru untuk memahami kepentingan mereka di atas muka bumi ini. Secara luas dan pembahagian beberapa fasa, An-Nadwi mengajak pembaca untuk menyorot sejenak apa yang telah berlaku kepada batang tubuh umat Islam dengan meletakkan keadaan dunia sebelum kedatangan dan seruan kepada Islam oleh Nabi Muhammad S.A.W, ketika kebangkitan Islam, kemunduran dunia Islam, penjajahan bangsa-bangsa Eropah hinggalah ketika ini, ketika yang menyaksikan umat Islam keadaan inferiority complex yang dahsyat sehingga meletakkan Barat sebagai pengukur segala aspek kehidupan.

An-Nadwi menyebutkan bahawa tiada umat atau bangsa ketika ini yang bersikap lainnya dengan Barat, tiada yang cuba menyaingi kelajuannya, tiada yang menentang pemikirannya bahkan tiada yang mengkritik kehidupan mereka yang bersifat kebendaan baik di Eropah, Amerika, Afrika dan juga Asia. Walaupun begitu, saya menganggap bahawa pandangan ini dikeluarkan lewat penguasaan Barat ke atas dunia Islam satu ketika dahulu dan keadaan semasa boleh dikatakan berlaku sedikit perubahan  dalam beberapa dunia Islam baik dari segi sikap, pemikiran dan gerak kerja.

Fokus yang khusus terhadap kepimpinan dunia Arab oleh an-Nadwi dalam bab akhir selepas kebangkitan Islam seharusnya menjadi buah fikiran terhadap para pejuang Islam dan pendokong keadilan dan kebenaran bahawa mereka menduduki kedudukan yang istimewa dalam panggung sejarah peradaban dunia. Gesaan dan idea-idea yang diberikan oleh an-Nadwi dilihat cukup baik untuk diberi perhatian dan dilaksanakan oleh bangsa Arab.

Walaupun benar, suara-suara kebangkitan Islam masih kukuh kedengaran sejak tahun kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniyyah hinggalah hari ini namun hakikatnya dunia Islam masih jauh untuk meletakkan kembali kedudukan mereka dalam kemuliaan landasan dunia dan akhirat. Penguasaan mereka terhadap ilmu pengetahuan masih boleh dipertikaikan, kesungguhkan membangunkan teknologi persenjataan, perubatan, sistem maklumat, dan sebagainya masih dalam begitu jauh berbanding apa yang telah Barat usahakan sejak sekian lama.

Akhirnya kita melihat dunia Islam masih dalam keadaan memberikan reaksi secara permukaan semata-mata demi merealisasikan perjuangan untuk menegakkan kembali syariat Islam. Revolusi yang meletus hanyalah ekoran kemarahan dan perasaan tidak puas hati yang dialami oleh rakyat yang ditindas dalam negara yang diperintah oleh diktator kuku-besi.

Namun secara jangka masa panjangnya, revolusi tersebut masih dalam kekaburan untuk meyakinkan umat Islam bahawa kebangkitan Islam sedang berlaku. Kerangka bertindak ke arah itu hakikatnya masih dalam petak-petak puzzle yang masih gagal dicantumkan untuk mendapat sebuah gambaran sebenar kebangkitan Islam. Barangkali juga, umat Islam masih kuat dimainkan oleh pesona-pesona yang bersifat populis yang cukup mengagumkan. Revolusi, demonstrasi, kecaman demi kecaman, semuanya begitu cukup menghiburkan berbanding bertindak mengukuhkan tapak, membenamkan cerucuk yang padu supaya sebuah bangunan yang terbina atas tapak itu lebih kuat.

Barangkali saya berpendapat bahawa revolusi ini hanya bersifat jangka masa-pendek, yang sesuai hanya untuk menumbangkan pemerintahan rejim diktator-diktator Arab namun secara jangka masa panjangnya, pendokong gerakan Islam harus pantas memainkan peranan bagi memurnikan kembali revolusi rakyat yang tercalar dengan insiden rompakan dan kecurian ini ke arah yang lebih meyakinkan dan bersifat rekonstrukif (runtuhkan dan bina semula). Namun persoalannya, bersediakah para pendokong gerakan Islam untuk memikul tanggungjawab yang maha kompleks ini?


Sila dapatkan kebenaran sebelum memetik artikel ini atau mana-mana bahagian dalam artikel ini untuk memelihara ketulenan sekaligus menjauhi salah faham fakta. Kerjasama amatlah dituntut.

Saturday, January 29, 2011

Al-Ghazzali: Arkitek Ulung Pembangunan Ketamadunan Dunia Islam

Dibaca ketika tahun pertama di UUM
Berbicara mengenai sosok Abu Hamid bin Muhammad Ghazzali (450H-505H), bererti kita sedang berbicara tentang sebuah ketamadunan, sebuah kebangkitan dan sebuah wajah baru umat Islam yang telah ditajdidkan dan diislahkan baik dari segi pemikiran, kefahaman dan dasar perjuangan bagi menegakkan kalimah yang Haqq di atas muka bumi ini.

Beliau, al-Ghazzali, tidak semata-mata sebagai seorang ulama yang mengisi zaman untuk membangkitkan umat, tidak juga seorang pengarang yang tulisannya mengisi khazanah keilmuan umat sedari dulu hingga hari ini bahkan Al-Ghazzali adalah arkitek, reformis, mujaddid, mujtahid untuk sebuah zaman baru yang lebih dinamik, segar dan bersemangat jiwa dan pemikiran para pendokongnya.

