Promosi

Showing posts with label Budaya. Show all posts
Showing posts with label Budaya. Show all posts

Wednesday, September 30, 2015

Amerika hadapi dendam sejarah

Alhamdulillah, ulasan ini berjaya memenangi tempat pertama dalam Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog Sempena PBAKL 2015

Ulasan buku ITBM: Dunia Pasca-Amerika

Oleh MOHD ARIF JUHANI

Pendahuluan

Terdapat begitu banyak perkembangan dunia mutakhir ini yang menyebabkan pandangan Fareed Zakaria dalam bukunya, 'Dunia Pasca-Amerika' perlu terus dinilai dan didebat semula.

Seperti yang dijelaskan secara ringkas, buku itu bukan tentang kejatuhan imej keagungan Amerika Syarikat, tetapi mengenai landskap baharu hubungan antarabangsa yang menyaksikan kebangkitan ekonomi negara lain yang perlu senantiasa dipantau dengan rapi oleh Rumah Putih.

Ingatan ini begitu penting kerana 'kebangkitan lain' (rise of the rest) itu benar-benar mencabar secara langsung orde antarabangsa yang dikuasai oleh Amerika Syarikat sejak beberapa dekad lalu khususnya dalam hal ehwal berkaitan ekonomi.

BRICS 

Lebih kritikal lagi, kebangkitan lain itu pula tidak terbentuk secara sendiri-sendiri, sebaliknya membentuk sebuah kesatuan seperti yang dilakukan oleh Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan yang mewujudkan BRICS.

Untuk menunjukkan kesatuan itu berupaya mencabar mandat ketuanan Amerika Syarikat yang dikuasai selama ini, BRICS menubuhkan pula Bank Pembangunan Baharu (NDB) sebagai pesaing kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang didominasi Amerika Syarikat.

Menurut Dinding Chen dari Universiti Macau dalam satu tulisannya di laman web, The Diplomat, NDB ini juga mampu menjadi platform kepada China dan India untuk meningkatkan pengaruh yang selama ini sukar diperoleh dibawah telunjuk Amerika Syarikat.

Bagi mengukuhkan lagi alasan Fareed tentang perlunya sebuah gagasan baharu bagi menghadapi 'Dunia Pasca-Amerika', ramalan Goldman Sachs antara yang perlu diberi perhatian apabila menyatakan menjelang tahun 2040, gabungan lima buah negara pasaran baharu iaitu China, India, Brazil, Rusia dan Mexico mampu mengatasi negara G7 (sekarang G8).

Bagaimana Fareed boleh tercetus membincangkan tentang hal ini?

Tata Dunia Baharu (NWO) terancam?

Beliau melihat kelunturan pengaruh Amerika Syarikat ini selepas bekas Presiden, George W Bush melancarkan perang ke atas Iraq. Walaupun beliau tidak maksudkan perang itu sebagai puncanya, tetapi itu mungkin boleh sahaja ditafsirkan sebagai satu peralihan global yang baharu.

Selepas Bush tamat penggal pemerintahan dan digantikan dengan Barack Hussein Obama, maka disinilah Fareed melihat perlunya Presiden baharu itu menangani cabaran terbesar iaitu membentuk sistem hubungan antarabangsa baharu yang menatijahkan kerjasama global yang tulen lagi berkesan dalam pelbagai isu yang makro.

Fareed berpandangan, itulah juga satu projek terbesar abad ini iaitu memperbaharui Tata Baharu Dunia (NWO) yang lama bagi menjamin kelangsung keamanan, pertumbuhan dan kebebasan buat dunia.

Namun segalanya bukan laluan selesa untuk Amerika Syarikat meneruskan keyakinannya itu.

Globalisasi baham tuan

Sebagai contoh, globalisasi. Jika ia pernah dianggap berupaya untuk mencairkan nilai budaya dan agama di sesebuah negara tetapi hal itu tidak berlaku apabila pertumbuhan ekonomi yang dinikmati hasil perdagangan memulangkan kemakmuran kepada negara sekaligus menaikkan patriotisme dalam kalangan rakyat. 

Hal ini mungkin boleh disebut pelik. Kemakmuran ekonomi akan mewujudkan kestabilan pemerintahan pusat dan seterusnya, secara tidak langsung, meningkatkan pula semangat patriotik dalam kalangan rakyat.

Sudah tentu ini satu hal yang semakin bercanggah dengan persepsi awal masyarakat dunia tentang globalisasi yang rata-ratanya lebih negatif berbanding positif.

