Promosi

Showing posts with label Filem. Show all posts
Showing posts with label Filem. Show all posts

Monday, April 11, 2011

Sebongkah Batu Pengubah Sejarah

Faisal Tehrani hadir dengan sebuah novel yang mengandungi wacana multi-dimensi namun masih kepada peneguhan Islam sebagai jalur terunggul untuk dimaknai nilainya dalam sisi kehidupan sebagai sebuah konsep yang holistik dan progresif. Namun kali ini, wacana keislaman yang dikumandangkan oleh Faisal bukan lagi seperti konsep jihad strategi dalam kaedah operasi dan taktikal peperangan yang dinukil dalam karyanya Kombat 1511H yang dahulu, kali ini, naskah Sebongkah Batu di Kuala Berang (SBKB) membawa wajah Islam yang terdiri kerangka kreatif seni, sejarah, sastera, budaya dan falsafah sekaligus bertindak memacu revolusi kebudayaan Islam yang mana Faisal menyebutnya sebagai Islam Tsaqafi.

Hakikatnya, kebudayaan sememangnya menjadi bentuk penyebaran dakwah ketika kedatangan awal Islam ke Nusantara. Hal ini boleh sahaja disorot kepada sosok-sosok Wali Songo atau Wali Sembilan yang terdiri oleh Sunan Ampel, Sunan Bonang, Sunan Kalijaga, Sunan Drajat, Sunan Giri, Sunan Gunung Jati, Sunan Kudus, Sunan Muria yang masing-masing mempunyai kaedah tersendiri dalam membawakan apa yang difahami sebagai Islam Tsaqafi dengan bentuk dan disiplin keilmuan yang tersendiri. Ada yang menggunakan wayang kulit sebagai wadah penyebaran Islam justeru masyarakat tatkala itu gemar menonton wayang kulit, melalui seni binaan yang halus, syair dan penceritaan dan sebagainya.

Walaupun begitu, Islam Tsaqafi bukanlah sebuah konsep yang simplistik dan bersifat tempelan seperti konsep kereta Islam, bank Islam, makanan Islam dan sebagainya bahkan konsep yang berpaut kepada nilai Islam tidak dilihat pada hasil produk semata-mata tetapi seluruh proses penghasilannya wajib dilingkungi oleh nilai-nilai Islam. Islam Tsaqafi yang digagaskan oleh Faisal pula ialah kebudayaan yang diislamisasikan (Islamization) yang pekat dengan nilai dan aliran sufistik dan toleransi yang cenderung juga disalah-anggap sebagai membawa aliran pluralisme agama. Memangnya aliran tasawwuf dan pemikiran sufi lebih memudahkan Islam dikembangkan justeru sifatnya yang terbuka dan mengutamakan hikmah berbanding mendahulukan hukum.

Menyorot dengan kritikal hal ini pastinya menuntut agar para pendakwah segera kreatif untuk berdakwah dan berani keluar dari lingkungan masjid dan menyertai kelompok masyarakat yang perlukan bimbingan nasihat sesuai dengan kemampuan dan minat yang dimiliki mereka.

Naratif bermula dengan sekumpulan mahasiswa Akademi Seni Islam iaitu Anwar, Zulkifli, Kesh, Sharifah dan Sofea yang membikin doku-drama mengenai sejarah Nusantara sebagai projek tahun akhir mereka. Dengan bantuan intelektual hasil wawancara dengan ahli akademi Akademi Seni Islam sendiri, wacana mengenai sejarah kedatangan Islam ke Tanah Melayu mula diperlebar-luaskan merangkumi pelbagai disiplin ilmu yang sarat dengan falsafah dan pertentangan hujah akademi demi mengukuhkan pengisian doku-drama tersebut.

Beberapa kritikan sosial dan praktik agama turut disinggung dengan sinis oleh Faisal dalam SBKB. Pengulangan gagasan untuk memasjidkan filem dan pawagam walaupun merupakan sebuah idea lama namun masih gagal dilakukan oleh banyak negara Islam ketika ini. Idea yang dilihat bernilai kontroversi seperti keperluan dan keutamaan menyokong dan menghasilkan filem-filem Islamik ketika ini berbanding persaingan membina masjid juga dilihat bakal menelurkan sebuah wacana Islam kontemporari yang menuntut keteguhan berhujah.

Selain itu, krisis jati diri sebagai Muslim dan Melayu yang nihil dalam diri sosok para aktivis seni lakonan (baca: pelakon) menjadi bahan sindiran yang mengundang ketawa sinis pembaca. Insiden-insiden bebal yang berlaku dalam industri tanah air yang menunjukkan kegilaan mahu menjadi Barat, malu  bercakap Melayu dan penghasilan produk filem yang membodohkan penonton diserang bertubi-tubi oleh Faisal selain beliau turut merekayasa beberapa nama penggiat industri tanah air yang mengundang kelucuan dengan sinisnya itu. Hal ini begitu saya setuju bahkan juga pernah menulis tentang arah tuju filem Melayu untuk kolum Sastera dan Budaya, Harakah keluaran 1-3 April 2011.