Seorang arkitek pembangunan ketamadunan yang kesegaran pemikirannya melampaui zaman sehingga memampukan seorang pemimpin umat, Sultan yang mulia, Salahuddin al-Ayyubi memimpin umat untuk merampas kembali Jerusalem ke pangkuan umat Islam sekali gus mendatangkan kesejahteraan kepada seluruh muka bumi Allah Ta’ala ini.

Anehnya, Al-Ghazzali yang boleh sahaja dikelompokkan sebagai seorang negarawan, tidak pula memilih jalur politik tampuk kekuasaan bagi menyebarkan idealismenya untuk kesejahteraan umat, beliau juga tidak memilih kedudukan dalam ketenteraan yang ketika itu dilihat sebagai sebuah tampuk paling strategis duduknya demi mengangkat namanya untuk dikagumi para sekutu dan seterunya.

Sebaliknya al-Ghazzali terus mendiami sebuah wilayah kecil dalam hidupnya dan berusaha keras dan hikmah untuk menguraikan segala simpulan yang mengikat mati daya juang umat Islam dan memecahkan tembok untuk umat Islam supaya mereka ketahui bahawa jalan perjuangan masih luas lapangannya berbanding dari terus bertelingkah dalam sekitar tembok yang menyempitkan.

Tembok fiqh dan tasawwuf yang memisahkan kedua-dua kelompok ini juga berjaya dipecahkan oleh al-Ghazzali dengan memurnikan dan membina nilai integrasi antara kedua-duanya untuk sama-sama bergabung demi kesejahteraan umat. Gejala fanatik terhadap mazhab dan kegemaran kepada mempertikaikan mazhab-mazhab lain, jiwa kesufian yang melemahkan jiwa, menggalakkan khurafat dan bid’ah, marabahaya fahaman Batiniyyah yang menyesatkan, kesongsangan dan bahaya falsafah yang melata sekitar kehidupan ilmuwan Islam ketika itu. Semua gejala dan pola pemikiran inilah yang telah dihadapi seorang diri oleh al-Ghazzali dalam misinya menyelamatkan aqidah dan akhlak umat Islam.

Ada mulut lancang dan busuk yang selalu mencuba-cuba merendahkan martabat al-Ghazzali. Mulut yang selalu melancang dengan mengatakan bahawa al-Ghazzali penyebab kemunduran umat Islam, peruntuh ketamadunan Islam walhal para penentangnya yang gagal melawan hujah keras dan tepat al-Ghazzali, pembawa jiwa kesufian yang melemahkan fikiran sehingga ada kelancangan yang mengutuk sikap al-Ghazzali yang tidak menyertai peperangan menentang tentera Monggol kerana terus-menerus asyik dengan jiwa kesufiannya di menara masjid Damsyik bahkan mengatakan al-Ghazzali menolak konsep jihad justeru tiada dalam karangan Ihya’ yang membahaskan persoalan jihad apatah lagi ketika hidup al-Ghazzali, peperangan dengan tentera Salib dan penyerangan oleh Monggollah yang paling kerap berlaku dan oleh itu wajarnya konsep jihad segera diisi dan dibahas oleh al-Ghazzali –satu ketika yang benar-benar mengheret al-Ghazzali ke kancah perbicaraan sejarah kerana mengabaikan keperluan berjihad ketika itu.

Paling memalukan bila ada yang mengatakan al-Ghazzali penyebar hadith-hadith palsu dalam karangan kitabnya seperti yang terlakar dalam Ihya’ Ulumuddin walhal telah dikhabarkan bahawa ketika saat kewafatannya, al-Ghazzali asyik menelaah kitab Hadith Sahih Bukhari dan kitab ini dipeluk atas dadanya sehingga terdapat pendapat yang mengatakan bahawa jika panjang umur al-Ghazzali pasti beliau akan mewarisi jalur kefahaman dan kecenderungan Salafi.

Bagi kelompok yang gemar mempertentangkan antara Al-Ghazzali dan Ibn Taymiyyah pasti akan termalu justeru Ibn Taymiyyah (yang memanggil al-Ghazzali dengan nama Abu Hamid) sendiri begitu tangkas membersihkan al-Ghazzali dari dikotorkan oleh tangan-tangan jahat yang berusaha merendahkan martabat al-Ghazzali.

Al-Ghazzali tidak hanya pengarang kitab yang hidupnya jauh dari realiti umat semasa bahkan karangan kitabnya hasil koreksi dirinya ketika menanggapi masalah umat. Tatkala bashirahnya mengalami pemurnian dan kejernihan, beliau menulis al-Munqidh min adh-Dhalalal. Al-Ghazzali dalam kitab ini menulis sekalian pengalaman pemikirannya disamping kecenderungan pemikiran dan pendidikan ketika itu. Perjalanan kesufian ini berubah kepada mengikat jiwanya dengan Sunnah ketika akhir hidupnya seperti yang telah dijelaskan di atas.

Al-Ghazzali sebenarnya seorang rekonstruktor ketamadunan Islam dan bukan seorang dekonstruktor seperti yang disebut lancang oleh musuh-musuhnya tetapi Al-Ghazzali meruntuh lalu membina dan bukan meruntuh dan membiarkan begitu sahaja. Buktinya, selepas kewafatannya, karangan kitabnya menjadi silibus pendidikan disekalian banyak madrasah umat Islam sehingga memampukan madrasah ini menghasilkan generasi Nuruddin dan Salahuddin yang akhirnya mampu menghadapi semua tentera Salib, dan mengembalikan kota al-Quds ke pangkuan Islam.

