Promosi

Showing posts with label Masyarakat. Show all posts
Showing posts with label Masyarakat. Show all posts

Monday, April 11, 2011

Sebongkah Batu Pengubah Sejarah

Faisal Tehrani hadir dengan sebuah novel yang mengandungi wacana multi-dimensi namun masih kepada peneguhan Islam sebagai jalur terunggul untuk dimaknai nilainya dalam sisi kehidupan sebagai sebuah konsep yang holistik dan progresif. Namun kali ini, wacana keislaman yang dikumandangkan oleh Faisal bukan lagi seperti konsep jihad strategi dalam kaedah operasi dan taktikal peperangan yang dinukil dalam karyanya Kombat 1511H yang dahulu, kali ini, naskah Sebongkah Batu di Kuala Berang (SBKB) membawa wajah Islam yang terdiri kerangka kreatif seni, sejarah, sastera, budaya dan falsafah sekaligus bertindak memacu revolusi kebudayaan Islam yang mana Faisal menyebutnya sebagai Islam Tsaqafi.

Hakikatnya, kebudayaan sememangnya menjadi bentuk penyebaran dakwah ketika kedatangan awal Islam ke Nusantara. Hal ini boleh sahaja disorot kepada sosok-sosok Wali Songo atau Wali Sembilan yang terdiri oleh Sunan Ampel, Sunan Bonang, Sunan Kalijaga, Sunan Drajat, Sunan Giri, Sunan Gunung Jati, Sunan Kudus, Sunan Muria yang masing-masing mempunyai kaedah tersendiri dalam membawakan apa yang difahami sebagai Islam Tsaqafi dengan bentuk dan disiplin keilmuan yang tersendiri. Ada yang menggunakan wayang kulit sebagai wadah penyebaran Islam justeru masyarakat tatkala itu gemar menonton wayang kulit, melalui seni binaan yang halus, syair dan penceritaan dan sebagainya.

Walaupun begitu, Islam Tsaqafi bukanlah sebuah konsep yang simplistik dan bersifat tempelan seperti konsep kereta Islam, bank Islam, makanan Islam dan sebagainya bahkan konsep yang berpaut kepada nilai Islam tidak dilihat pada hasil produk semata-mata tetapi seluruh proses penghasilannya wajib dilingkungi oleh nilai-nilai Islam. Islam Tsaqafi yang digagaskan oleh Faisal pula ialah kebudayaan yang diislamisasikan (Islamization) yang pekat dengan nilai dan aliran sufistik dan toleransi yang cenderung juga disalah-anggap sebagai membawa aliran pluralisme agama. Memangnya aliran tasawwuf dan pemikiran sufi lebih memudahkan Islam dikembangkan justeru sifatnya yang terbuka dan mengutamakan hikmah berbanding mendahulukan hukum.

Menyorot dengan kritikal hal ini pastinya menuntut agar para pendakwah segera kreatif untuk berdakwah dan berani keluar dari lingkungan masjid dan menyertai kelompok masyarakat yang perlukan bimbingan nasihat sesuai dengan kemampuan dan minat yang dimiliki mereka.

Naratif bermula dengan sekumpulan mahasiswa Akademi Seni Islam iaitu Anwar, Zulkifli, Kesh, Sharifah dan Sofea yang membikin doku-drama mengenai sejarah Nusantara sebagai projek tahun akhir mereka. Dengan bantuan intelektual hasil wawancara dengan ahli akademi Akademi Seni Islam sendiri, wacana mengenai sejarah kedatangan Islam ke Tanah Melayu mula diperlebar-luaskan merangkumi pelbagai disiplin ilmu yang sarat dengan falsafah dan pertentangan hujah akademi demi mengukuhkan pengisian doku-drama tersebut.

Beberapa kritikan sosial dan praktik agama turut disinggung dengan sinis oleh Faisal dalam SBKB. Pengulangan gagasan untuk memasjidkan filem dan pawagam walaupun merupakan sebuah idea lama namun masih gagal dilakukan oleh banyak negara Islam ketika ini. Idea yang dilihat bernilai kontroversi seperti keperluan dan keutamaan menyokong dan menghasilkan filem-filem Islamik ketika ini berbanding persaingan membina masjid juga dilihat bakal menelurkan sebuah wacana Islam kontemporari yang menuntut keteguhan berhujah.

Selain itu, krisis jati diri sebagai Muslim dan Melayu yang nihil dalam diri sosok para aktivis seni lakonan (baca: pelakon) menjadi bahan sindiran yang mengundang ketawa sinis pembaca. Insiden-insiden bebal yang berlaku dalam industri tanah air yang menunjukkan kegilaan mahu menjadi Barat, malu  bercakap Melayu dan penghasilan produk filem yang membodohkan penonton diserang bertubi-tubi oleh Faisal selain beliau turut merekayasa beberapa nama penggiat industri tanah air yang mengundang kelucuan dengan sinisnya itu. Hal ini begitu saya setuju bahkan juga pernah menulis tentang arah tuju filem Melayu untuk kolum Sastera dan Budaya, Harakah keluaran 1-3 April 2011.

Faisal juga tidak lagi hanya berbual-bicara mengenai kedatangan Islam di Tanah Melayu secara permukaan bahkan menyelam lebih dasar lagi dengan membuka bicara mazhab anutan apakah yang menggerakkan para pendakwah terdahulu datang ke Tanah Melayu ini yang mana Faisal menegaskan dengan bukti yang wujud pada jenis tulisan pada Batu Bersurat di Kuala Berang Terengganu ialah nasta’liq sekaligus dalam wacana ini Faisal mengetengahkan hujah bahawa mazhab Jaafari (sudah tentu Syiah) yang membawa Islam ke Tanah Melayu. Namun Faisal tidak cuba untuk mewujudkan kekeruhan ataupun api-api pertelingkahan dalam hal ini bahkan beliau menyatakan betapa Sunni (baca mazhab Syafii) dan Syiah pernah bertoleransi untuk beberapa ketika hinggalah datang kelompok ultra-puritan (baca Wahabi) yang bertindak menghidupkan kembali api permusuhan antara sesama umat Islam. 

Hal ini boleh sahaja disorot berdasarkan kepada isu-isu Islam semasa yang hangat memperkatakan mengenai Syiah-Sunni-Wahabi yang mana Faisal, yang mengakui sebagai Sunni simpatisan Syiah, tanpa berselindung lagi menjadi pihak yang diawasi kononnya menganut ideologi Syiah bahkan bertindak mempromosikan, menyebarkan dan mempengaruhi para pembaca blognya mengenai ajaran Syiah.