Faisal juga tidak lagi hanya berbual-bicara mengenai kedatangan Islam di Tanah Melayu secara permukaan bahkan menyelam lebih dasar lagi dengan membuka bicara mazhab anutan apakah yang menggerakkan para pendakwah terdahulu datang ke Tanah Melayu ini yang mana Faisal menegaskan dengan bukti yang wujud pada jenis tulisan pada Batu Bersurat di Kuala Berang Terengganu ialah nasta’liq sekaligus dalam wacana ini Faisal mengetengahkan hujah bahawa mazhab Jaafari (sudah tentu Syiah) yang membawa Islam ke Tanah Melayu. Namun Faisal tidak cuba untuk mewujudkan kekeruhan ataupun api-api pertelingkahan dalam hal ini bahkan beliau menyatakan betapa Sunni (baca mazhab Syafii) dan Syiah pernah bertoleransi untuk beberapa ketika hinggalah datang kelompok ultra-puritan (baca Wahabi) yang bertindak menghidupkan kembali api permusuhan antara sesama umat Islam. 

Hal ini boleh sahaja disorot berdasarkan kepada isu-isu Islam semasa yang hangat memperkatakan mengenai Syiah-Sunni-Wahabi yang mana Faisal, yang mengakui sebagai Sunni simpatisan Syiah, tanpa berselindung lagi menjadi pihak yang diawasi kononnya menganut ideologi Syiah bahkan bertindak mempromosikan, menyebarkan dan mempengaruhi para pembaca blognya mengenai ajaran Syiah.

Bacaan akademi yang tinggi dan pelbagai turut membantu mengangkat mutu naskah ini. Faisal bijak menggunakan daya kreatif penulisannya untuk membentuk sebuah wacana yang kompleks menjadi lancar dan popular.

Sewajarnya laras bahasa seperti ini patut dijadikan contoh dalam mengembangkan apa yang disebutkan dengan novel Islamik. Novel Islamik harus diinstitusikan dengan gaya tulisan, bahasa dan idea yang lebih mencabar bahkan mampu memberikan saingan yang kuat kepada serangan kebudayaan Barat dan anak didiknya yang tegar meruntuhkan semangat dan jatidiri umat Islam. Kekuatan persuratan seperti inilah yang dilihat mampu mengekang penyebaran aliran sesat dan songsang seperti Islam Liberal. Gagasan dan idea yang dibawakan oleh penulis-pendakwah pula haruslah realistik dengan suasana semasa agar mampu dikembangkan potensi dan ideanya dalam masyarakat Islam sekaligus berupaya membentuk fikrah yang lebih terarah dalam membawa misi Islam yang dipauti dengan nilai aqidah.

Hal ini saya sentuh justeru melihatkan kepada trend “kegilaan” generasi muda untuk membaca karya-karya kreatif Islamik namun gagal menilai apakah karya yang harus dibaca itu bermutu atau tidak. Beberapa novel yang hangat dipasaran dan menjadi sebutan ramai tatkala saya masih di kampus, apabila saya sendiri membacanya terasa seperti dalam dunia yang jauh dari realiti dan terisi kisah-kisah romantik suami-isteri yang paling romantik dan bahagia tetapi bagi saya cukup memualkan.
 
Namun dek kerana kegilaan itu terus merebak tanpa dipandu (dan sememangnya sukar untuk memandu bila kegilaan seperti ini sudah mewabak), muncul beberapa insiden yang saya anggap sedikit memalukan apabila dikenang seperti tindakan ekstrem seorang muslimat membuang semua nombor muslimin dalam telefon bimbitnya gara-gara terpengaruh dengan novel yang baru dibacanya dan berhasrat besar untuk meniru kehidupan romantik yang saya anggap membebalkan seperti itu. Kisah ini tidaklah popular namun beberapa ulangan cerita yang sama menyebabkan saya terfikir tentang kematangan dan daya berfikir dengan betul ketika membaca karya-karya kreatif seperti itu. Sebagai nasihat awal, pilihlah karya yang lebih bermutu oleh penulis yang lebih bertanggungjawab kepada pembangunan diri, minda dan jiwa pembaca.

12.37 a.m
11 April 2011
Kuala Lumpur

Sila dapatkan kebenaran sebelum memetik artikel ini atau mana-mana bahagian dalam artikel ini untuk memelihara ketulenan sekaligus menjauhi salah faham fakta. Kerjasama amatlah dituntut.

Friday, January 21, 2011

Alangkah Lucunya Negeri Ini

Saya tidak berminat untuk mengenali para pelakon atau pengarah atau penerbit filem ini. Cukuplah dengan memberikan saya kepuasan sebagai penonton
Biasanya jika saya menonton filem Indonesia, saya banyak memfokuskan hanya kepada jalan ceritanya semata-mata. Saya tidak berminat untuk mengambil tahu mengenai siapa pengarahnya, bagaimana penataan cahaya atau muzik atau pelakon dan sebagainya justeru saya fikir biarlah saya terhibur kerana jalan ceritanya semata-mata.