Pemikiran dan pengajaran yang al-Ghazzali susun dan aturkan memampukan umat Islam kembali memahami erti toleransi dan keluasan fiqh dan kesufian Islam. Pemikiran para ilmuwan Islam yang dirosakkan oleh segala jenis falsafah yang menggugat aqidah berjaya dibenamkan sedalam-dalamnya oleh al-Ghazzali sehingga tiada yang mampu menjawab segala hujah yang dilemparkan dan benar, dunia Islam ketika itu membisu dek kerana terhujat oleh ketegasan hujah Al-Ghazzali namun kemudian dipulihkan kembali semangat berfikir dan berijtihad oleh ilmuwan Islam justeru pemurnian  yang dilakukan oleh al-Ghazzali melalui kitab Ihya’ Ulumiddin sehingga ada yang berpendapat bahawa sekiranya al-Quran dan Hadith hilang dari dunia Islam ternyata, amat mencukupi bagi umat Islam berpaut dengan Ihya’ Ulumiddin.

Ternyata, buku ini, yang dikarang oleh Dr Majid Irsan Kilani cukup membuka ufuk pemikiran umat semasa dalam menghadapi segala bentuk kebejatan yang dialami umat dengan menteladani gerak kerja dan gerak daya yang telah dilakukan oleh al-Ghazzali dalam memaknai perjuangan Islam di muka bumi ini.

Saranan kepada para ahli gerakan Islam sedunia ialah mari mentelaah buku ini dengan rakus dan sungguh-sungguh untuk memahami bentuk gerakan Islam dan keilmuwan yang telah dijana oleh al-Ghazzali dan bukan hanya masih berkisar dengan karangan-karangan para murabbi Ikhwanul Muslimin. Sesungguhnya integrasi antara pemikiran Al-Ghazzali dan Ikhwanul Muslimin atau apa juga perjuangan yang digariskan oleh gerakan Islam sedunia perlu dirancakkan oleh para pendokong Islam dan kebenaran jika mahu dunia Islam kembali memayungi serata alam.

Sila dapatkan kebenaran sebelum memetik artikel ini dan mana-mana bahagian dalam artikel ini untuk memelihara ketulenan sekaligus menjauhi salah faham. Kerjasama amatlah dituntut.

Tuesday, January 25, 2011

Di Balik Malaysia.


Analisis isu semasa yang disorot menggunakan cahaya sejarah cukup mengagumkan

Ada satu sudut pandang yang sangat kritikal yang tidak harus diabaikan untuk generasi muda Malaysia. Sudut pandang yang bakal meletakkan ke mana harus dipacu masa depan untuk Malaysia baru  dengan nilai  yang lebih harmoni, toleran dan mungkin liberal mengikut kerangka masyarakatnya yang plural dari sudut agama, bahasa dan bangsa. Sudut pandang ini pula harus diolah dengan kita kembali menyorot dengan kritikal apa yang sudah berlaku dalam sosio-politik negara pada abad yang lalu. Jika demikian yang mahu kita lakukan maka naskah Farish A. Noor ini antara yang terbaik untuk ditelaah bagi membina sebuah pandangan baru untuk Malaysia yang lebih maju dengan kerangka yang lokal.

Sosok pemikir Liberal untuk Malaysia Baru
Farish, seorang sejarawan dan aktivis sosial, berhujah dengan cukup tepat bagi menjawab persoalan semasa dimana hujahnya adalah menurut apa yang pernah berlaku di tanah air ini satu ketika dahulu. Cerminan sejarah yang berbeda dengan hakikat masa kini seakan-akan menunjukkan kepada kita satu bentuk hipokrasi yang sedang memakan sejumlah besar pemikiran anak bangsa kita terutama pada sisi politik dan agenda perjuangan Islam sebagai matlamat terbesar.

Beberapa sisi penting yang dihujat oleh Farish dengan cukup tajam ialah sisi tindakan moral yang diatasnamakan sebagai seruan Islam, kemunafikan pejuang ultra-Melayu dan negara, isu-isu sensitif seperti isu agama, bangsa dan pendidikan. Dan sebenarnya semua analisis dan hujatan yang Farish kemukakan adalah sebagai sebuah proses menganjak paradigma pembaca khususnya dan rakyat Malaysia yang plural agama dan bangsanya untuk sanggup duduk semeja dan berbincang tentang keperluan sebuah Malaysia yang Baru.

Farish dalam tulisannya tidak mencipta sebuah slogan yang baru yang penuh dengan idealisme yang utopia tetapi cuba meletakkan sebuah Malaysia yang baru itu mengikut kerangka sejarah yang lebih jujur dan terbuka yakni dengan meletakkan keperluan sebuah Malaysia yang universal atau sejagat sifatnya yang mana boleh dikongsi nilainya dengan banyak pihak tanpa wujud perasaan skeptikal dan saling curiga mencurigai atau ringkasnya Farish mengajak kita untuk saling berinteraksi dengan sejarah lampau demi mengukuhkan pembangunan dan kemajmukan bangsa di Malaysia.