Bacaan akademi yang tinggi dan pelbagai turut membantu mengangkat mutu naskah ini. Faisal bijak menggunakan daya kreatif penulisannya untuk membentuk sebuah wacana yang kompleks menjadi lancar dan popular.

Sewajarnya laras bahasa seperti ini patut dijadikan contoh dalam mengembangkan apa yang disebutkan dengan novel Islamik. Novel Islamik harus diinstitusikan dengan gaya tulisan, bahasa dan idea yang lebih mencabar bahkan mampu memberikan saingan yang kuat kepada serangan kebudayaan Barat dan anak didiknya yang tegar meruntuhkan semangat dan jatidiri umat Islam. Kekuatan persuratan seperti inilah yang dilihat mampu mengekang penyebaran aliran sesat dan songsang seperti Islam Liberal. Gagasan dan idea yang dibawakan oleh penulis-pendakwah pula haruslah realistik dengan suasana semasa agar mampu dikembangkan potensi dan ideanya dalam masyarakat Islam sekaligus berupaya membentuk fikrah yang lebih terarah dalam membawa misi Islam yang dipauti dengan nilai aqidah.

Hal ini saya sentuh justeru melihatkan kepada trend “kegilaan” generasi muda untuk membaca karya-karya kreatif Islamik namun gagal menilai apakah karya yang harus dibaca itu bermutu atau tidak. Beberapa novel yang hangat dipasaran dan menjadi sebutan ramai tatkala saya masih di kampus, apabila saya sendiri membacanya terasa seperti dalam dunia yang jauh dari realiti dan terisi kisah-kisah romantik suami-isteri yang paling romantik dan bahagia tetapi bagi saya cukup memualkan.
 
Namun dek kerana kegilaan itu terus merebak tanpa dipandu (dan sememangnya sukar untuk memandu bila kegilaan seperti ini sudah mewabak), muncul beberapa insiden yang saya anggap sedikit memalukan apabila dikenang seperti tindakan ekstrem seorang muslimat membuang semua nombor muslimin dalam telefon bimbitnya gara-gara terpengaruh dengan novel yang baru dibacanya dan berhasrat besar untuk meniru kehidupan romantik yang saya anggap membebalkan seperti itu. Kisah ini tidaklah popular namun beberapa ulangan cerita yang sama menyebabkan saya terfikir tentang kematangan dan daya berfikir dengan betul ketika membaca karya-karya kreatif seperti itu. Sebagai nasihat awal, pilihlah karya yang lebih bermutu oleh penulis yang lebih bertanggungjawab kepada pembangunan diri, minda dan jiwa pembaca.

12.37 a.m
11 April 2011
Kuala Lumpur

Sila dapatkan kebenaran sebelum memetik artikel ini atau mana-mana bahagian dalam artikel ini untuk memelihara ketulenan sekaligus menjauhi salah faham fakta. Kerjasama amatlah dituntut.

Wednesday, February 23, 2011

Kesepaduan Iman dan Amal Salih

Dalam disiplin pemikiran Islam, wujud satu gerakan pemikiran yang menyatakan bahawa dosa tidak memberi mudarat kepada si pelaku dan pahala tidak memberi manfaat kepada si pengamal iaitu pemikiran Murji'ah.

Aliran pemikiran begini telah diperbaharui dalam konteks terkini dengan wajah yang sangat segar dan kononnya didokong oleh kelompok yang berfikiran matang dalam menilai kehidupan beragama lewat dewasa ini.

Kelompok yang secara asasnya menganggap bahawa agama adalah urusan peribadi akhirnya menoktahkan bahawa Sekularisme adalah panduan kehidupan yang terbaik untuk dilakukan justeru Sekularisme menjamin hak asasi manusia dan sekaligus mempertahankan nilai-nilai kebebasan yang menjadi harapan dan cita-cita sekalian manusia.

Kontradiknya ialah kelompok ini pula menggerakkan idea dan cita-cita yang keliru ini dengan menggunakan pula dalil-dalil agama untuk meyakini umat Islam bahawa perjuangan mereka adalah benar.

Disinilah bentuk kekeliruan yang terbesar yang dihadapi oleh umat Islam kontemporari dan perosak kepada pemikiran ini pula ialah golongan Islam Liberal yang sering mendabik dada kononnya pejuang tulen Islam yang mesti disokong oleh mereka yang berfikiran dan berpendidikan moden ataupun mereka yang mahu menikmati nilai-nilai ini.

Gejala kekeliruan seperti yang dibawa oleh Islam Liberal bukanlah satu hal yang terasing dari pemikiran arus perdana umat Islam bahkan HAMKA, ulama dan pujangga terbilang nusantara dan dunia telah menuliskan akan perihal ini lama dahulu dalam bukunya Kesepaduan Iman dan Amal Salih demi menjawab dan mengatur semula pemikiran umat Islam dan dalam konteks ini tentunya bangsa Indonesia yang terpengaruh dengan kecanggihan dan kemajuan Barat yang memperoleh semua nilai-nilai ini hanya selepas menolak agama dan menerima Sekularisme sebagai tata cara etika dan kehidupan.

Hamka yang menganalisis wabak kekeliruan ini meletakkan dasar pendidikan sebagai punca utama menjauhnya umat Islam dengan pengamalan Islam dalam erti kata yang sebenarnya.

Pengubahan konsep Akhlak yang digantikan dengan konsep Etika sebagai contoh, telah mengubah pandangan hidup (tasawwur Islami) Islam yang bersepadu sifatnya kepada mengamalkan dualisme dalam kehidupan beragama yakni melakukan hal-hal makruf dan mungkar pada ketika yang sama. Jika dia bersolat, dia juga tidak segan silu melakukan zina. Jika dia bersedekah, dia juga tidak segan silu untuk berjudi.

Namun begitu, Hamka mendidik dengan penuh hikmah setiap pelaku dosa dan membetulkan kesalahfahaman mengenai keadaan dosa dan pahala yang mana sering menimbulkan kekecewaan dan keputus-asaan justeru wujud manusia yang tekun beribadah dan beramal salih namun masih gagal membendung nafsu untuk melakukan kemaksiatan.