Malah tidak pelik juga kalau dikatakan peningkatan kadar keganasan global adalah hasil kemajuan teknologi maklumat yang berada bersama dalam bahtera globalisasi yang membolehkan perkongsian idea, maklumat serta ideologi disebarkan secara mudah; walaupun belum tentu selamat.

Teknologi maklumat yang pada awalnya digunakan Amerika Syarikat untuk menyebarkan ekabudayanya yang berasaskan kapitalisme dan hedonisme, keadaannya sekarang seperti 'senjata makan tuan' apabila negara yang pintar memanfaatkan kekayaan negaranya akan memastikan kepentingan kekal kukuh dengan mewujudkan saluran media sendiri.

Sudahnya, percambahan naratif baharu dalam isu konflik antara negara terus bertambah dan bersikap terpilih.

Seperti disebut Fareed, setiap negara sekarang mampu memiliki 'CNN'-nya sendiri.

Dunia Pasca-Amerika juga menyaksikan bahawa Amerika Syarikat hari ini tidak lagi diingati sebagai jururunding yang terbaik bagi menyelesaikan konflik antara negara bergolak.

Sebaliknya wakil negara-negara terbabit semakin pintar memilih perunding dengan meletakkan tokoh atau negara lain yang memiliki persamaan seperti agama anutan, bangsa, latar sejarah serta kepentingan tertentu.

Beberapa contoh yang dikemukakan dalam buku ini adalah Perancis dipilih sebagai jururunding dalam konflik Rusia-Georgia, Turki dalam rundingan Israel-Syria, serta Emir Qatar dalam konflik saudara di Lubnan.

Tujuannya mudah iaitu supaya keputusan yang dicapai lebih menguntungkan pihak yang terlibat tanpa penglibatan Amerika Syarikat yang selalunya lebih rakus memungut manfaat.

Inilah antara cabaran geopolitik meletakkan Amerika Syarikat sekarang hanya mampu berfungsi seperti 'Abang Besar' yang hilang bisa sengatnya. Sekadar menjadi pemerhati yang semakin tidak dihiraukan oleh banyak negara.

China gegarkan dunia

Fareed yang lahir di India pula tidak berselindung dengan menuding siapa sebenar sekutu dan pencabar kepada Amerika Syarikat apabila mengkhususkan bab 'Pencabar' dan 'Sekutu' yang merujuk kepada China dan India.

Tidak keterlaluan untuk disebut bahawa Fareed agak keterlaluan mengangkat kedudukan China sebagai seteru yang lebih berkuasa menyaingi Amerika berbanding mengawasi kebangkitan Rusia yang dipimpin Vladimir Putin.

Jika dahulu pepatah mengenai keunggulan Amerika Syarikat yang popular adalah 'Jika Amerika bersin, satu dunia akan demam', sekarang, pepatah itu boleh digantikan dengan madah lama Napoleon Bonaparte iaitu 'Jika China bangkit, satu dunia akan bergegar' dan itu yang dirasai ketika ini.

Terdahulu, China sudah menunjukkan keupayaannya sebagai tempat bergantung harap dan impian negara kelas ketiga untuk membentuk pembangunan dalam negara dan sekaligus mengenepikan peranan Bank Dunia sebagai pemberi hutang.

Satu contoh mudah dan memukau adalah pada tahun 2007 apabila Nigeria berhasrat membina sistem kereta apinya dengan membuat pinjaman dengan Bank Dunia. Bagaimanapun, bukan mudah juga institusi itu memberikan pinjaman apabila meletakkan syarat yang pelbagai yang ketat.

Segalanya selesai apabila Beijing masuk campur dengan memberikan pinjaman sebanyak $9 bilion tanpa sebarang syarat dan membiarkan Bank Dunia terkebil-kebil melihat dirinya diketepikan.

Hal ini mudah dilakukan oleh China kerana negara tembok besar itu merupakan pemegang wang terbesar dalam dunia dengan rizab tukaran asingnya lebih $1 trilion.

Satu hal yang boleh dipuji dalam buku ini adalah tindakan Fareed yang berani mendedahkan kekuatan yang dimiliki China bagi memudahkan para pembaca menilai ketajaman analisisnya.

Cuma dari sudut ketenteraan sahaja China masih di belakang Amerika Syarikat tetapi dengan bilangan ahli teknologi ketenteraan yang banyak dan hubungan langsung dengan negara yang menjadi seteru Amerika Syarikat, maka aspek ini tidak sukar lagi untuk ditingkatkan melalui inovasi dan perkongsian maklumat serta teknologi.