Kegarangannya melanyak watak Hang Tuah sebenarnya sebuah suara sinis terhadap kemunafikan pemimpin ultra-Melayu yang hanya pintar menggunakan Hang Tuah demi membakar semangat perjuangan orang Melayu namun diabaikan pula fasa kedua dalam kehidupan Hang Tuah yang akhirnya berkelana mencari makna diri dan kebenaran dan mula memasuki wilayah kesufian yang sangat berbeza bentuknya ketika dia menjadi pahlawan ulung Melaka. Hal ini seakan-akan sebuah pujukan yang penuh rayuan namun ilmiah oleh Farish agar pemimpin yang benar-benar mahu berjuang harus kembali mendudukkan diri sejenak untuk koreksi diri dan apa yang sudah jadi dengan nasib bangsa Melayu ketika mereka memerintah Malaysia sedari lima dekad yang lalu.

Hang Tuah yang memasuki wilayah kesufian sejurus berjaya menundukkan Hang Jebat, saudara seperjuangannya sekaligus menampilkan keutuhan nilai Melayu dan Islam dalam dirinya. Tentulah hal ini sengaja dilupakan oleh pelaung lantang slogan keramat Hang Tuah yakni "Takkan Melayu Hilang di Dunia"  sambil menikam-nikam keris ke langit justeru setelah puas menundukkan seteru politik jarang-jarang suara-suara keinsafan ditebarkan melainkan hanya wujud suara yang penuh keangkuhan dan kesombongan sambil disusuli pengakuan keji bahawa perjuangan ini sudah berada di landasan yang benar dan Allah berada di pihak mereka. Anehnya keris yang sebenarnya adalah simbol yang universal  justeru punyai leluhur dengan falsafah Tantarisme, Hinduisme, Buddhisme dan Islam sudah dirosakkan oleh pemimpin seperti ini dengan mendakwa keris hanyalah warisan kebudayaan Melayu turun-temurun.
Karya yang sedang 'menggugat' pemikiran PAS semasa.
Satu hal yang penting dan punyai signifikan kepada PAS sebagai gerakan peneraju sebuah Malaysia Baru ialah saranan Farish supaya sosok tubuh dan pemikiran Dr Burhanuddin al-Helmy perlu selalu ditelaah semula justeru Dr Burhanuddin memiliki segala ciri seorang pemimpin terulung baik sebagai seorang pemimpin gerakan Islam ataupun pemimpin bangsa Melayu. Pemikirannya yang futuristik namun berpijak dengan bumi nyata ternyata bukan seorang yang harus dianggap sejarah dalam pembangunan PAS semata-mata bahkan penghormatan yang lebih besar perlu diberikan kepadanya dengan menampilkan idea dan pemikirannya untuk menerjah cabaran baru dalam suasana politik dan sosial semasa di Malaysia. Dr Burhanuddin bercakap soal kewajipan memperjuangkan Islam tanpa melupakan keperluan semangat nasionalisme yang tulen yang harus diacu berdasarkan pemikiran Islam semasa. Saya melihat bahawa saranan ini begitu tepat dengan apa yang sedang dilakukan oleh Dr Mujahid Yusof Rawa dalam bukunya Menuju PAS Baru.

Sudah tentu, dalam beberapa sudut, saya melihat ada kecenderungan aliran Pluralisme Agama  yang saya tolak dalam tulisan beliau contohnya tatkala memperihalkan hubungan Islam dan Hindu ketika zaman kesultanan Melayu Melaka dahulu. Walaupun begitu hal ini begitu luas ruangnya untuk kita saling berbincang demi meraikan kewujudan dan sumbangan mereka yang bukan seaqidah dengan kita dalam membangunkan Malaysia. Farish berjaya dalam buku ini menampilkan sebuah titik perbezaan yang ketara antara fantasi seorang ahli politik dan hakikat sebenar sebuah Malaysia.

Monday, January 24, 2011

Permata Pengislahan Perundangan Islam

Bila dibaca keseluruhan biografi Permata Pengislahan Perundangan Islam yakni sebuah biografi tentang Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Ahmad Mohamed Ibrahim, ternyata projek untuk menyiapkan sebuah biografi bukanlah satu tugas yang mudah. Lihat sahaja berapa ramai individu dan tokoh-tokoh yang perlu untuk pasukan projek biografi ini perlu temui dan berapa negara perlu ditempuh untuk mendapatkan dokumen-dokumen penting bagi melengkapkan penulisan biografi ini.

Saya membayangkan kesukaran yang bukan alang kepalang namun pastilah mereka berpuas hati justeru ada antaranya bukan sahaja begitu mengenali Prof Ahmad bahkan juga merupakan dari kalangan mereka yang pernah bekerjasama samada sebagai anak didik Prof Ahmad seperti Abdul Monir Bin Yaacob, Mahamad Bin Arifin dan Najibah Bt Mohd Zin, selain pernah menjadi kaki tangan Prof Ahmad dan mendapat kepercayaan juga mempunyai pengalaman peribadi bersama Prof Ahmad. Selain itu, kekuatan biografi ini juga terletak pada garapannya yang berdasarkan kepada sumber primer justeru bahan-bahan ini ada yang diambil dari perpustakaan di tempat Prof Ahmad belajar.