Ada juga golongan pendakwah yang kecewa dengan keadaan umat Islam ketika ini yang hidup dalam kedurjanaan sekaligus menganggap bahawa dakwah yang dilakukan selama ini adalah sia-sia belaka.

Segala kekeliruan dan kesalahfahaman ini dijawab secara tuntas oleh Hamka dalam buku ini sekaligus memberi semangat dan motivasi yang tinggi kepada pendakwah yang mengalami gejala kekecewaan seperti yang disebutkan ini.
Menariknya juga ialah didikan Hamka ini ditulis dengan menggunakan konsep dialog yang berlaku disamping memetik kata-kata hikmah pemikir-pemikir Islam yang begitu optimis dengan setiap waktu walaupun pada masa yang sama pekerja dakwah merasa dunia Islam contohnya semakin jauh meninggalkan ajaran Islam.

Disinilah letaknya keistimewaan Hamka yang selalu cemerlang dalam penulisannya.

Beliau menulis hasil renungan akal dan jiwanya yang sudah bertemu dengan sekalian manusia.

Hamka tidak memberikan sebuah solusi yang sukar untuk dilakukan seperti beruzlah, berqiyamulail dan sebagainya tetapi cukup sekadar meneruskan kehidupan seperti biasa namun dengan sebuah pendirian dan kefahaman baru yang lebih jelas dan kukuh mengenai Islam.

Bahkan penggunaan dalil Al-Quran dan hadith terasa begitu hidup dan tepat dengan persoalan yang diutarakan sekaligus meyakinkan pembaca bahawa Islam-lah sebuah agama sempurna dan paling tepat untuk dijadikan landasan kehidupan peribadi hinggalah dalam aspek politik pentadbiran.

Saya berpandangan bahawa buku-buku Hamka amat wajar ditelaah oleh setiap umat Islam yang bercita-cita murni menjadikan Islam sebagai landasan kehidupan justeru bahasa yang digunakan mudah difahami selain dalil-dalil yang begitu hidup dan memberi kepuasan dan kejernihan kepada akal dan rohani


Sila dapatkan kebenaran sebelum memetik artikel ini atau mana-mana bahagian dalam artikel ini untuk memelihara ketulenan sekaligus menjauhi salah faham fakta. Kerjasama amatlah dituntut.

Tuesday, February 22, 2011

Jibam

Jibam begitu istimewa bagi sesiapa yang pernah menikmati naskah kecil ini. Barangkali, seistimewa pemilik nama tersebut, Jibam, seorang anak kecil mentah yang dikurniakan oleh Allah kekurangan akal berbanding anak-anak yang sebaya umur dengannya, kerap menjadi mangsa buli tetapi bukan oleh rakan-rakan sebaya sahaja bahkan turut dibuli oleh golongan tua yang gemar beriktikaf di warung kopi Pak Itam.

Namun begitu, siapa yang mampu menafikan kudrat Allah yang Maha Pencipta dan Pemberi? Disebalik kekurangan Jibam, Allah adil dengan turut memberikan kelebihan atau mungkin keajaiban kepada Jibam. Kepandaiannya mengubat Sipah, anak Usup Kidung yang disengat tebuan tanah. Barangkali dalam naskah ini, hanya Usup Kidung yang masih bersimpati dengan nasib Jibam.

Naskah ini turut menampilkan bentuk kehidupan stereotaip orang Melayu yang rata-ratanya mengamalkan Islam dalam bentuk yang biasa sahaja. Bagi mereka yang memiliki ketinggian ilmu atau mengamalkan ilmu perubatan seperti Suman dan Piah, bentuk amalan dan ibadah yang mereka lakukan pula tentunya sedikit berbeza dan istimewa demi memastikan pengharapan yang tinggi dan utuh kepada Allah Rab al-Jalil akan berterusan disamping memastikan mereka terlindung dari sebarang malapetaka. Pengharapan ini bukanlah kosong dan berbentuk doktrin semata-mata bahkan Suman paling terkesan dengan perasaan riak dan bangga selepas disebut-sebut orang sebagai tabib handalan dahulu. Barangkali, sebagai dugaan dan ujian hidup, kesan kepada perasaan bangga dan riak Suman itu ialah Jibam yang dilahirkan cacat akalnya mula menjadi fitnah terhadap ilmu perubatan yang Suman miliki.

Kehidupan dikampung Melayu jarang-jarang jika tidak wujud kelicikan sang kapitalis Cina yang berminat menjarah segala hasil mahsul yang diusahakan oleh penduduk kampung. Lam Shook, seorang penjual barang runcit yang sering ulang alik ke kampung Belulang saban minggu begitu bercita-cita untuk meraih kekayaan disini dengan menyatakan hasratnya untuk membina sebuah kedai runcit diatas tanah .

Hasrat Lam Shook ini pula diutarakan kepada Fakir, anak kedua Suman yang berhasrat sekian lama untuk menikahi Zamiah, anak Ngah Sudin. Fakir pula kerana sangat kepingan wang untuk membiayai perkahwinannya terus bersetuju dengan tawaran yang diberikan oleh Lam Shook tanpa memikirkan kesan-kesan buruk untuk jangka masa panjang. Satu situasi yang masih berlaku dalam kalangan orang Melayu yang gila mahu digelar Orang Kaya Baru tetapi mempunyai akal yang singkat.

Jibam juga turut dilingkari misteri apabila dia turut menyimpan sebilah pisau lipat bertangkai merah yang dulunya dipunyai oleh arwah Suman, bapanya yang kononnya hilang dan mati ketika pergi ke hutan mencari getah damar dan rotan sebagai sumber rezeki bersama Tuk Ngah Sudin. Misterinya ialah pisau lipat itu turut dibawa oleh Suman ketika hari dia turut dilaporkan hilang dalam hutan. Dan misteri ini tentulah memberi kesan yang besar kepada jiwa Ngah Sudin kerana dia turut berada bersama Suman ketika itu bahkan dialah juga yang menolak Suman ke gaung akibat haloba walaupun Suman memberikan budinya dengan mengubati kecederaan yang dialami oleh Ngah Sudin akibat ditusuk duri belulang yang sangat berbisa ketika itu. Puncanya ialah tanah-tanah yang Suman miliki.