TPPA lawan China

Sejak buku asal ini diterbitkan pada tahun 2008, tidaklah begitu lama masa yang diperlukan untuk kita melihat bagaimana Amerika Syarikat mengurus 'Dunia Pasca-Amerika'nya.

Dalam konteks negara ini, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu, seluruh negara dikejutkan dengan ancaman perjanjian berat sebelah, Perjanjian Perdagangan Trans-Pasifik (TPPA) yang dikepalai oleh Amerika Syarikat.

Perjanjian berbentuk penjajahan ekonomi dan kedaulatan negara ini menerima kecaman yang meluas dari pelbagai pertubuhan Bumiputera, perniagaan kecil dan sederhana (SME) dan juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dengan menggunakan kekuatan syarikat multinasional (MNCs) dan medan perundangan yang lebih cenderung menyebelahi negara kuasa besar, Amerika Syarikat hampir pasti menggunakan TPPA itu untuk memastikan negara tertentu diikat kepentingan ekonominya khususnya di rantau ini daripada bekerjasama dengan China.

Ini jugalah ingatan keras yang dilontarkan oleh Presiden Jaringan Dunia Ketiga (TWN), S.M. Mohamed Idris apabila menjelaskan bahawa tujuan kembar TPPA adalah memudahkan penembusan pasaran oleh MNC yang berpotensi menjejaskan kepentingan ekonomi dan sosial kita serta menggalakkan kepentingan geopolitik Amerika Syarikat khususnya bagi membendung China.

Dalam bab yang lain, walaupun Fareed cuba menggambarkan India sebagai sebuah sekutu Amerika Syarikat yang boleh dipercayai untuk meneruskan aspirasi empayarnya, tetapi pandangan ini juga mungkin perlu dinilai semula selepas Narendra Modi dilantik sebagai Perdana Menteri India yang baharu.

Pemimpin dari parti Hindu Nasionalis, BJP itu pernah digagalkan permohonan visanya ke Amerika Syarikat kerana terbabit dengan rusuhan agama selain hubungan New Delhi-Washington yang agak tegang beberapa tahun ini. 

Jika ditinjau perkembangan lain, hubungan New Delhi-Beijing juga semakin kukuh dan ini sudah tentu menggusarkan Washington sedikit sebanyak.

Penutup

Amerika Syarikat perlu terus berwaspada sekarang. Banyak negara sedang berunding secara terang atau rahsia merencanakan pembangunan masing-masing tanpa melibatkan negara kuasa besar itu.

Barangkali apa yang sedang dihadapi oleh Amerika Syarikat sekarang lebih berbentuk 'dendam sejarah'.

Thursday, April 28, 2011

Menghalusi Ketinggian Teknologi

Tajuk ulasan buku    : Menghalusi Ketinggian Teknologi
Ulasan buku            : Teknologi Tinggi Sentuhan Halus.
Nama                      : Mohd Arif Juhani Abdul Rahman
No. Resit                : ITNM000517

Tatkala teknologi dipertuhankan oleh segelintir manusia, John Naisbitt menjelaskan kekeliruan akan fahaman tersebut. Tatkala kehidupan manusia diserabutkan oleh teknologi, John terus memimpin akal dan minda mereka untuk menilai dan mencari erti sebenar sebuah kehidupan yang tulen.

Bahkan dalam buku ini, Teknologi Tinggi Sentuhan Halus yang kandungannya adalah hasil analisis melalui pemantauan terhadap budaya popular yang disebarkan menerusi televisyen, filem, internet dan majalah, John mengungkapkan semula kesilapan manusia ketika meletakkan kedudukan teknologi dalam kehidupan seharian yang mana  teknologi pada ketika ini tidak hanya semata-mata untuk memudahkan dan melancarkan urusan harian bahkan hal yang lebih tragik ialah apabila teknologi dicipta untuk berfungsi sebagai ibubapa kedua, pengasuh dan guru yang cukup terlatih untuk berdamping dengan anak-anak bahkan dari sudut sains pula, teknologi mula dipertuhankan.

Disinilah John, pengasas Urban Research Corporation di Chicago menyatakan bahawa manusia khususnya rakyat Amerika sedang dijajah dan dikepung dalam Zon Mabuk Teknologi iaitu sebuah zon dimana segala nilai diubah-ubah dan bercampur aduk seperti menerima keganasan sebagai sesuatu yang normal dan meletakkan segala penyelesaian boleh dicapai dengan cepat dan mudah sekalipun yang membabitkan soal keagamaan  dan kesihatan.