Biografi ini memuatkan pengkisahan tentang apa juga yang berkaitan dengan Prof Ahmad walaupun begitu dalam ulasan ini ada baiknya untuk kita hanya memfokuskan kepada bidang kerjaya dan akademi beliau selain sumbangan yang telah beliau semaikan demi memartabatkan kembali perundangan Islam di Singapura dan Malaysia khususnya. Bahkan antara kemuncak kepada cita-cita beliau dalam bidang perundangan ialah untuk meletakkan perundangan Islam dalam sistem kehakiman yang bersifat sekular.

Sebenarnya, penulisan berkaitan sumbangan dan jasa yang dicurahkan oleh Prof Ahmad dalam bidang perundangan bukanlah baru. Sebelum ini, Hooker (1986) menyifatkan Prof Ahmad sebagai pegawai am, ahli akademi dan pentadbir serta menjadi perintis dalam penyelidikan dan penerbitan sebagai sesuatu yang luar biasa pada ketika itu. Keupayaannya menjadi pengantara Malaysia dan Singapura dalam penggubalan undang-undang adalah sebuah pencapaian yang besar. Hooker turut menyentuh tentang keupayaan Prof Ahmad dalam mengintegrasikan undang-undang Islam dan Sekular sehingga lahirnya Universiti Malaya.

Al-Mansor Adabi yang menulis tentang “Ahmad Ibrahim in The Service of Islam” menyatakan betapa tertariknya Prof Ahmad untuk memperjuangkan undang-undang Islam dan beliau juga turut bertanggungjawab dalam menggubal undang-undang Islam dan penubuhan Mahkamah Syariah di Singapura.

Dalam ketika yang sama, Prof Ahmad juga turut berperanan memartabatkan undang-undang Islam dengan menaikkan taraf pegawai dan kakitangannya bagi memperbaiki mutu dan pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia.

Tokoh yang lahir pada 15 Mei 1916 di Singapura dan menghembuskan nafas terakhirnya pada 17 April 1999 sememangnya individu yang tidak perlu dipertikaikan keunggulannya dalam bidang perundangan. Kepakaran Prof Ahmad dalam bidang penulisan perundangan juga turut melayakkan beliau menerima pelbagai anugerah sebagai jasa beliau yang mengintegrasikan tiga cabang perundangan yang berbeza iaitu Islam, common law dan undang-undang adat.

Allahyarham Tan Sri Harun Hashim ketika menceritakan pengalaman peribadinya dengan Prof Ahmad menyifatkan Prof Ahmad sebagai ‘Allah’s chosen servant’ justeru melihatkan kepada kesungguhan beliau menaiktarafkan mahkamah Syariah di Malaysia. Hal ini dilihat begitu tepat justeru Prof Ahmad pernah terlibat dengan pelbagai kajian perundangan Islam di negeri-negeri Malaysia. Contohnya, dalam kajian perundangan Mahkamah Syariah Kelantan sekitar tahun 1980-an, Prof Ahmad terlibat dalam empat pendrafan undang-undang termasuklah enakmen negeri. Draf ini yang perlu disediakan dalam dua versi bahasa sebagai memenuhi syarat untuk dibahaskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri sebelum diluluskan dan ketika itu masa pula sangat suntuk untuk penterjemahan sebelum dapat diwartakan pada tahun 1983, maka enasihat Undang-undang pada masa itu, Dato’ Hamid Muhammad telah menghubungi Prof Ahmad untuk menyatakan permasalahan yang mereka hadapi dan dengan mudah pula Prof Ahmad menyatakan kesanggupannya sehingga membolehkan terjemahan draf tersebut berjaya dilakukan pada tempoh yang ditetapkan.

Pada tahun 1960, Prof Ahmad dianugerahi Pingat Jasa Gemilang oleh kerajaan Singapura. Kemudian, tahun 1963 pula dianugerahi Pingat Malaysia oleh kerajaan Malaysia. Pada 5 Jun 1965 pula beliau melakar terus sejarah apabila dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang oleh Universiti Singapura justeru sumbangannya dalam bidang perundangan terutama undang-undang Buruh. Jasanya kepada Universiti Malaya melayakkan beliau dianguerahkan bintang Johan Mangku Negara oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agung pada tahun 1975. Anugerah Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara yang diberikan oleh Gabenor Pulau Pinang pada tahun 1979 membawa Prof Ahmad kepada gelaran ‘Datuk’. Pada tahun yang sama, beliau dianuerahkan Allama Muhammad Iqbal Medal oleh kerajaan Pakistan atas sumbangan beliau kepada dunia Islam dalam bidang perundangan. Sekali lagi, atas sumbangan beliau kepada Universiti Malaya dan perkembangan perundangan Islam di Malaysia membolehkan beliau dianugerahi gelaran Profesor Emeritus pada 25 Ogos 1984 dan pada Jun 1987, DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agung telah menganugerahkan beliau bintang Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’. Manakala majalah al-Qiblah pada Oktober 1988 merakamkan ketokohan Prof Ahmad sebagai meraikan penganugerahan yang beliau terima sebagai Tokoh Maal Hijrah bagi tahun 1409H dengan mengiktiraf Prof Ahmad sebagai pakar perundangan sejagat dan sukar ditandingi pada dekad tersebut dan pada tahun 1997, Prof Ahmad menerima Anugerah Tun Abdul Razak. Sesungguhnya segala jasa dan pingat yang Prof Ahmad peroleh bukanlah sesuatu yang harus dibanggakan dengan luas justeru sumbangan beliau dalam memartabatkan perundangan dan mahkamah Syariahlah yang seharusnya terus diperjuangkan oleh generasi dan anak didiknya sebagai bukti kasih dan cinta mereka kepada Sang Guru Teragung ini.