Suman bukan kecil-kecil peneroka, selain menjadi seorang pengamal perubatan tradisional, Suman turut memiliki sejumlah besar tanah di Kampung Belulang hasil penerokaannya sejak sekian lama dahulu.Tanah dusun, tanah hujung kampung, tanah di kaki bukit semuanya milik arwah Suman dan kini secara liciknya sudah diduduki oleh Usin Singai, Ngah Sudin dan Karim Peot. Tindakan sial dan jahat yang menjadi perjuangan Kadir, anak sulung Suman pula untuk menuntutnya kembali.

Misteri pisau lipat yang dimiliki oleh Jibam itu menyebabkan Ngah Sudin mengalami gangguan jiwa yang melampau dan akhirnya Ngah Sudin memahami jiwa Jibam, jiwa seperti yang terungkap pada kulit naskah Jibam ini "Kalau Kau Menjadi Aku, Aku Yakin Kau Mengerti", Ngah Sudin menjadi kawan Jibam yang sama paras akalnya akibat gangguan jiwa yang berterusan.


Sila dapatkan kebenaran sebelum memetik artikel ini atau mana-mana bahagian dalam artikel ini untuk memelihara ketulenan sekaligus menjauhi salah faham fakta. Kerjasama amatlah dituntut.

Wednesday, February 9, 2011

Bersukan Untuk Berjuang

Untuk pertama kali saya agak kecewa dengan Faisal Tehrani kerana Bahlutnya. Saya tidak pasti bagaimana pandangan khalayak lain namun saya agak cerewet justeru saya merupakan pembaca dan pelanggan kepada baik produk, perkhidmatan atau idea yang disebarkan oleh penulis. Justeru "customer is king and always right" maka saya berhak untuk kecewa. Namun begitu, saya rasa kekecewaan saya pula masih rasional dan tidak emosional.

Kekecewaan saya pula tidaklah terlalu besar justeru hanya melibatkan corak penulisan Bahlut yang saya lihat agak ringan dan sangat berbeza dengan karya-karya beliau sebelum ini yang begitu mencabar benak pemikiran pembaca sekaligus terkadang mengundang kontroversi yang bukan picisan sifatnya. Namun, Bahlut antara naskah yang punyai memori bersama saya ketika kegetiran menghadapi peperiksaan akhir semester sekaligus akhir tahun. Saya temui Bahlut ini ketika melawati Pesta Buku di Perlis sejurus selesai menjawab kertas peperiksaan Politik Ekonomi Malaysia. Maka Bahlut termasuk dalam senarai karya-karya dalam kenangan bersama saya.

Walaupun begitu, sisi lain yang cuba diselongkar oleh Faisal dan harus dipuji ialah dia cuba mengangkat persoalan demi persoalan yang seringkali dilupakan oleh masyarakat kita yang kononnya prihatin, bertimbang rasa dan cakna dengan keadaan sekeliling. Persoalan yang terus-menerus melingkari kehidupan masyarakat minoriti di Malaysia yakni masyarakat orang Asli yang mempunyai banyak pula puak dan etniknya. Dan dalam Bahlut, Faisal mengetengahkan kehidupan dan perjuangan orang Asli suku semai yang tema ini dijayakan oleh Bahlut sendiri. Nama seorang pemuda yang cergas berlari. Perjuangan itu pula ialah perjuangan untuk memastikan tanah adat mereka terus terpelihara dari perkosaan pembalak haram, pembangunan tidak terancang, infrastruktur yang mundur dan tidak membantu untuk meningkatkan mutu pendidikan dan sebagainya.

Saya yang berpengalaman beberapa kali mengikuti ekspedisi ke perkampungan orang Asli memang mengakui bahawa mereka mempunyai bakat yang jarang-jarang boleh dilakukan oleh manusia biasa atau orang bandar yang selalu perasan paling mampu, paling maju, paling serba boleh dan serbaguna dan hakikatnya ramai antara mereka yang langsung tidak berguna pun untuk masyarakat.

Bahlut, yang merupakan nama seorang anak muda dari suku Semai adalah kisah tentang dunia atlet juga. Kedua-dua elemen ini digabung jalin dengan agak kemas disamping menggunakan kuasa sebagai selebriti kesihatan dan atlet ternama untuk menjadikan sukan sebagai salah satu kaedah yang terbaik untuk mengharumkan nama, bangsa dan negara sekaligus mempunyai pengaruh yang besar untuk membawa agenda perjuangan.

Disinilah Bahlut dipacu kisahnya. Dipacu sederas lariannya.

Kemuncak perjuangan yang dilakukannya ialah dengan mengisytihar akan memulangkan pingat emas yang dimenangi dalam sukan SEA demi menyentak perhatian dunia malah pimpinan negara supaya cakna dengan nasib yang menimpa suku kaum dikampungnya yang bukan sahaja ditindas oleh keluar masuk pembalak haram jadah yang turut dibantu oleh pasukan keselamatan yang rasuah dan cuai bahkan berusaha untuk mendakwa manusia laknat yang bersuku Semai tetapi berperangai iblis seperti Tiak, tunangnya dahulu Kabut dan Batin, tok ketua durjana yang senang-senang berkomplot dengan pembalak durjana demi mengaut secebis kemewahan.

Dari kekecewaannya terhadap kehilangan bapanya yang dianggap sudah mati, ibunya, Embun yang hilang tiba-tiba dalam tebal belantara dan kononnya dibaham harimau, kisah cintanya yang tidak berbalas terhadap Kabut, seorang dara pingitan yang menjadi pujaannya hinggalah episod Bahlut dihasad dengki oleh teman atletnya. Semunya begitu ringan dan mudah dibaca disamping tiada debaran yang dirasakan sepanjang pembacaan saya.

Dan semua yang berlaku hingga Bahlut berjaya adalah jasa yang diberikan oleh Cikgu Zaiful yang membawanya dari kampung kekecewaan kepada sebuah bandar pengharapan dan peluang. Disamping turut dibantu oleh Ustaz Zaidi, abang Cikgu Zaiful.

Jika Bahlut mahu dilakonlayarkan, saya fikir kisah ini lebih sesuai untuk ditayangkan untuk tontotan RTM1 dan 2.


Sila dapatkan kebenaran sebelum memetik artikel ini atau mana-mana bahagian dalam artikel ini untuk memelihara ketulenan sekaligus menjauhi salah faham fakta. Kerjasama amatlah dituntut.