Maka boleh sahaja kita menyatakan bahawa inilah bahana yang sedang membencana dalam kehidupan segelintir umat manusia di Amerika yang diakibatkan oleh pembangunan peribadi dan kehidupan sekitarnya yang melalui proses ketamadunan yang tiada nilai agama atau Sekularisme sekaligus melenyapkan kemurniaan berfikir dan bertindak berlandaskan lunas agama dan telah membentuk kod etika berdasarkan akal fikiran manusia yang sangat berpotensi untuk berubah-ubah dan banyak menjurus kepada kerosakan moral dan diri manusia.

Namun hal ini boleh juga dianggap cepat disedari oleh kebanyakan rakyat Amerika setelah melihat kecelaruan hidup yang dilingkari serba serbinya dengan produk teknologi canggih dengan bermulanya apa yang disebutkan oleh John sebagai Kebangkitan Beragama walaupun fenomena ini juga banyak dibantu oleh teknologi tinggi.

John bukanlah seorang teknofobia iaitu sejenis penyakit jiwa untuk manusia yang sangat membenci dan takutkan teknologi. Justeru, John menggabung-jalinkan antara erti teknologi tinggi dan sentuhan halus (high tech high touch). Mungkin mudah untuk memberitahu secara umum apa itu teknologi tinggi namun ramai yang keliru untuk memasukkan elemen kemanusiaan, meningkatkan kuasa pancaindera demi mendamaikan jiwa dan minda sekaligus mengeratkan tata-sosial sesama ahli keluarga dan masyarakat yang dahulunya rosak dan renggang akibat dipisahkan oleh kemabukan terhadap produk perhubungan berteknologi.

Disini, John cuba menampilkan betapa teknologi tinggi itu umpama kepingan syiling yang mempunyai dua sisi yang relatif. Mengapa hal ini yang disorot dengan kritis oleh John? Hal ini kerana kegagalan pengguna teknologi ketika mengendalikan atau mendapatkan khidmat daripada produk-produk berteknologi tinggi. Natijahnya ialah dunia semakin terdedah dengan keburukan yang menjurus kepada keganasan yang lebih besar dan pelbagai sehingga menyulitkan golongan penguasa dan penguatkuasa untuk mencegahnya daripada terus merebak manakala masyarakat pula menganggap keganasan dan jenayah adalah hal yang normal ketika ini.

Dalam bahagian pertama buku ini, John mengupas dengan panjang lebar tentang situasi ketika ini yang membabitkan persoalan masa dan permainan iaitu tentang jarak masa yang semakin singkat dan melelahkan sehingga kita merasakan tidak mampu untuk membuat banyak tugasan harian sekalipun hal-hal yang asas seperti menyediakan sarapan pagi dan semua tugasan ini akhirnya diserahkan kepada teknologi. Kita akhirnya seakan-akan dikejar pula oleh teknologi yang mana hanya dengan duduk dalam kereta maka segala keinginan kita akan ditunaikan. Sarapan pagi yang boleh diperoleh di lorong pandu lalu (drive-thru) restoran makanan segera, urusan pejabat yang mampu dikendalikan dalam kereta dengan kelengkapan pejabat mudah alihdan sebagainya.

Hal ini menyebabkan kita menjadi  semakin kurang peka dengan makna sebenar yang perlu diraih dalam kehidupan ini. Satu hal yang menarik untuk disebutkan di sini ialah wujudnya sebuah gerakan defensif-ekstrem yang dinamakan “Kesederhanaan Sukarela” yang mana sukarelawan ini memilih untuk hidup dengan kebergantungan kepada teknologi yang sangat rendah. Gerakan ini mempengaruhi kehidupan dan budaya Amerika sekaligus menggalakkan nilai kerohanian serta cinta kepada alam sekitar sambil membataskan kitaran hidup bekerja-berbelanja. Matlamat gerakan ini pula ialah untuk menguasai semula kehidupan kita dan mendapat lebih banyak faedah daripada sesuatu yang kita hargai.

Tanpa sedar, teknologi juga sedang merekrut generasi muda untuk terlibat ke dalam kancah jenayah dan keganasan secara simulasi dengan diberikan peralatan kententeraan untuk berperang bahkan kelengkapan tersebut menyamai dengan alat ketenteraan Amerika Syarikat dan senjata-senjata lain untuk membuat jenayah seperti pembunuhan.