Segala kekuatan keilmuwan yang direguk oleh beliau disamping kegencarannya memperjuangkan perundangan Islam sememangnya sudah terasuh sedari kecil lagi. Lahir dalam golongan yang warak dan berpendidikan dilihat membantu Prof Ahmad untuk memiliki sebuah pesona yang memukau dan kredibilitnya dihormati hingga kini. Zuriat kedua hasil perkongsian hidup Mohamed Ibrahim Sheikh Ismail dan Hamidah Sheikh Baboo ini mendapat pendidikan awalnya di St Anthony Boy’s School di Singapura. Kemudian menyambung pelajaran ke Sekolah Victoria Bridge dan terus ke Raffles Institutions. Disinilah beliau menduduki peperiksaan Junior Cambridge ketika berumur 13 tahun dan setahun kemudian pula berjaya dengan Kepujian dalam peperiksaan Senior Cambridge pada umur yang masih muda. Kecemerlangan beliau dalam akademi menyebabkan beliau dicalon sebagai penerima biasiswa Queen. Ketika berusia 20 tahun, beliau berjaya menempatkan dirinya ke St John’s College, Universiti Cambridge pada Oktober 1936 dan seterusnya menerima latihan guaman di Middle Temple untuk melayakkannya menjadi peguam (call to the bar).

Satu sisi lain yang perlu diberi perhatian ialah Prof Ahmad sangat berkepakaran dalam bidang penulisan. Hal ini terbukti apabila beliau pernah menjadi penyunting majalah sekolah iaitu ‘The Rafflesian’. Prof Ahmad juga pernah mengarang buku pertamanya yang berjudul Dua Simpang Jalan yang pernah diterbitkan oleh K.B. Press di Singapura pada November 1948. Buku ini yang dilihat sebagai ulasan kepada buku Muhammad Asad, Islam at The Crossroad, mempamerkan keutuhan Prof Ahmad dalam memelihara akal budi dan akhlak sebagai orang Melayu dan Islam di samping gesaan beliau agar bangsa dan umat Islam memelihara tatacara hidup yang diterapkan oleh Islam dan jauhi segala budaya buruk yang disebarkan oleh Barat. Hal ini tentulah sesuatu yang sangat menakjubkan justeru Prof Ahmad sendiri merupakan seorang lulusan Universiti Cambridge dan diiktiraf sebagai anak Melayu yang pertama menjadi peguam. Namun begitu, hasil pendidikan yang suci dan tulen telah membolehkan Prof Ahmad memelihara dirinya dari terjebak dengan kebudayaan Barat yang sangat asing nilainya dengan kebudayaan Melayu dan Islam. Pada 1949 pula, terbitlah sebuah lagi buku beliau yang berjudul Universiti di Malaya sebagai sebuah manifestasi kepada konflik kepada keperluan penubuhan universiti di Malaya pada ketika itu yang tidak sebulat suara bersetuju akan penubuhannya ekoran kebimbangan dari aspek kewangan dan kemampuan anak bangsa Melayu ketika itu.

Sememangnya untuk memperkatakan tentang Prof Ahmad Ibrahim memerlukan sebuah diskusi yang panjang justeru melihatkan kepada sumbangannya yang terlalu besar kepada aspek perundangan negara ini khususnya dalam aspek mengupayakan perundangan dan mahkamah syariah setanding dengan mahkamah sivil di Malaysia.

Saturday, January 22, 2011

Cinta di Langit Ghazza

Sebuah catatan yang harus diambil serius oleh para aktivis kemanusiaan apatah lagi oleh ahli gerakan Islam.

Sejujurnya, berbanding buku-buku ustaz Riduan Mohamad Nor yang lain,  saya lebih menggemari catatan travelog beliau yang ini, iaitu ketika beliau terlibat dalam misi kemanusiaan bersama NGO Muslim Care yang menjelajah seluruh pelusuk dunia demi menyampaikan rasa cinta dan kasih sayangnya antara sesama Muslim dan sesama manusia melalui penyampaian bantuan ubat-ubatan, makanan dan minuman dan lebih penting lagi ialah meyakinkan hati dan jiwa mangsa keadaan dunia dan alam tersebut bahawa sesungguhnya mereka tidak akan dibiarkan bersendirian menanggung derita ujian dunia ini bahkan terdapat sejumlah manusia yang menghambakan diri kepada Allah Ta'ala masih sudi untuk berkongsi rasa dan keperitan tersebut.