Wednesday, January 26, 2011

Ranjau Sepanjang Jalan


Naskah Ranjau Sepanjang Jalan (RSJ) hampir-hampir mengandungi segala jenis cabaran, dugaan dan masalah yang lazimnya dihadapi oleh para petani yang miskin dan serba kekurangan dari segi peralatan untuk membuat sawah dan keperluan harian yang lain. Pengarang, Shahnon Ahmad dilihat berjaya mengetengahkan kehidupan yang sukar para petani ini dengan cara yang cukup kreatif dan menginsafkan. 

Dengan mengambil latar belakang tempat yang beliau sendiri alaminya sedari kecil, Kampung Banggul Derdap, Sik, Kedah yang kaya dengan kemiskinan, maka plot-plot dalam RSJ diatur dengan cara yang biasa tetapi permainan emosi yang dicipta cukup luar biasa dan menggugat emosi sekaligus menyentak akal fikiran tentang kelompok masyarakat yang hidupnya asyik berjuang bukan untuk mencari sesuap nasi untuk dirinya sahaja tetapi juga untuk menyediakan nasi yang akan disuap oleh seluruh lapisan masyarakat yang lain pula. Shahnon dalam naskah ini berupaya menyelinap ke dasar kehidupan petani yang sulit hidupnya dan walaupun berulangkali diingatkan bahawa ujian hidup ini adalah ujian dari Allah namun adakalanya manusia itu kadangkala tertewas menghadapinya.

Shahnon dalam naskah ini mengolah dengan menggunakan hanya latar masa sewaktu musim menanam padi dan menuai. Disinilah sebuah keperitan yang sukar ditanggung dipamerkan sehingga mencetuskan perasaan simpati pembaca kepada keluarga Lahuma, seorang ketua keluarga yang memiliki tujuh orang cahaya mata. Isterinya pula Jeha, seorang yang setia mendiami sebuah teratak buruk yang sekian lama menampung kehidupan mereka sekeluarga. Anak-anaknya Sanah, Milah, Jenab, Semek, Liah, Lebar dan Kiah walaupun tidak semuanya berperanan penting dalam naskah ini namun memiliki anggota keluarga yang ramai sememangnya menjadi sesuatu yang biasa bagi keluarga Melayu apatah lagi mereka memegang kepercayaan agama bahawa anak itu adalah rezeki dari Allah yang mesti dipelihara dengan penuh kasih sayang.

Musim menanam padi yang datang lagi menuntut Lahuma dan Jeha turun ke bendang  mereka yang berjumlah  14 relung untuk disemai anak benih padi. Dahulunya 20 relung tetapi kerana jual janji, enam relung terlepas ke tangan tauke Cina, satu keadaan yang senantiasa berlaku dalam kehidupan orang Melayu. Bendang yang terbiar itu perlu segera dibersihkan dengan menebas menerung, rumput bulu landak dan segala semak samun lain yang merajai kawasan bendang itu.  

Cadang Lahuma mahu ditabur benih padi Malinja, padi Siam, padi Serindit dan pulut sedikit. Bukan sedikit kesulitan yang terpaksa ditempuh oleh Lahuma dan Jeha. Menebas kawasan semak di bendang itu satu hal, berhadapan dengan entah binatang berbisa yang lain juga satu hal hingga Jeha nyaris dipatuk ular tedung senduk ketika memetik pucuk-pucuk kayu di paya. Duri nibung yang mencucuk tapak kaki Lahuma antara permulaan yang mengikat Jeha dan anak-anaknya dalam kesusahan yang berterusan di mana bisa duri nibung itu akhirnya meragut nyawa Lahuma secara perlahan-lahan.

Tanggungjawab mengetuai keluarga kini dipikul pula oleh Jeha dengan dibantu oleh Sanah selaku anak sulung. Bantuan menajak dengan traktor yang atas ihsan Tuk Penghulu hanyalah bantuan yang bersifat sementara justeru ketika padi mula disemai begitu banyak lagi ujian yang terpaksa mereka tempuhi. Serangan burung tiak yang memagut buah-buah padi, ketam-ketam putih yang memotong batang-batang anak padi hinggakan semua ujian ini terpaksa mereka tempuhi sehingga memaksa mereka terpaksa berada di bendang hingga hari malam untuk melindungi padi-padi yang sedang membesar, bencana alam yang menenggelamkan segala padi yang semakin membesar di sawah. 

Ujian-ujian ini begitu perit untuk dilalui sementara Jeha  pula mengalami tekanan jiwa dan menyebabkan dia terpaksa dikurung hinggalah dihantar ke hospital Tanjung Rambutan, Perak dan bebanan terpaksa dipikul oleh Sanah selaku anak sulung Lahuma dan Jeha. Segala bencana yang terpaksa ditempuh oleh seluruh penduduk Kampung Banggul Derdap tanpa kecuali menghampakan harapan mereka untuk berkenduri besar sempena musim menuai padi. Padi kali itu tidak menjadi seperti yang semua harapkan. Walaupun begitu kehidupan perlu diteruskan dengan keyakinan yang penuh kepada Allah Ta'ala sebagai Pemberi rezeki paling utama.

Pada saya, novel ini penuh dengan kesungguhan untuk menampilkan watak perempuan seperti Jeha dan Sanah yang terus berani berjuang untuk mencari rezeki sekalipun tahu bahawa kudrat wanita kadangkala ada lemahnya namun semua itu bukan alasan apatah lagi tempat mereka bergantung yakni Lahuma sudah tiada. Kesungguhan wanita juga adakalanya tertewas seperti yang dialami oleh Jeha yang mengalami tekanan mental namun begitu perjuangannya diteruskan oleh Sanah yang mengambil alih sepenuhnya peranan sebagai seorang ayah, ibu, kakak sulung dan penyara kehidupan dia dan adik-adiknya.

Disini jelas kelihatan bahawa Sanah sebagai watak yang harus diketengahkan sebagai wira yang tidak didendang. Kekuatan dan kualiti wanita yang dimiliki olehnya sangat mencerminkan ketegaran jiwa seorang wanita walaupun dia masih belum bersuami. Naskah RSJ ini juga pernah diolah untuk layar perak pada tahun 1983 dan pernah memenangi filem terbaik, lakon layar terbaik, jurukamera terbaik, penataan seni terbaik dan anugerah khas Juri dalam pertandingan Festival Filem Malaysia (FFM) ke-4 pada tahun 1983.

Sejurus saya menikmati dan menginsafi naskah ini, seringkali ketika melalui lebuh raya Utara-Selatan di Kedah yang berhias indah pemandangan sawah dan bendang dikiri dan kanan, ingatan saya terhimbau kepada episod tragis yang melanda keluarga Lahuma. Dari jauh seakan-akan terpandang Lahuma, Jeha dan anak-anak mereka membanting tulang untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.