Lapangan yang luas berbentuk simulasi turut disediakan sebagai tapak latihan supaya kemahiran untuk melakukan keganasan boleh ditingkatkan. Tiada ibubapa atau penjaga yang sedar akan hal ini bahkan merekalah yang menggalakkan dan memberikan ruang yang seluas-luasnya samada ruang masa, tempat dan kemudahan permainan video untuk anak-anak menggunakannya asalkan tidak mengganggu urusan kerja mereka. Inilah yang berlaku di Amerika apabila peranan ibubapa, pengasuh dan guru diambil alih oleh permainan video, televisyen dan internet.

Nilai pasaran terhadap permainan video yang berorientasikan keganasan, seks dan peperangan yang cukup tinggi menyebabkan para pengeluar permainan ini menjadi semakin kreatif untuk menghasilkan permainan video terbaru dengan aksi-aksi yang lebih dahsyat dan realisitik sekaligus meningkatkan tahap ketagihan generasi muda terhadap permainan tersebut lantas menghilangkan sensitiviti terhadap jenayah hingga dunia menyaksikan sebuah tragedi pembunuhan beramai-ramai di Sekolah Tinggi Columbine, Littleton pada 20 April 1999.

Perkembangan yang menakutkan ini turut menimbulkan kesedaran dalam diri masyarakat untuk berjuang membanteras kebejatan ini seperti yang dilakukan oleh aktivis cilik Virginie Lariviere yang berusia tiga belas tahun dengan memungut 1.5 juta tandatangan yang menggesa semua keganasan dalam media dihapuskan. Hal ini dilakukan selepas mengalami kesedihan ekoran kakaknya yang dibunuh dan dirogol.

Menyediakan segala peralatan permainan dan teknologi seperti ini di dalam rumah tidak ubah seperti mengundang perompak, pembunuh, perogol dan segala penjenayah lain masuk ke dalam rumah untuk mengajar seisi keluarga terutama terhadap anak-anak. Dengan teknologi, rumah menjadi markas terbaru untuk mendidik penjenayah yang memiliki pelbagai kemahiran jenayah.

Bahagian kedua buku ini pula lebih menjurus kepada situasi masa hadapan yang membabitkan pandangan agama dan seni terhadap teknologi genetik yang semakin pesat membangun sehingga memampukan saintis untuk mengklon manusia, binatang, merangka genetik baru untuk tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. 

Hal ini cuba disorot justeru cubaan mencipta hidupan bernyawa seperti manusia dianggap sebagai cubaan manusia untuk menjadi tuhan walaupun ada yang beranggapan bahawa hal ini membuktikan keupayaan manusia untuk mengoptimumkan daya intelek dan inovasi mereka sekaligus membuktikan bahawa tuhan lebih bijaksana kerana telah menciptakan seorang manusia yang bijaksana seperti itu namun jelas disini betapa penjelasan agama itu amat didambakan supaya manusia bertindak dan berkreatif mengikut lunas-lunas agama.

Tindakan sains yang penuh dengan keangkuhan pastinya akan senantiasa bertentangan dengan kehendak agama ini jugalah yang seringkali mencipta konflik bahkan permusuhan yang begitu lama untuk diatasi. Kegagalan agama dan mungkin disebabkan pemikiran yang jumud agamawan untuk mempengaruhi kemajuan sains dan teknologi dikhuatiri akan menyebabkan manusia pada masa hadapan terpaksa berhadapan dengan segala bentuk krisis baru kemanusiaan yang mana sudah hancur lebur akibat hilangnya pengaruh agama dalam membentuk kehidupan manusia. Perkahwinan mungkin dianggap tidak perlu lagi justeru tanpa melalui hubungan seks sekalipun seorang bayi tetap boleh terhasil melalui kemajuan kejuruteraan genetik.

Khatimah, tatkala manusia mengukur kemajuan sesebuah peradaban berdasarkan kepada kemajuan teknologi dan kecanggihan inovasi lantas melupakan peranan manusia sebagai pengatur penting kepada pembangunan ketamadunan tersebut, ternyata akhirnya manusia akhirnya diperhambakan dan diperalatkan sendiri oleh kelicikan kapitalis dan kerosakan nilai yang wujud dalam produk-produk berteknologi tersebut. Buku ini wajar dibaca untuk menyorot kembali sekaligus memuhasabah keterlanjuran kita dalam menggunakan teknologi untuk memudahkan kehidupan, mendapatkan hiburan, memendekkan urusan kerja, tenaga dan masa dalam kehidupan seharian.

Sila dapatkan kebenaran sebelum memetik artikel ini atau mana-mana bahagian dalam artikel ini untuk memelihara ketulenan sekaligus menjauhi salah faham fakta. Kerjasama amatlah dituntut.