Baru-baru ini, saya menonton filem Alangkah Lucunya Negeri Ini (ALNI) di youtube. Seperti biasa, permulaan cerita lagi saya sudah terpaku untuk terus menonton hingga minit terakhir. Jalan ceritanya mudah namun kreatif. Kreatif dengan persekitaran, benar-benar memanfaatkan apa yang selama ini kita anggapkan sebagai 'sampah' dan rendah martabatnya seperti contoh anak-anak jalanan, kemiskinan, persaingan mencari pekerjaan, kesempitan ekonomi dan sebagainya.

Dengan mengambil situasi kesesakan dan kesempitan di kota Jakarta, filem ini melayarkan penonton dengan gelagat anak-anak jalanan yang kerjanya hanyalah mencuri. Kesempitan kota itu juga ditekankan lagi dengan kesukaran untuk manusia-manusia yang menghuni didalamnya mencari pekerjaan hingga akhirnya kepentingan pendidikan menjadi sebuah perdebatan antara dua orang tua samada pendidikan itu mampu menjamin masa depan atau tidak dan keperluan untuk melihat keberhasilan pendidikan yang dilalui oleh anak-anak pada ketika itu.

Bahkan isu kepentingan pendidikan itu turut menjadi pertikaian antara Syamsul dan Muluk, lulusan sarjana dalam bidang pendidikan dan pengurusan. Anehnya, Syamsul yang berkelulusan sarjana pendidikan pula yang mengatakan pendidikan itu tidak penting justeru beliau melihat keberhasilan pendidikan itu secara streotaip iaitu dengan memiliki pekerjaan yang baik, kereta yang mewah dan kediaman yang besar.

Namun hakikatnya itu tidak berlaku seperti mana yang dialami oleh Muluk, seorang sarjana pengurusan. Saban hari kerjanya ialah mencari pekerjaan untuk menampung kehidupannya selain untuk mendirikan rumah tangga. Hinggalah pada suatu hari dia diketemukan dengan Komet, seorang anak jalanan yang baru selesai mencuri. Pertemuan yang tidak disengajakan antara mereka untuk kali yang kedua ahkirnya membawa Muluk ke markas anak-anak jalanan. Kepintaran Muluk untuk memanipulasikan ilmu pengurusannya akhirnya membawa kumpulan pencuri cilik itu kepada sebuah fasa baru yang lebih matang. Kumpulan pencuri terbahagi kepada tiga kumpulan yakni pencuri dibahagian pasaraya, pasar tani dan dalam bas.

Hasil pencurian akan dikumpul dan sebanyak 10% akan diserahkan kepada Muluk untuk diuruskan. Kemampuan Muluk mengawal selia wang haram tersebut akhirnya membolehkan simpanan wang tersebut mencecah sembilan juta rupiah. Aneh dan lucunya pula ialah wang tersebut disimpan dalam Bank Muamalat di Indonesia. Ketika ini saya melihat wujud teori ekonomi Mat Jenin yang sangat memukau untuk diketengahkan iaitu kesungguhan Muluk untuk mendidik anak-anak ini menjadi pengusaha yang bermula dengan kecil-kecilan sehingga mampu membina sebuah empayar perniagaan.

Demi menyelamatkan masa depan anak-anak tersebut.  Muluk mengajak pula rakannya, Syamsul, seorang sarjana pendidikan untuk melibatkan diri dalam misi pembangunan anak-anak tersebut dan juga Pipit, anak gadis yang tiada pekerjaan untuk mengajarkan ilmu keagamaan kepada anak-anak itu.

Akhirnya dengan slogan "Mencopet Adalah Masa Lalu, Ngasong Adalah Masa Depan", anak-anak itu mula beralih arah kepada berniaga kecil-kecilan.

Saya melihat bahawa dalam cerita ini, keperluan untuk bersikap dinamik dengan hukum agama itu sangat diperlukan. Bayangkan sahaja bagaimana untuk mengasuh anak-anak ini yang masih mencuri menjadi pengusaha yang mana modalnya adalah hasil wang curian mereka. Ketika ini, idea yang idealis untuk membela nasib masyarakat yang tertindas sangat dijauhi. Peranan kerajaan hampir terlupakan dalam cerita ini bahkan cerita ini punyai sebuah aras pemikiran yang baru, matang, dinamik namun kontroversi.

Justeru segalanya dalam cerita ini seakan-akan berputar kepada persoalan hukum wang curi terbabit. Maka filem seperti ini wajar ditonton oleh segala manusia terutama golongan politikus dan agamawan justeru aspek masyarakat dan tatakelola sosial yang baik itu tidak boleh tidak harus dipaksikan kepada kestabilan kedua-dua golongan ini memberi keharmonian dan keamanan dalam negara.

Sebuah kritik sosial yang jelas dan tajam harus disasarkan kepada mereka yang melakukan salah yang lebih besar. Jika mencuri itu satu dosa yang besar, barangkali korupsi itu harus dijijikkkan lagi sebagai sebuah pembunuhan ketamadunan yang lebih dahsyat. Namun beginilah resam dunia yang sering menyalahkan golongan gelandangan sebagai mereka yang tidak produktif dalam menyara hidup sedangkan golongan atasan begitu enak menjarah harta rakyat sekalian.