Tuesday, January 25, 2011

Di Balik Malaysia.


Analisis isu semasa yang disorot menggunakan cahaya sejarah cukup mengagumkan

Ada satu sudut pandang yang sangat kritikal yang tidak harus diabaikan untuk generasi muda Malaysia. Sudut pandang yang bakal meletakkan ke mana harus dipacu masa depan untuk Malaysia baru  dengan nilai  yang lebih harmoni, toleran dan mungkin liberal mengikut kerangka masyarakatnya yang plural dari sudut agama, bahasa dan bangsa. Sudut pandang ini pula harus diolah dengan kita kembali menyorot dengan kritikal apa yang sudah berlaku dalam sosio-politik negara pada abad yang lalu. Jika demikian yang mahu kita lakukan maka naskah Farish A. Noor ini antara yang terbaik untuk ditelaah bagi membina sebuah pandangan baru untuk Malaysia yang lebih maju dengan kerangka yang lokal.

Sosok pemikir Liberal untuk Malaysia Baru
Farish, seorang sejarawan dan aktivis sosial, berhujah dengan cukup tepat bagi menjawab persoalan semasa dimana hujahnya adalah menurut apa yang pernah berlaku di tanah air ini satu ketika dahulu. Cerminan sejarah yang berbeda dengan hakikat masa kini seakan-akan menunjukkan kepada kita satu bentuk hipokrasi yang sedang memakan sejumlah besar pemikiran anak bangsa kita terutama pada sisi politik dan agenda perjuangan Islam sebagai matlamat terbesar.

Beberapa sisi penting yang dihujat oleh Farish dengan cukup tajam ialah sisi tindakan moral yang diatasnamakan sebagai seruan Islam, kemunafikan pejuang ultra-Melayu dan negara, isu-isu sensitif seperti isu agama, bangsa dan pendidikan. Dan sebenarnya semua analisis dan hujatan yang Farish kemukakan adalah sebagai sebuah proses menganjak paradigma pembaca khususnya dan rakyat Malaysia yang plural agama dan bangsanya untuk sanggup duduk semeja dan berbincang tentang keperluan sebuah Malaysia yang Baru.

Farish dalam tulisannya tidak mencipta sebuah slogan yang baru yang penuh dengan idealisme yang utopia tetapi cuba meletakkan sebuah Malaysia yang baru itu mengikut kerangka sejarah yang lebih jujur dan terbuka yakni dengan meletakkan keperluan sebuah Malaysia yang universal atau sejagat sifatnya yang mana boleh dikongsi nilainya dengan banyak pihak tanpa wujud perasaan skeptikal dan saling curiga mencurigai atau ringkasnya Farish mengajak kita untuk saling berinteraksi dengan sejarah lampau demi mengukuhkan pembangunan dan kemajmukan bangsa di Malaysia.

Kegarangannya melanyak watak Hang Tuah sebenarnya sebuah suara sinis terhadap kemunafikan pemimpin ultra-Melayu yang hanya pintar menggunakan Hang Tuah demi membakar semangat perjuangan orang Melayu namun diabaikan pula fasa kedua dalam kehidupan Hang Tuah yang akhirnya berkelana mencari makna diri dan kebenaran dan mula memasuki wilayah kesufian yang sangat berbeza bentuknya ketika dia menjadi pahlawan ulung Melaka. Hal ini seakan-akan sebuah pujukan yang penuh rayuan namun ilmiah oleh Farish agar pemimpin yang benar-benar mahu berjuang harus kembali mendudukkan diri sejenak untuk koreksi diri dan apa yang sudah jadi dengan nasib bangsa Melayu ketika mereka memerintah Malaysia sedari lima dekad yang lalu.

Hang Tuah yang memasuki wilayah kesufian sejurus berjaya menundukkan Hang Jebat, saudara seperjuangannya sekaligus menampilkan keutuhan nilai Melayu dan Islam dalam dirinya. Tentulah hal ini sengaja dilupakan oleh pelaung lantang slogan keramat Hang Tuah yakni "Takkan Melayu Hilang di Dunia"  sambil menikam-nikam keris ke langit justeru setelah puas menundukkan seteru politik jarang-jarang suara-suara keinsafan ditebarkan melainkan hanya wujud suara yang penuh keangkuhan dan kesombongan sambil disusuli pengakuan keji bahawa perjuangan ini sudah berada di landasan yang benar dan Allah berada di pihak mereka. Anehnya keris yang sebenarnya adalah simbol yang universal  justeru punyai leluhur dengan falsafah Tantarisme, Hinduisme, Buddhisme dan Islam sudah dirosakkan oleh pemimpin seperti ini dengan mendakwa keris hanyalah warisan kebudayaan Melayu turun-temurun.
Karya yang sedang 'menggugat' pemikiran PAS semasa.
Satu hal yang penting dan punyai signifikan kepada PAS sebagai gerakan peneraju sebuah Malaysia Baru ialah saranan Farish supaya sosok tubuh dan pemikiran Dr Burhanuddin al-Helmy perlu selalu ditelaah semula justeru Dr Burhanuddin memiliki segala ciri seorang pemimpin terulung baik sebagai seorang pemimpin gerakan Islam ataupun pemimpin bangsa Melayu. Pemikirannya yang futuristik namun berpijak dengan bumi nyata ternyata bukan seorang yang harus dianggap sejarah dalam pembangunan PAS semata-mata bahkan penghormatan yang lebih besar perlu diberikan kepadanya dengan menampilkan idea dan pemikirannya untuk menerjah cabaran baru dalam suasana politik dan sosial semasa di Malaysia. Dr Burhanuddin bercakap soal kewajipan memperjuangkan Islam tanpa melupakan keperluan semangat nasionalisme yang tulen yang harus diacu berdasarkan pemikiran Islam semasa. Saya melihat bahawa saranan ini begitu tepat dengan apa yang sedang dilakukan oleh Dr Mujahid Yusof Rawa dalam bukunya Menuju PAS Baru.