Cinta di Langit Ghazza adalah maudu' kepada catatan ustaz Riduan. Barangkali jika dibaca sekali lalu, ternyata bahawa ustaz bukan semata-mata berkongsi kisah tentang Ghazza bahkan turut melingkari catatan ini ialah pengembaraan kemanusiaan beliau ke wilayah perbukitan Pakistan dan Kashmir, kemelaratan dan pengasingan di Cambodia, bencana tsunami di Acheh dan Jawa Barat, gempa yang melanda Yogyakarta, meladeni para pelarian di Lebanon, berkongsi sedikit kelebihan rezeki kurniaan Allah dengan umat Islam di Bangladesh melalui program Qurban hinggalah menyertai demonstrasi di sebuah negara sekular, Britain  sebagai tunjuk rasa membantah kekejaman Zionis-Israel terhadap penduduk Palestin. Namun, jika diteliti dengan lebih mendalam, ternyata bahawa Ghazza menjadi kemuncak kepada segala misi kemanusiaan yang ditelusuri oleh ustaz seperti katanya dalam buku ini 
"Melepasi garisan Ghazza yang terbakar dan musnah adalah kemuncak kepada perjalanan hidup saya, kehadiran di bumi Isra' itu sangat meruntun jiwa dan meninggalkan kesan yang sangat mendalam."
 Jika mahu berceloteh tentang kerosakan bandar-bandar di Palestin, maka itu semua boleh kita bandingkan dengan apa yang pernah berlaku dalam peperangan dunia satu ketika dahulu. Jika mahu bercakap tentang angka kematian akibat kebangsatan sikap gemarkan pembunuhan oleh bangsa Yahudi-Israel disamping perlindungan syaitan yang diberikan oleh Amerika Syarikat dan para sekutunya, maka itu semua juga turut berlaku kepada banyak bangsa dan negara yang berada di belahan dunia yang lain. 

Jika semua penderitaan, kesukaran, penindasan, peperangan dan pembunuhan yang saban hari berlaku di Palestin, jika itu yang menjadi punca untuk kita berasa kita patut membantah kekejamanan ekoran peperangan maka sebenarnya kita tidak silap tetapi hakikatnya kita tidak faham jika itu sahaja alasan kita, sesungguhnya bumi yang sedang dijarah dengan rakus dan laknatnya oleh bangsa hinaan Allah ini adalah bumi Isra', bumi yang menjadi saksi peristiwa Isra' wa Mi'raj tubuh batang mulia junjungan besar, Nabi Muhammad S.A.W, bumi yang senantiasa menjadi rebutan sejak zaman berzaman bahkan terdapat sarjana yang meyakinkan seluruh dunia bahawa  Al-Quds adalah kunci kepada keamanan dunia, Al-Quds menjadi kunci untuk membuktikan siapakah yang sedang memerintah dunia pada ketika itu, telusuri sahajalah sejarah Al-Quds ini yang menjadi rebutan. 

Ketika Islam yang memegang Al-Quds, ketika itu jugalah Islam menjadi pemimpin hampir seluruh pelusuk dunia dan ketika ini, ketika Al-Quds berada di bawah cengkaman rejim dajjal Zionis-Israel, ternyata bangsa inilah yang sedang memerintah dunia dengan hanya meletakkan proksi bagi mencapai matlamat sebenar Zionis. 

Sebetulnya, inilah yang menjadi alasan bagi aktivis Muslim yang selalu bercita-cita untuk membebaskan Al-Quds, menyirami kembali Al-Quds dengan keberkatan firman-firman Allah, memacakkan kembali kegemilangannya dengan keutuhan persaudaraan Islam dan seterusnya menjanjikan keamanan untuk seluruh dunia.

Dalam catatan ini, ustaz turut mengkisahkan tentang para pejuang Palestin yang sangat gencar dalam melindungi hak dan kebebasan bagi rakyat Palestin. Nama-nama seperti  as-Syahid Sheikh Ahmad Yassin, pengasas gerakan HAMAS, Sheikh Mahmud Siyyam, mantan iman Masjidil Aqsa, as-Syahid Dr Abdullah Azzam, Dr Azzam Tamimi dan entah ribuan lagi yang telah sanggup mengucurkan darah dan mengorbankan nyawa demi kebebasan dari sebuah kekejaman terancang. 

Catatan tulus ini juga sering mengingatkan saya sendiri sebagai penggemar kepada gerak kerja gerakan Islam supaya menikmati erti sebenar apa yang disebutkan sebagai Ukhuwwah Islamiyyah yang mana aqidah sebagai teras hubungan ini. Siri misi kemanusiaan ustaz sering membawa pembaca kepada aneka ragam manusia yang bakal kita temui dan santuni sebagai proses merapatkan silaturrahim antara sesama saudara seIslam dan semanusia. 

Pengalaman merentas pelbagai belahan negara sering menemukan kita dengan peluang untuk mengukuhkan lagi kesepaduan dan semangat antara gerakan Islam yang berbeza, pendekatan yang berbeza, pemikiran yang berbeza namun semuanya diikat pada satu matlamat yang sama iaitu mendaulatkan Islam dengan setinggi-tingginya.

Dunia Sama Rata



Saya membeli buku ini ketika saya sedang berkhidmat dengan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Pulau Pinang. NGO kalau di Indonesia disebut sebagai Ormas iaitu Organisasi Massa. Pentingnya untuk saya tekankan buku ini dengan ketika penglibatan saya dengan NGO ialah ketika inilah sudah bermulanya semangat aktivisme dalam hidup saya sekali gus menuntut saya untuk senantiasa melihat sesuatu fenomena dan perubahan dunia dengan sebuah pandangan yang cukup kritikal hinggakan tidak sedikit mereka yang mual dengan pandangan saya mengenai sesuatu isu.

Saya agak pasti, jika saya masih menuntut di universiti tanpa melibatkan diri dengan NGO maka, isu globalisasi seperti mana tema dalam buku ini, akan menjadi isu yang sangat meminggir dalam kehidupan saya. Justeru saya sudah sedikit terbiasa membaca pandangan kritikal oleh NGO seperti Third World Network (TWN), Citizen International (CI) dan sebagainya tentang kerakusan kumpulan negara Utara yang senantiasa menunjukkan kelicikan dan kerakusan mereka sebagai pemain yang membidak-bidak buah catur dunia mengikut selera rakus ekonomi dan ketamakan hegemoni empayar mereka maka ada keperluan yang mendesak juga untuk saya telaah buku ini yang mana penulisnya merupakan seorang yang pro-globalisasi.