Sudah tentu, dalam beberapa sudut, saya melihat ada kecenderungan aliran Pluralisme Agama  yang saya tolak dalam tulisan beliau contohnya tatkala memperihalkan hubungan Islam dan Hindu ketika zaman kesultanan Melayu Melaka dahulu. Walaupun begitu hal ini begitu luas ruangnya untuk kita saling berbincang demi meraikan kewujudan dan sumbangan mereka yang bukan seaqidah dengan kita dalam membangunkan Malaysia. Farish berjaya dalam buku ini menampilkan sebuah titik perbezaan yang ketara antara fantasi seorang ahli politik dan hakikat sebenar sebuah Malaysia.

Memoir Anak Setinggan

Memori yang sering terlupakan oleh orang dewasa.
Buku ini antara yang banyak meninggalkan ingatan kepada saya sebelum tamat berkhidmat dengan Persatuan Ulama Malaysia, Pulau Pinang (PUMPP) akhir tahun lalu. Kehidupan bergelumang dengan dunia aktivisme turut menuntut agar saya memberikan perhatian yang penuh juga kepada dunia intelektualisme disamping kehidupan sebagai khalifah Allah yang berfungsi untuk memakmurkan alam semesta ini sekaligus meletakkan kehidupan kita secara keseluruhannya dalam posisi sebagai penyeru kepada kebaikan dan pencegah kepada kemungkaran. 

Namun dunia realiti akhirnya membawa saya dalam dilema yang berpanjangan antara intelektualisme dan aktivisme. Kehidupan harian di Serambi Dakwah yang senantiasa dikelilingi dengan anak-anak kecil yang mendiami kawasan-kawasan kampung menyebabkan saya selalu terfikir akan masa depannya. Akhirnya buku Memoir Anak Setinggan (M.A.S) ini seakan-akan menuntut saya agar baca buku ini untuk memahami zaman kanak-kanak yang sering orang dewasa terlupakan.

Secara peribadinya, saya tidak pernah bertemu waima sekalipun dengan penulis novel comel ini. M.S. Anuar Mahmod atau dipanggil juga sebagai Abang Nuar oleh sahabat aktivis di Pulau Pinang. Biasanya NGO di Pulau Pinang ini senantiasa ada hubungan kerjasama antara satu sama lain. Sahabat Alam Malaysia (SAM), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), PUMPP dan banyak lagi membuatkan pengetahuan dan kepakaran antara NGO-NGO ini dapat dikongsi bersama. Dari sekecil-kecil isu hinggalah sebesar-besarnya. Dari isu gejala sosial hinggalah isu yang membabitkan kepentingan kerajaan negeri dan pusat. Hampir semuanya dikongsi bersama atau faktor lain sebab kepada wujudnya hubungan ini ialah terdapat NGO ini yang diketuai oleh orang yang sama.

Berbalik kepada novel M.A.S, Abang Nuar cuba persembahkan sebuah kehidupan yang ringkas namun menyeronokkan ketika kecil dahulu. Dengan meletakkan dirinya sebagai watak utama selain watak Mamat dan Bain, plot-plot yang menghiasi novel ini begitu lancar dan meruntun emosi. Jenaka yang dilakarkan juga sangat menjadi sehingga tanpa dibuat-buat pembaca akan tergelak sendirian atau sekadar tersenyum sumbing. Walaupun begitu, saya yang agak boleh memahami jiwa seorang aktivis melihat Abang Nuar berjaya melakukan beberapa kritikan sosial yang sering melingkari kehidupan masyarakat bawahan yang gemar saya sebutkan sebagai Mustadh'afin. 

Dengan keperitan tinggal di kawasan setinggan atau disebut sting garden, Abang Nuar mengolah segala kisah lampau dengan tersusun sehingga membina suatu persepsi dalam jiwa pembaca bahawa ada pergolakan sosial yang meruap-ruap dalam emosi masyarakat bawahan. Dipertikaikan hak untuk mendiami kawasan setinggan, dinafikan hak untuk menikmati jalan bertar, sikap penguasa yang zalim kepada penduduk, kawasan permainan kanak-kanak yang cuba dicabuli dengan bahan-bahan yang merbahaya hinggalah kritikan terhadap sistem pendidikan negara sendiri. Contohnya etika pemakaian kasut putih, kewujudan pelbagai puak yang berlatar belakangkan pendapatan ibu dan ayah, dibeza-bezakan antara murid pintar dan tidak dan sebagainya. Saya melihat bahawa novel ini tidak harus dibaca untuk menghiburkan hati semata-mata. 

Abang Nuar sebagai aktivis dan penulis dan saya yakin bahawa tujuan novel ini bukan semata-mata berhibur tetapi Abang Nuar cuba mengajak kita berfikir secara kritis terhadap segala persoalan semasa yang sering berlegar-legar disekeliling kehidupan kita. Ini bukan soal royalti semata-mata tetapi soal budi pekerti yang wajar untuk kita berikan dan pamerkan sebagai tanda solidariti kita membela golongan yang tertindas. Lihat sahaja bagaimana novel ini ditutup dengan Epilog Berembang Menjadi Saksi. Ini sebuah kisah benar yang pernah berlaku juga terhadap Abang Nuar seperti yang telah dilakarkan pada awal novel dimana kampungnya hampir hangus dijilat api dek kezaliman sang pemaju Mustakbirin yang tamak haloba. 

Novel ini memautkan juga erti sebuah persahabatan selain cinta monyet. Saya terkesan ketika wang yang sepatutnya digunakan untuk membeli kasut bola digunakan oleh Mamat untuk membeli permainan hartanah Saidini justeru untuk menunjukkan betapa pentingnya mengingati dan berkongsi keseronokan bermain bersama rakan-rakan. Zaman kanak-kanak yang harus diisi dengan keseronokan disamping mencari ilmu untuk menjamin kedudukan pada masa hadapan. Kisah masyarakat setempat yang berbalah kerana air, beratur kerana telefon awam, bergaduh sesama rakan sebaya dan seribu satu lagi kenakalan yang mereka lakukan.

Secara santai, Abang Nuar memperkenalkan tokoh-tokoh perubah dunia seperti  Nabi Muhammad S.A.W,  Imam al-Ghazzali, Hassan al-Banna, Sheikh Abdullah Azzam, Mahatma Ghandi, Chairil Anwar, Hamka, Sheikh Daud al-Fathani, Syed Abul A'la al-Maududi, Abu Dzar al-Ghifari dan ramai lagi. Tampilan nama-nama seperti ini seakan-akan isyarat bahawa anak kecil bukanlah terlalu mentah untuk difahamkan dengan idea yang besar dan revolusi seperti ini bahkan seharusnya dibiasakan minda mereka dengan tokoh-tokoh seperti ini. 

Agak tragis bila diakhir  cerita diperlihatkan bagaimana jadinya dengan Mamat yang menjadi penagih dadah dan Bain menjadi bouncer di kelab malam. Sekurang-kurangnya sebuah realiti juga harus kita selami bahawa hidup tidak selamanya indah belaka. Walaupun begitu saya tidak teragak-agak untuk mengesyorkan buku ini dijadikan buku bacaan pelajar sekolah rendah supaya mereka menikmati bacaan sebuah kehidupan yang sebaya dengan mereka.

Friday, January 21, 2011

Alangkah Lucunya Negeri Ini

Saya tidak berminat untuk mengenali para pelakon atau pengarah atau penerbit filem ini. Cukuplah dengan memberikan saya kepuasan sebagai penonton
Biasanya jika saya menonton filem Indonesia, saya banyak memfokuskan hanya kepada jalan ceritanya semata-mata. Saya tidak berminat untuk mengambil tahu mengenai siapa pengarahnya, bagaimana penataan cahaya atau muzik atau pelakon dan sebagainya justeru saya fikir biarlah saya terhibur kerana jalan ceritanya semata-mata.

Baru-baru ini, saya menonton filem Alangkah Lucunya Negeri Ini (ALNI) di youtube. Seperti biasa, permulaan cerita lagi saya sudah terpaku untuk terus menonton hingga minit terakhir. Jalan ceritanya mudah namun kreatif. Kreatif dengan persekitaran, benar-benar memanfaatkan apa yang selama ini kita anggapkan sebagai 'sampah' dan rendah martabatnya seperti contoh anak-anak jalanan, kemiskinan, persaingan mencari pekerjaan, kesempitan ekonomi dan sebagainya.

Dengan mengambil situasi kesesakan dan kesempitan di kota Jakarta, filem ini melayarkan penonton dengan gelagat anak-anak jalanan yang kerjanya hanyalah mencuri. Kesempitan kota itu juga ditekankan lagi dengan kesukaran untuk manusia-manusia yang menghuni didalamnya mencari pekerjaan hingga akhirnya kepentingan pendidikan menjadi sebuah perdebatan antara dua orang tua samada pendidikan itu mampu menjamin masa depan atau tidak dan keperluan untuk melihat keberhasilan pendidikan yang dilalui oleh anak-anak pada ketika itu.

Bahkan isu kepentingan pendidikan itu turut menjadi pertikaian antara Syamsul dan Muluk, lulusan sarjana dalam bidang pendidikan dan pengurusan. Anehnya, Syamsul yang berkelulusan sarjana pendidikan pula yang mengatakan pendidikan itu tidak penting justeru beliau melihat keberhasilan pendidikan itu secara streotaip iaitu dengan memiliki pekerjaan yang baik, kereta yang mewah dan kediaman yang besar.

Namun hakikatnya itu tidak berlaku seperti mana yang dialami oleh Muluk, seorang sarjana pengurusan. Saban hari kerjanya ialah mencari pekerjaan untuk menampung kehidupannya selain untuk mendirikan rumah tangga. Hinggalah pada suatu hari dia diketemukan dengan Komet, seorang anak jalanan yang baru selesai mencuri. Pertemuan yang tidak disengajakan antara mereka untuk kali yang kedua ahkirnya membawa Muluk ke markas anak-anak jalanan. Kepintaran Muluk untuk memanipulasikan ilmu pengurusannya akhirnya membawa kumpulan pencuri cilik itu kepada sebuah fasa baru yang lebih matang. Kumpulan pencuri terbahagi kepada tiga kumpulan yakni pencuri dibahagian pasaraya, pasar tani dan dalam bas.

Hasil pencurian akan dikumpul dan sebanyak 10% akan diserahkan kepada Muluk untuk diuruskan. Kemampuan Muluk mengawal selia wang haram tersebut akhirnya membolehkan simpanan wang tersebut mencecah sembilan juta rupiah. Aneh dan lucunya pula ialah wang tersebut disimpan dalam Bank Muamalat di Indonesia. Ketika ini saya melihat wujud teori ekonomi Mat Jenin yang sangat memukau untuk diketengahkan iaitu kesungguhan Muluk untuk mendidik anak-anak ini menjadi pengusaha yang bermula dengan kecil-kecilan sehingga mampu membina sebuah empayar perniagaan.

Demi menyelamatkan masa depan anak-anak tersebut.  Muluk mengajak pula rakannya, Syamsul, seorang sarjana pendidikan untuk melibatkan diri dalam misi pembangunan anak-anak tersebut dan juga Pipit, anak gadis yang tiada pekerjaan untuk mengajarkan ilmu keagamaan kepada anak-anak itu.

Akhirnya dengan slogan "Mencopet Adalah Masa Lalu, Ngasong Adalah Masa Depan", anak-anak itu mula beralih arah kepada berniaga kecil-kecilan.

Saya melihat bahawa dalam cerita ini, keperluan untuk bersikap dinamik dengan hukum agama itu sangat diperlukan. Bayangkan sahaja bagaimana untuk mengasuh anak-anak ini yang masih mencuri menjadi pengusaha yang mana modalnya adalah hasil wang curian mereka. Ketika ini, idea yang idealis untuk membela nasib masyarakat yang tertindas sangat dijauhi. Peranan kerajaan hampir terlupakan dalam cerita ini bahkan cerita ini punyai sebuah aras pemikiran yang baru, matang, dinamik namun kontroversi.

Justeru segalanya dalam cerita ini seakan-akan berputar kepada persoalan hukum wang curi terbabit. Maka filem seperti ini wajar ditonton oleh segala manusia terutama golongan politikus dan agamawan justeru aspek masyarakat dan tatakelola sosial yang baik itu tidak boleh tidak harus dipaksikan kepada kestabilan kedua-dua golongan ini memberi keharmonian dan keamanan dalam negara.

Sebuah kritik sosial yang jelas dan tajam harus disasarkan kepada mereka yang melakukan salah yang lebih besar. Jika mencuri itu satu dosa yang besar, barangkali korupsi itu harus dijijikkkan lagi sebagai sebuah pembunuhan ketamadunan yang lebih dahsyat. Namun beginilah resam dunia yang sering menyalahkan golongan gelandangan sebagai mereka yang tidak produktif dalam menyara hidup sedangkan golongan atasan begitu enak menjarah harta rakyat sekalian.