Apatah lagi saya merupakan graduan dalam bidang Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa di Universiti Utara Malaysia, maka bercakap dan berbincang tentang Globalisasi adalah sangat relevan untuk saya fahami dengan mendalam.

Buku ini, Dunia Sama Rata: Sejarah Ringkas Dunia Global Abad ke-12, meletakkan tiga aspek untuk diteliti iaitu globalisasi dibahagikan dan diistilahkan kepada tiga iaitu Globalisasi 1.0, Globalisasi 2.0 dan Globalisasi 3.0. Di mana Thomas L. Friedman, penulis buku ini, meletakkan Globalisasi 1.0 adalah keadaan di mana negara dan kerajaan merupakan watak/aktor utama, manakala Globalisasi 2.0 pula keadaan di mana syarikat multinasional (MNC) memimpin dan memandu negara kepada sebuah integrasi global; dan Globalisasi 3.0 adalah keadaan ketika kemudahan teknologi perhubungan yang didokong oleh rangkaian produk antara komputer peribadi dan kable mikro gentian optik dengan pembangunan perisian aliran kerja (workflow software) yang memungkinkan sebuah revolusi baru yang dipanggil Revolusi Maklumat akan tercetus.

Selain itu, 10 mekanisme atau apa yang disebut oleh Friedman sebagai 10 perata yang membantu dunia ini menjadi sama rata namun sudah pasti bukan sama adil. 10 perata tersebut ialah 9 November 1989 yang menyaksikan keruntuhan Tembok Berlin sekali gus garis penamat kepada sebuah perang dingin, 9 Ogos 1995 yang memperlihatkan Netscape menjadi alat pencarian maklumat masyarakat dunia, Perisian Aliran Kerja (Workflow Software), Penyumberan Terbuka (Open Source), Penyumberan Luar (Outsourcing), Penyumberan Luar Pesisir (Offshoring), Rantaian Bekalan (Supply-chaining), Penyumberan Dalam (Insourcing), Pemakluman Dalaman (In-forming) dan Steroid (The Steroids).

Akhir sekali Friedman menekankan sekumpulan komponen yang saling bergantungan antara sesamanya iaitu “penyepaduan tiga serangkai” sebagai mekanisme tambahan yang membantu 10 perata mencapai dunia baharu yang lebih rata. Tajuk buku ini sendiri –Dunia Sama Rata- sudah menjadi metafora kepada sebuah keadaan di mana dunia menjadi satu persaingan dan peluang yang terbuka untuk semua dan semua aktor pula layak untuk membentuk kehendak kemajuan mereka.

Friedman dalam buku ini berfikir tentang sebuah dunia yang rata bukan dari negara Utara yang sedia maklum sebagai sebuah empayar yang memiliki kekayaan ekonomi, kecanggihan teknologi, kestabilan politik dan kebebasan dalam sosio-politik masyarakatnya tetapi Friedman mendapat ilham mengenai sebuah dunia yang rata ketika dia berada di India, sebuah negara yang mundur dahulunya tetapi kini memiliki keupayaan untuk menjadi sebuah Amerika ‘baru’, sebuah negara yang sedang terbina di dalamnya sebuah kebudayaan dan gaya hidup yang baru dan sangat berbeza dengan kebudayaan asal negara tersebut. Dan perubahan ini berlaku kerana jasa teknologi perhubungan yang semakin canggih hingga membolehkan seseorang itu berhubung dengan sesiapa sahaja pada bila-bila masa.

Simbol-simbol gaya hidup moden, bebas dan mewah yang dahulunya jarang-jarang ditemui, kini hampir segala-galanya wujud di India. Bayangkan sahaja ini yang dilihat oleh Friedman ketika dia berada di tengah padang golf, hampir segala produk Barat melingkari sekelilingnya. Dari peralatan golf hinggalah kepada pakaian,  segala-galanya produk dunia melingkari dia ketika itu, dan ajaibnya, hal itu berlaku ketika dia berada di Bangalore, India yang disebutkan juga sebagai Lembah Silikon India.

Saya sendiri ketika membaca tajuk ini terus terbayang sebuah perbincangan antara saya dan pensyarah ketika dalam kuliah Politik Ekonomi Negara Maju dan Membangun. Pensyarah saya ketika itu menghuraikan mengenai Dialektik Materialisme yang merupakan tesis dan antesis yang berlarutan sehinggalah memunculkan sebuah dunia tanpa sempadan dan kedaulatan negara. Ketika itu, ujar pensyarah saya, manusia semuanya bebas untuk memasuki mana-mana kawasan justeru konsep negara bangsa sudah dihilangkan dan digantikan dengan pengaruh ekonomi yang dimajukan oleh syarikat multi-nasional (MNC) dan syarikat rentas-nasional (TNC). Walaupun pada asalnya tidak mudah untuk saya menerima idea tersebut namun ketika mula merapati bahan-bahan bacaan yang berkisarkan mengenai globalisasi maka saya beranggapan bahawa dunia sememangnya sudah menuju kepada sebuah keadaan yang serba baru.